Wednesday, 28 December 2016

Kenapa Perlu Curi?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Ingat nak tulis cerita ni kat facebook tapi bila fikir balik rasanya tak payah la. Nak hidupkan balik semangat blogging ni walaupun untuk diri sendiri. Mungkin juga untuk tatapan anak-anak nanti.

Kisah berlaku 2 minggu lepas. Masa tu cik abang pergi money changer nak tukar duit. Saya dan anak-anak pergi "beli belah jendela" (read: window shopping). Bila dah selesai tugas semua, dah beli apa yang nak dibeli, singgah kedai beli waffle. Sementara tunggu waffle siap, cik abang kata dia nak letak barang-barang belian dalam kereta. Jadi, dia pergi dulu lah. 

Tak sampai 5 minit, tiba-tiba cik abang datang balik. Tanya dia "Kenapa?" Dia tanya balik "Handphone saya mana?" Lerr...ada pada dia lah kan. Tapi katanya tak ada. Dia suruh saya call. Bila telefon, tak ada nada dering. Macam telefon ditutup atau tiada talian. Lak sudah, kena ambil dek orang ke? Kalau tersilap letak kat mana-mana selalunya mesti ada nada dering kan? 

Diingat-ingat balik, tempat yang cik abang pergi hanya money changer dengan farmasi sahaja. Jadi kemungkinan besar ada kat kaunter money changer. Dia pergi balik ke sana sementara saya masih menunggu waffle. Dah dapat waffle, suami masih tak turun-turun. Kami pun naik la ke kedai money changer tu. 

Bercerita dengan orang kaunter tu, kata adik tu nanti dia cek dekat CCTV dia. Tak lama pun dia cek, tiba-tiba dia keluar cakap dengan cik abang "Abang, memang handphone abang ada tertinggal kat kaunter sini. Abang tunggu sekejap ye. In sya Allah, abang akan dapat balik telefon abang tu."
Hmmm...maknanya? "Ada orang ambik ya? Adik kenal orang yang ambik?" soal cik abang.
"Ha ah. Abang tunggu sekejap ya?"

Nampak dia ke kedai sebelahnya. Lepas tu dia keluar dengan muka kecewa. Dia cakap "Saya confront dia tapi dia tak nak mengaku. Tak apa, nanti saya ambik snapshot kat CCTV. CCTV kami memang clear sebab pakai IP camera. Ada 8 angle pulak tu. Memang clear sangat"

Dia masuk kedai dia. Lepas tu keluar dan ke kedai sebelah sekali lagi. Mungkin berunding ke apa ke. Tup tup keluar sorang lelaki dari kedai sebelah tu dengan muka menggelabah. Dia turun pergi ke mana entah. 

Adik tu datang lagi dan cakap "Dia cakap ada pada wife dia. Nanti dia pergi ambil" Sementara tu, kawan si adik kedai money changer tu tengah cakap dengan orang dalam kedai sebelah tu, mungkin kawan lelaki tadi. Dengar sebijik sebijik member tu cakap "Akak bukan apa dik. CCTV kami memang clear. Kalau customer mintak nak tengok akak boleh bagi. Akak boleh bagi copy pun kat customer tu. Kalau dia pos dekat facebook dan buat viral, siapa yang malu nanti. Nanti kedai ni jugak yang dapat tempias." Tu dia...masa ni terasa untung jugak orang duk viral viral kan cerita kat facebook ni kan? 

Dah tunggu lama lelaki tu tak datang-datang, kami pulak sebenarnya nak kena bertolak ke airport sebab cik abang punya flight dah nak sampai masanya. Kami pun bertukar-tukar nombor telefon dengan adik di kedai money changer tu dan bagitau, bila dah dapat balik telefon tu nanti saya akan datang ambillah. 

Bergegas ke kereta, tup tup dapat panggilan telefon. Rupanya telefon cik abang dah pun dipulangkan semula. Apa lagi, berlari lah cik abang pergi ambik. Alhamdulillah, tak ada apa yang hilang pun. Sebenarnya dekat phone case tu ada terselit duit sedikit. Tetapi mungkin sebab tak sempat di belek lagi, duit masih ada di situ. Syukur sangat-sangat.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang tu, tak habis-habis kami bersyukur. Ye lah, biasanya bukan mudah nak dapat balik henfon kalau dah kena ambik dek orang, betul tak? Cik abang pun cakap, dia dah rasa redha dah yang henfon dia tu hilang. Tapi syukurlah, rezeki dia masih ada. Itulah kelebihan teknologi dan juga kecekapan team kedai money changer tu. Tabik sangat dengan team kedai tu. Lain kali, kalau nak pakai CCTV, pilihlah yang ada IP camera. Memang sangat jelas. 

Dalam hati saya sendiri, mungkin ini adalah satu pengajaran untuk kami. Mungkin juga satu teguran dari Yang Maha Esa, siapa tahu kan? Adalah tu benda yang nak diajarkan pada kami. Mudah-mudahan kami akan sentiasa beringat-ingat. Amiinn.

No comments:

Post a Comment