Thursday, 29 December 2016

Apa Kekuatan Anda?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Dua tiga hari lepas, ada buat survey yang dapat dari email. 120 soalan semuanya. Survey untuk tahu apa kekuatan diri sendiri. Sebab diri sendiri ni memang tak tahu pun sebenarnya apa yang lebihnya diri ini. 

Terus dapat keputusan dan ada 24 kekuatan yang diberi penekanan. Kekuatan saya adalah pada "rasa cinta untuk pembelajaran". Itu kekuatan yang paling utama pada saya. Katanya, saya akan bersemangat bila dapat pelajari benda baru, atau kepakaran baru atau ilmu baru. Dan saya akan pelajarinya sampai faham. Tak kiralah secara formal atau sekadar belajar sendiri, saya suka belajar bukan sebab ingin dapat markah atau dapat pingat ke apa ke, tetapi sebab ilmu atau pengetahuan itu sendiri yang menarik minat saya. 

Hmmmm...saya rasa memang betul lah. Sebab hobi saya memang suka membaca. Dan kalau ada perkara baru yang dibaca saya akan buat kajian saya sendiri. Kalau kebetulan ada seminar atau workshop, ada peluang dan budget cukup, saya akan ikut.  

Sekarang ni, bagaimana saya boleh gunakan kekuatan saya ini untuk memberi manfaat pada orang lain? Salah satunya ialah dengan berkongsi pengetahuan yang saya dapat lah. Setakat yang saya tahu dan faham. 

Dua lagi kekuatan yang saya ada (saya ambik the top three je) adalah kerendahan hati dan kesaksamaan. Apa benda tu? Wallahuallam hahaha. Apa pun, fokus pada yang pertama tu dulu lah. 

Wednesday, 28 December 2016

Kenapa Perlu Curi?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Ingat nak tulis cerita ni kat facebook tapi bila fikir balik rasanya tak payah la. Nak hidupkan balik semangat blogging ni walaupun untuk diri sendiri. Mungkin juga untuk tatapan anak-anak nanti.

Kisah berlaku 2 minggu lepas. Masa tu cik abang pergi money changer nak tukar duit. Saya dan anak-anak pergi "beli belah jendela" (read: window shopping). Bila dah selesai tugas semua, dah beli apa yang nak dibeli, singgah kedai beli waffle. Sementara tunggu waffle siap, cik abang kata dia nak letak barang-barang belian dalam kereta. Jadi, dia pergi dulu lah. 

Tak sampai 5 minit, tiba-tiba cik abang datang balik. Tanya dia "Kenapa?" Dia tanya balik "Handphone saya mana?" Lerr...ada pada dia lah kan. Tapi katanya tak ada. Dia suruh saya call. Bila telefon, tak ada nada dering. Macam telefon ditutup atau tiada talian. Lak sudah, kena ambil dek orang ke? Kalau tersilap letak kat mana-mana selalunya mesti ada nada dering kan? 

Diingat-ingat balik, tempat yang cik abang pergi hanya money changer dengan farmasi sahaja. Jadi kemungkinan besar ada kat kaunter money changer. Dia pergi balik ke sana sementara saya masih menunggu waffle. Dah dapat waffle, suami masih tak turun-turun. Kami pun naik la ke kedai money changer tu. 

Bercerita dengan orang kaunter tu, kata adik tu nanti dia cek dekat CCTV dia. Tak lama pun dia cek, tiba-tiba dia keluar cakap dengan cik abang "Abang, memang handphone abang ada tertinggal kat kaunter sini. Abang tunggu sekejap ye. In sya Allah, abang akan dapat balik telefon abang tu."
Hmmm...maknanya? "Ada orang ambik ya? Adik kenal orang yang ambik?" soal cik abang.
"Ha ah. Abang tunggu sekejap ya?"

Nampak dia ke kedai sebelahnya. Lepas tu dia keluar dengan muka kecewa. Dia cakap "Saya confront dia tapi dia tak nak mengaku. Tak apa, nanti saya ambik snapshot kat CCTV. CCTV kami memang clear sebab pakai IP camera. Ada 8 angle pulak tu. Memang clear sangat"

Dia masuk kedai dia. Lepas tu keluar dan ke kedai sebelah sekali lagi. Mungkin berunding ke apa ke. Tup tup keluar sorang lelaki dari kedai sebelah tu dengan muka menggelabah. Dia turun pergi ke mana entah. 

Adik tu datang lagi dan cakap "Dia cakap ada pada wife dia. Nanti dia pergi ambil" Sementara tu, kawan si adik kedai money changer tu tengah cakap dengan orang dalam kedai sebelah tu, mungkin kawan lelaki tadi. Dengar sebijik sebijik member tu cakap "Akak bukan apa dik. CCTV kami memang clear. Kalau customer mintak nak tengok akak boleh bagi. Akak boleh bagi copy pun kat customer tu. Kalau dia pos dekat facebook dan buat viral, siapa yang malu nanti. Nanti kedai ni jugak yang dapat tempias." Tu dia...masa ni terasa untung jugak orang duk viral viral kan cerita kat facebook ni kan? 

Dah tunggu lama lelaki tu tak datang-datang, kami pulak sebenarnya nak kena bertolak ke airport sebab cik abang punya flight dah nak sampai masanya. Kami pun bertukar-tukar nombor telefon dengan adik di kedai money changer tu dan bagitau, bila dah dapat balik telefon tu nanti saya akan datang ambillah. 

Bergegas ke kereta, tup tup dapat panggilan telefon. Rupanya telefon cik abang dah pun dipulangkan semula. Apa lagi, berlari lah cik abang pergi ambik. Alhamdulillah, tak ada apa yang hilang pun. Sebenarnya dekat phone case tu ada terselit duit sedikit. Tetapi mungkin sebab tak sempat di belek lagi, duit masih ada di situ. Syukur sangat-sangat.

Dalam perjalanan ke lapangan terbang tu, tak habis-habis kami bersyukur. Ye lah, biasanya bukan mudah nak dapat balik henfon kalau dah kena ambik dek orang, betul tak? Cik abang pun cakap, dia dah rasa redha dah yang henfon dia tu hilang. Tapi syukurlah, rezeki dia masih ada. Itulah kelebihan teknologi dan juga kecekapan team kedai money changer tu. Tabik sangat dengan team kedai tu. Lain kali, kalau nak pakai CCTV, pilihlah yang ada IP camera. Memang sangat jelas. 

Dalam hati saya sendiri, mungkin ini adalah satu pengajaran untuk kami. Mungkin juga satu teguran dari Yang Maha Esa, siapa tahu kan? Adalah tu benda yang nak diajarkan pada kami. Mudah-mudahan kami akan sentiasa beringat-ingat. Amiinn.

Monday, 12 December 2016

BERTAHAN WALAU DIRANTING RAPUH

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: my own doodle


Countdown untuk tahun 2017 😍

Nak buat azam tahun baru nanti kan?


Dalam hidup kita, sentiasa ada turun dan naik. Ada masa kita bersemangat, ada masa kita rasa sangat "down". Itu adalah perkara yang biasa. Tak akan pernah ada seorang pun yang hidupnya sentiasa di atas sepanjang masa. Itu adalah hukum Alam. Tak boleh lari.

Apa yang kita boleh buat hanyalah bertahan. Walau ribut taufan, tsunami, gempa bumi, cemuhan, tohmahan, maki hina dan semuanya datang menimpa, yang pasti akan menyebabkan hati remuk dan membuat kita terasa ingin mengalah, teruskan bertahan. Walaupun dahan tempat bertahan itu hanya lah ranting yang sangat nipis, tetapi jika kita bertahan sudah pasti kejayaan dapat dikecapi. 

Kerana Allah itu MAHA ADIL 😉 Pegang yang itu, pasti kita tidak akan mudah mengalah. Mudah-mudahan.


Sunday, 11 December 2016

Jom kemas katil.

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru tau kenapa semasa di asrama dulu kita amat diperlukan untuk kemas katil tiap kali lepas bangun tidur. Kemas pulak mesti dengan betul. Tarik cadar sampai tegang. Kalau baling syiling kat tengah katil, syiling tu boleh melantun. Begitulah tegangnya cadar kita tu.

