Monday, 23 November 2015

Nikmat Rezeki



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Image result for rezeki
Apakah definisi rezeki buat anda?

Duit?

Jangan sempitkan definisi rezeki.

Ya, saya dulu selalu kaitkan rezeki dengan wang ringgit. Kalau duit sedikit, selalu fikir rezeki aku kurang. Betapa sempitnya kolam jiwa ku.

Tetapi alhamdulillah, setelah difahami dan diteliti, jika kita luaskan konsep dan definisi rezeki, barulah dapat dilihat betapa saya ini melimpah ruah dengan rezeki yang Allah kurniakan. 

Patutlah pakar motivasi, tidak kira orang Malaysia atau dari luar negara, Islam mahupun beragama selainnya, mereka menekankan tabiat untuk bersyukur. Malah kalau boleh adalah disarankan kita mempunyai satu buku khas, Journal Kesyukuran untuk menulis segala apa yang kita syukuri, 

Bangun pagi, lepas Subuh, duduk dan tulis sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita syukuri. Sama ada untuk perkara yang berlaku semalam mahupun perkara yang berlaku sebaik sahaja kita buka mata. Ye lah, nikmat kehidupan, nikmat pancaindera dapat melihat matahari naik di pagi hari, nikmat dapat hidu udara segar, dapat dengar suara alam dan macam-macam lagi. Itu saja pun dah lebih dari 5 kan? 

Oh ya, Journal Kesyukuran itu seeloknya satu buku fizikal. Dan bukannya satu fail di dalam komputer (yang saya suka buat lah tu). Kerana aktiviti menulis secara fizikal itu memberikan kita rasa yang lebih berbanding dengan menaip di papan kekunci komputer. Kalau dapat beli buku yang cantik sikit pun lagi bagus. Belanja sikit untuk nyatakan betapa bersyukurnya kita dengan apa yang akan kita tulis nanti. 

Selepas saya buat begitu, barulah saya boleh nampak dengan jelas betapa setiap hari kita dikurniakan rezeki yang tidak terhingga dari Allah. Dalam pelbagai bentuk. Antaranya:

-  dipermudahkan untuk lakukan sesuatu urusan (baru berlaku tadi pada saya)
-  mendapat pertolongan daripada orang yang baru kita kenal (berlaku semalam)
-  diberi makanan percuma (berlaku pada hari Rabu)
-  mendapat bahan bacaan percuma untuk ilmu yang saya cari sekian lama (berlaku malam tadi)
-  saya dan anak-anak tidak demam walaupun terkena hujan lebat 
dan banyak lagi. Allahuakbar. Syukur alhamdulillah.

Dan saya juga perasan, semakin kita mensyukuri, semakin pula bertambah rezeki kita. Sungguh jelas, janji Allah itu adalah pasti. 

Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment