Monday, 30 May 2016

Besarkan Gerai, Kecikkan Badan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Baru je beria nak buat jurnal untuk program ni, nak update hari-hari kat blog. Tapi tak dapat jugak. Tersibuk jugak akhirnya. Hehehe.

Nak dijadikan cerita, gerai D'Kejora yang ibu duk cerita sebelum ni dah ada sedikit perubahan, Kalau sebelum ni kami jual satay dengan grill kambing, meatball dengan patty. Dan kemudian tambah pula dengan Char Kuey Teow. Lepas tu, gerai kami ni tak ada meja kerusi sendiri. Menumpang meja kerusi gerai sebelah. Huhuhu.

Alhamdulillah, selepas perbincangan dibuat dan dengan sedikit modal yang diperolehi, gerai tu dapat juga dibesarkan sedikit. Beli kerusi meja sendiri, tambah khemah untuk air, tambah dapur lagi satu. Ada sedikit perubahan dari segi menu. Satay kami hentikan jualannya. Kami tambah dengan menu baru iaitu nasi goreng kambing dan mee goreng udang galah. Bila dah ada menu nasi dan mee, boleh dipelbagaikan la juga mengikut citarasa pelanggan.

Alhamdulillah sekali lagi, dengan menu baru kami tu, pelanggan makin bertambah. Tambahan pula dah ada kerusi meja sendiri ni, pelanggan pun ada banyak tempat boleh duduk. Ditambah lagi dengan kehadiran food truck yang semakin hari juga semakin bertambah. Tiba-tiba ada food truck baru. Memang meriah kawasan perniagaan kami tu di malam hari, macam bulan puasa pula rasanya. Seronok.

Ibu juga menjadi semakin sibuk la jugak. Sebab? Nak kena masak nasi. Sehari 5 periuk nasi kena stand by. Ada masa habis semua, ada masa nasi bersisa. Itu biasa lah. Tapi standby tetap kena. 

Atas sebab itu jugalah, ibu semakin perlukan STAMINA. Dan ibu memang dapat rasakan yang program CMB yang ibu masuk ni banyak membantu dari segi memberikan kelebihan stamina pada ibu. Ada juga rakan-rakan ibu yang pelik kenapa ibu nak masuk program kuruskan badan ni walaupun ibu tidak lah segemuk mana (iyo lah tu). Apa yang ibu boleh cakap, untuk sihat, bukan perlu tengok dari segi penurunan berat sahaja, tapi banyak benda lain. Penurunan inci (inchloss), peningkatan stamina itu bagi ibu lebih penting. Dan itu lah juga yang lebih ibu titikberatkan. Tak turun berat, tak apa. Janji ibu lebih bertenaga, tak semput dan seluar ibu juga dah makin longgar hehe.

Dan ibu juga baru sedar tentang pemakanan sihat macamana. Kurang minyak, kurang gula, kurang garam. Banyakkan sayur dan buah. Memang ibu masak sekarang guna minyak kalau perlu sahaja dan itu pun sesudu sahaja minyak untuk menumis. Lauk-lauk biasa kukus atau panggang. Garam pun kadang-kadang tak letak. Dah mengeras dah garam dalam bekas dia huhu. Mudah-mudahan ibu dapat istiqamah dalam bab pemakanan sihat ni dah boleh lah anak-anak ibu juga makan secara sihat. In sya Allah.

OK, nanti kita cerita lagi ya. 

Wednesday, 18 May 2016

Program Kuruskan Badan - Hari Kedua

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Hari ni masih mengikuti pelan pemakanan yang dicadangkan kepada coach. Sebelah malam pula ada sesi senaman. Pengenalan kepada senaman katanya.

Oh ya, terlupa pula ibu beritahu. Untuk program ni kami disarankan untuk minum air dengan banyak. Seelok-eloknya 4 liter sehari. Nak lagi senang, minum 2 liter belah pagi sampai tengahari dan lagi 2 liter atau lebih lepas pukul 1.00 petang tu.

Ibu beli botol air 2L untuk mudahkan kiraan hehe. Botol macam kat bawah ni.


Balik semula untuk senaman ni. Kami di warm up kan dengan main game. Macam Super Spontan punya game. 2 kumpulan. Sorang dari setiap kumpulan akan berlawan main soal menyoal. Tak boleh tak soal. Soalan semata-mata. Haha. Siapa kalah, satu kumpulan kena lari. Kalah kali kedua, kena lari 2 pusingan. Hohoho. Memang warm up betullah. Setiap kumpulan sampai kena lari 5 pusingan. Masing-masing kalah menang berganti-ganti. Berlari pulak sambil ketawa, apa lagi, berpeluh-peluh belum apa-apa pun haha.

Lepas tu baru la buat crunches untuk perut (ada 5 teknik untuk ini), buat stretching (ada 3 teknik) dan akhir sekali buat plank. Yang plank ni memang dari dulu ibu cuba nak buat tapi asyik tak dapat tahan. Boleh tahan sampai kiraan 1 aje. Lepas tu terus jatuh huhuhu. Tapi seronok betul malam tadi, dapat pulak ibu bertahan sampai kiraan 30 (maknanya 30 saat la tu). Rasa nak melompat sebab boleh buat, tanpa jatuh, walau pun menggigil gigil haha.