Apa perasaan kita bila kita tengok katil yang kemas? Pergi sekolah, balik je tengok katil cantik. Pergi kerja pun begitu juga. Kalau di asrama dulu, siap pengawas atau warden buat spot check nak tengok katil cantik ke tak. Dan kalau cantik, dapat la markah. Kalau tak, kena denda hehehe.

Rupanya, ia adalah satu aktiviti yang baik untuk kesihatan minda kita dan juga untuk motivasi diri sendiri. Sebab bila kita berjaya melakukannya setiap pagi, ia memberitahu minda kita bahawa kita telah dapat melakukan sesuatu dengan jayanya. Without fail. Cantik, Kemas. Berjaya!!!

Itu akan memberi satu rangsangan kepada minda agar terus bersemangat untuk melakukan kejayaan demi kejayaan pada hari itu. Sebab tu kita akan lebih bersemangat untuk ke sekolah atau ke tempat kerja kalau kita dapat siapkan kemas katil. Tak percaya? Boleh cuba...

Saturday, 10 December 2016

Kenangan silam - back to the future?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru balik dari gerai cik abang. Membantu serba sedikit apa yang patut. 

Dalam perjalanan balik, pasang radio dalam kereta. Biasa la, tak suka suasana sunyi. Dengar radio Mix.fm. Banyak pulak dipasang lagu-lagu lama yang mengundang nostalgia. Kenangan waktu sekolah rendah, sekolah menengah, di matrikulasi dan di universiti. Kepala pun mula la melayang-layang. Teringat kisah suka-duka. 

Dulu pernah juga terfikir, kalau Allah berikan peluang untuk kembali ke zaman lampau, waktu mana kah yang ingin saya kembali? Waktu kanak-kanak atau zaman persekolahan? Atau zaman mula-mula kerja? 

Sekarang, bila difikir-fikir kembali, dengan kepala melayang mengingati waktu-waktu tersebut, rasanya saya tak akan ingin mengulangi kembali apa sahaja yang sudah saya lalui. Cukuplah hanya sekali. Dan kalau dapat ulang kembali pun, mungkin saya tetap akan melakukan perkara yang sama juga dan tidak akan mengubah satu apa pun. Bersyukur dan berpuas hati dengan apa yang saya dapat sekarang dan apa yang saya jadi sekarang. 

Speaking sikit...
"It has been a long time. I have gone through a lot and all those experiences and memories are very precious. It gives me a lot of lessons and I wouldn't change it for anything. Thank you Allah for all the things that were given to me and I hope  that all these experiences can be used for good causes in the future, in sya Allah"

Friday, 9 December 2016

Apa khabar sahabat lama ku (baca: blog ku)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Fuyoo...lama giler tak jenguk blog. Sibuk sangat ke? Rasanya tidak la sibuk sangat tapi lebih kepada perasaan ingin menyepi dari segala media. Di facebook pun senyap, di whatsapp dan telegram pun senyap. Kenapa begitu? Entah, diri sendiri pun tak tahu. Mungkin ia satu fasa kot.

Baru pulang dari kampung. Kepenatan. Tetapi tersuntik semangat baru jugak. Semangat ni mungkin perlu untuk tahun baru ni nanti, in sya Allah. Memang betul jugak la orang kata, kita perlukan kerehatan dari segala aktiviti yang kita buat untuk sekian lama. Balik kampung ni memberi kerehatan dan juga beri peluang untuk keluar dari rutin harian yang makin lama makin menyesakkan kepala. Hehehe. Mungkin itu sebabnya timbul satu semangat yang baru ni. Syukur.

Dah nak masuk tahun baru dah ni. Dah tiba masa untuk lihat balik segala azam, keinginan dan apa saja yang ditulis pada awal tahun hari tu. Berapa persen berhasil dan berapa azam yang dalam proses. Lepas tu boleh lah merangka azam yang baru pula. Lepas ni boleh lebih kerap menjengah blog ni kot. Untuk diri sendiri pun. Sebab tak mahu beli diari, mungkin boleh gunakan blog ni sebagai diari bagi tahun 2017 nanti. In sya Allah.