Friday, 5 February 2016

Potensi diri? Dah tahu ke?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Alhamdulillah. Subhanallah.

Sungguh seronok sepanjang minggu ini. Penuh dengan aktiviti sekali lagi. Seperti selalu juga. Aktiviti tidak pernah habis.  Tetapi kali ini agak mengujakan kerana aktiviti penuh dengan timbaan ilmu. Pelbagai ilmu ditimba. Hingga senak juga minda dibuatnya :)

Antara ilmu yang saya timba minggu ini adalah ilmu metafizik. Mengenali potensi diri melalui tarikh lahir. Ya, saya tahu. Ramai yang sudah tahu mengenai ilmu ni. Dan ramai juga yang telah alaminya. Ada juga yang skeptikal. Tidak kurang juga yang terlalu taksub. 

Bagi saya, setiap ilmu di muka bumi ini adalah milik Allah. Ada sebab kenapa kita perolehi ilmu-ilmu yang kita dapat. Tidak sia-sia mengetahuinya. Walau mungkin ada yang merasa tidak senang dengan ilmu metafizik tarikh lahir ini kerana risau dikatakan menjadi peramal atau tukang tilik, saya berpendapat tidak salah untuk kita ketahui kelemahan dan kelebihan yang kita ada. Cuma jangan terlalu bergantung kepada apa yang dikatakan. 

Contoh: Apabila dibuat kiraan pada tarikh lahir saya, didapati saya lebih cenderung kepada kerja-kerja di luar pejabat. Tidak boleh berlama-lamaan di pejabat kerana tidak sesuai dengan elemen saya. Namun begitu, bagi saya sendiri, tidak menjadi hal untuk saya berlama-lama di pejabat. Saya tidak kisah. Sebab itu walaupun dalam elemen saya mengatakan sebaliknya, saya tidak perlu mengikut apa yang dinyatakan. Saya tetap boleh je duduk di ofis lama-lama jika saya nak. 

Sebagai seorang ibu yang telah melahirkan 8 orang anak, saya percaya hari kita dilahirkan itu pasti ada pengajaran disebaliknya. Ini merujuk kepada tarikh lahir ini lah. Ini adalah kerana, walaupun doktor telah nyatakan yang kita akan melahirkan pada sekian sekian haribulan, tetapi apabila tiba waktunya ada masanya tarikh itu akan berubah, sama ada lebih cepat atau pun lebih lambat. 

Semua anak-anak saya lahir tidak pada tarikh yang diberikan doktor. Malahan anak yang nombor 3 lambat hampir 3 minggu. Ramai yang menasihatkan saya untuk ke hospital waktu tu memandangkan waktu "due" itu dah lepas, tetapi ayah saya cakap pada saya "Tak perlu. Dia tahu bila dia perlu keluar. Tak payah paksa.". Penyerahan kepada Allah. Allah lebih tahu. Selagi tidak turun tanda apa-apa, ketuban belum pecah, saya memang tunggu sakit bersalin baru lah saya ke hospital. Doktor nak marah pun marah lah hehehe.

Atas sebab itu juga saya percaya tarikh kelahiran kita itu ada kaitannya dengan potensi diri kita, yang telah dikurniakan oleh Allah. Jika kita menggali, kita lebih mengenali diri. Semakin kita kenali diri, semakin itu juga kita akan dapat lihat betapa hebatnya kuasa Allah. 

Betullah kata Master Rey (guru hipnosis saya), "rasa" itu penting. Bila dah merasai, barulah kita ketahui. 

Wallahuallam. 

No comments:

Post a Comment