Lepas tu kami warm down dan ikut sesi shopping pulak. Shopping apa? Shopping barang makanan. Belajar cara tengok label. Untuk pastikan kita tahu sama ada nak beli ke tidak. Kalau terpaksa beli, sekurang-kurangnya kita tahu berapa banyak yang kita patut makan untuk mendapatkan kalori yang secukupnya. Oh ya, satu lagi yang lupa diberitahu, untuk pengambilan kalori setiap hari yang sihat, seorang wanita patut ambil antara 1200 - 1500 kalori sehari. Kalau lebih dari itu, senang naik berat. Kalau kurang dari itu, tak cukup zat huhu. Untuk yang lelaki ibu terlupala pula. Tapi boleh je nak google kan?

Mungkin orang yang prihatin dengan kesihatan dah tahu pun pasal semua ni. Tentang maklumat kalori pada label, isi kandungan yang ada dalam makanan tersebut dan juga pecahan-pecahan maklumat nutrisi yang diberi. Apa yang penting perlu lihat adalah jumlah kalori per serving, lepas tu untuk satu serving tu berapa yang perlu diambil. Contoh, kalau roti gardenia biasa dia akan tulis satu serving bersamaan 2 keping roti. Lepas tu tengok kandungan gula, garam dan lemak. Kalau boleh cuba cari yang rendah jumlah semua tu. Tapi kalau tak dapat jugak, kita beli dan makan aje, tapi jangan ambil dengan banyak.

Yang penting, jangan stress kan diri untuk lihat kalori bagai ni. Nak makan apa pun boleh tapi jangan berlebihan sahaja. Contoh: nak makan kek, boleh tapi ambillah sesudu sahaja. Untuk rasa. Bukan untuk kenyang hehehe. Sebab? Nak sihat dan nak turun berat. Itu aje.

OK, malam Rabu ada sesi senaman lagi. Coach cakap kali ni berat sikit dari hai. Biasalah, nak dapatkan momentum senaman masing-masing. Macam ibu ni lah yang dah lama sangat tak bersenam ni. Tak boleh mula terus berat. Pengsan karang. Betul tak?

OK, nanti esok tulis lagi. Jurnal program la katakan heehe.

Assalamualaikum.


Program Kuruskan Badan - Hari Pertama

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Memang teruja rasanya hendak memulakan perjalanan menurunkan berat badan ni. Dah janji nak bercerita pasal jadual pemakanan kan? Jom!

Dalam program ni, kami ditekankan untuk tumpukan 70% pada pemakanan dan 30% pada senaman. Jadi fokus utama adalah lebih kepada pemakanan. Sebab tu senaman hanya diadakan 3 kali seminggu sahaja iaitu pada setiap malam Selasa, malam Rabu dan pagi Sabtu. 

Untuk pemakanan, kami diminta untuk membuat jadual pemakanan untuk seminggu pertama ini. Kemudian update pula apa yang kami betul-betul makan setiap hari. 

Untuk mendapatkan penurunan berat badan yang diimpikan, amat penting untuk kita fokus pada jumlah kalori yang diambil. Untuk seorang individu yang tak pernah nak fikir pasal kalori ke, gula ke, kolesterol ke macam ibu ni, bila dia bercerita pasal pengambilan kalori memang ngangalah. Memang ada kawan yang pernah bercerita pasal kalori ni tapi ibu memang tidak dapat faham sangat pasal ni. Huhuhu.

Apapun, bila buat pengiraan kalori harian yang perlu diambil semalam, dapatla jugak ibu "nampak" apa yang kawan ibu pernah cerita suatu ketika dahulu tu. 

Untuk jadual pemakanan harian, ada 6 waktu makan yang perlu kami perhatikan iaitu:
1.  sarapan - awal pagi. Antara 7.00 - 8.30 pagi. Katanya mesti ambil sarapan walaupun hanya minum susu ke atau teh hijau ke. Walaupun nak sambung tidur balik lepas solat Subuh (tak elok ni kan?), tapi sebelum tidur tu kunyahlah sesuatu dulu. Sangat penting.

2.  Snack pagi - antara pukul 10.00 -11.00 pagi. Snack yang sihat. Paling bagus buah lah. Tapi jangan ambil banyak. Sebiji atau dua biji dah cukup. Contoh: 2 biji epal

3. Makan tengahari - kalau nak ambil nasi, ambillah segenggam. Kalau beras perang lagi bagus. Dulu ibu pernah bercerita pasal diet mickey mouse. Portion makanan kita macam muka mickey mouse. Tang muka tu, sayur-sayuran, telinga sebelah tu nasi dan telinga sebelah lagi lauk-pauk. Kalau nak cacatkan telinga nasi pun ok jugak hehe. Besarkan sikit telinga lauk, kecikkan telinga nasi.

