Tuesday, 13 October 2015

Tips Bangun Pagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Susah ke senang nak bangun pagi? Pukul berapa selalu bangun pagi-pagi?

Bagi diri saya sendiri, nak bangun pagi ada kala susah, ada masanya tiada masalah. Ada masanya pula bila bangun rasa penat. Dan kerap juga tekan butang "snooze" bila loceng jam berbunyi. 

Semalam habiskan satu ebook mini berkenaan bangun pagi. Dan seronok pula baca tips yang diberikan di dalam ebook tersebut. Antara tips yang diberikan adalah:

1.  Bila pasang "alarm" pada telefon atau kunci jam loceng, sebelum tidur tu letaklah telefon atau jam loceng tu jauh dari tempat tidur. Tetapi biar masih boleh didengari bunyinya.

Ini untuk mengelakkan dari senang untuk tekan butang "snooze" atau daripada kita tutup loceng dan sambung tidur. Lagipun, bila kita sambung balik tidur selepas terjaga, sebenarnya kita memulakan kembali kitar tidur kita. Itu yang sepatutnya tambah 10 minit je terus jadi setengah jam atau lebih. Dan bila kita bangun, badan kita jadi kurang bertenaga.

2.  Lagi satu, kalau kita guna telefon untuk pasang penggera, cuba gunakan nada yang boleh menaikkan semangat kita. Yang kita suka dengar. Contoh: letak lagu yang bila kita dengar mesti kita nak bergerak/menari. 

3.  Bila sudah bangun, buka langsir bilik. Walaupun keadaan masih gelap di luar sana, tetapi dengan membuka langsir sekurang-kurangnya kita dapat lihat kawasan luar. Lagipun, bila matahari mula nak naik, cahaya alam yang asli itu memberi manfaat kepada kesihatan kita juga. (Yang ini saya ada baca dalam jurnal kesihatan suatu ketika dahulu).

4.  Lakukan sedikit senaman ringkas. Senaman yang disarankan oleh ebook ini dipanggil "Shake and Bounce". Untuk melonggarkan urat-urat badan. Goncangkan badan secara santai. Buat dalam 2-3 minit aje.

5.  Pergi ke dapur dan minum air kosong yang dicampurkan sedikit garam. Ini adalah untuk melancarkan penghadaman kita. Teringat saya tentang satu post di facebook yang menyatakan Rasulullah SAW sebelum makan akan cuit sedikit garam terlebih dahulu (betulkan saya jika saya salah).

6.  Sebagai seorang Islam, solat Subuh. (yang ini tiada dalam ebook tersebut sebab penulis ebook adalah bukan Islam). Sebab itu seeloknya setkan penggera sebelum azan Subuh supaya kita sempat buat apa yang ditulis di atas. Lepas tu siap sedia untuk bersolat bila masuk waktunya.

7.  Di atas sejadah, selepas berdoa semua tu, lakukan pernafasan yang saya tulis dalam entri sebelum ini mengenai Minda Bawah Sedar. Buat sebanyak 10 kali.

8.  Sebelum mandi, berus badan kita menggunakan sikat atau loofah. Guna jari pun boleh juga. Caranya: Mula dari tumit, beruskan kaki ke atas menuju ke arah jantung. Kemudian, mula dari tangan berus ke atas juga menuju ke arah jantung. Tujuannya untuk melancarkan perjalanan darah. 

9.  Mandi dengan air sejuk. Air sejuk di waktu pagi boleh menghancurkan lemak-lemak dalam badan. Kalau tak silap saya, Islam juga menggalakkan mandi air sejuk di pagi hari, betul tak?

10.  Selesai sudah rutin selepas bangun pagi. Boleh lah kita buat apa yang perlu kita buat untuk hari tersebut. 

Tidak semestinya ikut turutan ni 100%. Boleh adaptasi mengikut keadaan. Mungkin boleh mandi dulu sebelum solat Subuh. Tetapi yang berus badan tu memang elok buat sebelum mandi.

Saya dah cuba buat pagi tadi. Terlepas yang berus badan tu aje sebab tengok masa macam tak sempat untuk hantar anak sekolah pagi. Tambah-tambah anak saya tu ada periksa PT3 hari ni. In sya Allah, esok saya akan cuba buat sepenuhnya. Kalau ikut kata penulis ebook tersebut, kita boleh nampak perbezaan selepas 2 minggu. Kita tengoklah macamana nanti. :)

No comments:

Post a Comment