Thursday, 7 April 2016

Anak dan Adat Orang Minang

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahim.

Lamanya tidak menjenguk di sini. Memang masa sekarang sangat pantas berlalu. Sekejap sahaja hari sudah bertukar hari yang lain.

Suatu hari itu, Ibu berborak dengan seorang pekerja gerai nasi kukus. Katanya dia orang Minang, duduk di Indonesia. Tetapi datang ke Malaysia mencari rezeki.

Beliau bertanya pada Ibu "Kak, anak akak berapa orang ya?"

Ibu jawab "8 orang"

Beliau tanya lagi "Berapa lelaki berapa perempuan kak?"

Ibu jawab "Perempuan 3 lelaki 5"

Beliau lantas cakap "Waah! Untung kak ramai lelaki. Bila dah tua nanti senang lah"

Ibu pelik. "Kenapa pulak ya?" Ibu tanya beliau

Beliau cakap "Iya lah. Bila masing-masing dah kerja nanti boleh la akak rehat. Mereka lah yang bantu akak nanti."

Hehe. Ibu cakap pada beliau "Mudah-mudahan. Kalau betul begitu alhamdulillah"

Beliau pun bagitahu "Kalau orang Minang, mereka suka dapat anak lelaki. Sebab anak lelaki akan kena jaga ibu mereka tak kira lah macamana pun. Kalau kerja, bagi duit dekat ibu. Kalau dah kahwin pun, duduk sama ibu lagi. Tolong ibu. Sampai ibu meninggal."

Begitu lah ceritanya. Ibu tidak tau lah sama ada memang begitu adat orang Minang atau tidak. Untuk Ibu sendiri, Ibu tidak meletakkan apa-apa harapan kepada anak-anak ibu. Jika anak-anak Ibu mahu jaga Ibu nanti, alhamdulillah Ibu bersyukur.

Tetapi Ibu faham, bila dah berkeluarga, masing-masing akan ada tanggungjawab masing-masing. Jika tidak dapat jaga Ibu tidak mengapa. Cukup bertanya khabar, itu memadai.

Sebab itu sekarang pun Ibu perlu menjaga diri Ibu sendiri supaya bila sudah tua nanti tidak akan menyusahkan anak-anak, dengan penyakit ke, dengan kewangan ke dan macam-macam masalah lagi yang selalu kita baca di akhbar mahupun dengar di TV dan radio.

Apa yang penting, anak-anak Ibu membesar dengan berpegang kukuh kepada agama dan tidak melakukan perkara-perkara yang boleh memudaratkan diri sendiri dan keluarga. Dan bila Ibu sudah tiada nanti, anak-anak Ibu dapat menghadiahkan ibu bacaan al-Quran, sentiasa mendoakan Ibu dan tidak lupa akan Ibu. Bukan pada Ibu sahaja, pada Ayah sekali lah ni.

Mudah-mudahan impian Ibu akan menjadi kenyataan. Amiin.