4.  Snack petang - sama macam snack pagi

5.  Makan malam - seeloknya kalau kita dah tak buat apa-apa kerja berat, boleh lah kurangkan karbohidrat masa ni iaitu tak payah makan nasi. Tapi kalau nak makan juga, macam tadilah portionnnya.

6. Snack malam - yang ni sebenarnya optional. Tak ambil pun tak apa. Tapi kalau lapar jugak, ambillah buah ke atau roti sekeping ke. Macam juga snack pagi dan petang.

Untuk hari pertama semalam, ibu dah ikut dah. 
Roti 2 keping
Epal 2 hiris
Nasi segenggam, ayam kari panggang, sayur campur
Biskut wheat cracker 3 keping
Nasi segenggam, ayam sup, sayur campur
Tak ada snack malam

Masakan pula, kalau boleh kurangkan minyak, gula dan garam. Eloknya makan yang grill, kukus dan panggang sahaja. Jadi, lepas ni pemanggang ajaib akan jadi teman setia ibu lah haha.

OK lah, cukup dulu untuk jadual pemakanan. 

Esok, ibu cerita pasal senaman dan pasal shopping pulak ya.

Assalamualaikum dan selamat malam. 

Monday, 16 May 2016

Program Untuk Kuruskan Badan - Hari Pengenalan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan peribadi

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Lamanya tidak menulis disini. Sibuk dengan urusan dunia huhuhu. Ni pun nak bercerita hal dunia la jugak.

Hari ni merupakan hari pertama bagi program "Conquer the Mental Battle" kelolaan Aizat Razak, ikon JK1M (Jom Kurus 1 Malaysia) yang kelima. Ada orang belanja ibu masuk program ni, alhamdulillah.

Hari Ahad lepas diadakan taklimat pengenalan kepada program. Sebelum taklimat dimulakan, kami dah pun dibawa untuk buat senaman "warm up". Senaman ringkas aje. Macam pengenalan kepada exercise lah. Tapikan sebenarnya amalan ni sangat elok dilakukan. Sebab bila kita dah warm up, sepanjang taklimat tu kita tak mengantuk. Ada lagi kebaikannya, tapi yang tu ibu cerita kemudianlah.

Ibu sangat suka dengan tagline program ni iaitu "Change your mind, change your body". Memang selari sangat dengan apa yang ibu tengah pelajari dan praktikkan sekarang ni iaitu berkenaan minda bawah sedar. Yang ni pun nanti lah ibu ceritakan.

Semasa taklimat dijalankan, kami diminta untuk menulis matlamat utama kenapa kami ikut program ni. Sudah tentulah matlamat yang satu adalah untuk turunkan berat badan atau untuk kurus. Tetapi kalau diusul lebih lagi, tujuan utama untuk kurus tu adalah untuk apa, barulah dapat matlamat yang paling utama. Bagi ibu, matlamat ibu adalah untuk TINGKATKAN STAMINA. Sebab? Sekarang ni naik tangga satu tingkat pun dah mengah. Nak mengurus rumahtangga pun cepat penat. Itu lah sebab utama kenapa ibu nak ikut program ni.

Kami diajar mengira jumlah kalori harian (DCR) yang kami perlukan dan kadar metabolisme (BMR) badan. Ada formula untuk tahu semua ni. Boleh google :) Dan kami juga diberi formula untuk kira berapa kg yang boleh kami turunkan untuk jangkamasa 6 minggu ni nanti berdasarkan BMR dan DCR yang diperolehi tadi. Kalau rasa tak puas hati dengan kiraan tu, bolehlah kita buat sesuatu nanti untuk ubah mengikut kehendak kita. Contoh: Ibu punya kiraan dalam masa 6 minggu ibu hanya boleh turun sebanyak 1.5 kg sahaja. Tapi target ibu adalah untuk turunkan sekurang-kurangnya 3 kg. Jadi apa yang ibu boleh buat adalah tingkatkan BMR atau kurangkan DCR. Ikut pandailah :)

Kami juga diminta untuk buat perancangan pemakanan untuk 1 minggu pertama. Yang bestnya, dalam program ni kami diminta makan 6 kali sehari. Makanan yang dimakan akan dicatit setiap hari untuk coach buat pemantauan. Jika tidak sesuai, nanti kami akan diminta tukar. Yang penting sekarang ni adalah bagaimana makanan itu disediakan dan jenis makanan yang diambil berserta jumlah atau portion yang diambil. 

Biasa dengar kan makan segenggam nasi? Itu lah yang disarankan untuk kami bila nak makan nasi. Ambil segenggam sahaja. Selebihnya lauk dan sayur-sayuran. 

Ok lah, cukup lah dulu untuk pengenalan. Pakar pemakanan ada menyarankan kami membuat jurnal perjalanan kami sepanjang 6 minggu ni. Jadi, in sya Allah, blog inilah yang akan jadi jurnal ibu. 
Esok ibu sambung dengan jadual pemakanan pulak ya. 

Assalamualaikum.