Saturday, 24 October 2015

Pertemuan dan Pembelajaran

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Siang tadi berpeluang duduk bersembang dengan sahabat lama. Lama juga sembangnya. Maklumlah lama tak jumpa. Berjumpa dengan dia dan pasangannya. Insan hebat yang tak pernah kenal erti jemu dan penat untuk mengembangkan perniagaan mereka. Dan banyak pula jenis perniagaan yang dilakukan. 

Seronok dengar perkongsian perjalanan bisnes mereka. Dan saya memang suka tengok suami dan isteri sama-sama berganding bahu untuk bisnes. Saling sokong menyokong, saling melengkapi. Mudah-mudahan saya juga dapat menjadi sebegitu. 

Apa yang saya perasan tadi, orang yang banyak pengalaman dalam bisnes, cara mereka bercakap memang berbeza dengan orang yang baru nak berjinak-jinak dengan bisnes seperti saya. Tambah pula saya ni jenis yang mulut tak banyak (memang semua orang mulut satu je hehe, faham kan maksud saya?). Memang nampak perbezaannya. Dan perkataan yang digunakan juga berbeza. 

Saya suka apa yang beliau kongsikan mengenai bagaimana sebagai seorang yang berniaga, kaedah jualan lembut (soft sell) itu adalah lebih berkesan berbanding hard sell. Memang saya kerap juga terbaca mengenai perkara ini. Tapi tadi dapat lihat contoh bagaimana buat soft sell depan mata. Seronok dan memang membuka minda. Nampak sangat la ilmu saya ni masih cetek dalam bidang perniagaan. 

Apa-apa pun, pertemuan selama hampir 5 jam siang tadi memang memberi banyak pelajaran kepada saya. Terima kasih untuk sahabatku. 

Thursday, 15 October 2015

8 Strategi Akhir Tahun Orang Berjaya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih boleh ucap lagi kan Salam Tahun Baru Hijrah? Tahun baru, azam baru. Azam tahun lepas bolos tak? :)

Bila tengok balik buku jurnal, ada tulis 5 azam. Alhamdulillah, satu sudah pun tercapai. Syukur. Yang lagi 4 sedang diusahakan. Boleh bawa ke depan la ni kot sebab dalam proses dah pun.

Pernah terfikir tak apa yang orang-orang berjaya buat bila sampai akhir tahun/awal tahun? Mesti mereka pun punyai azam tersendiri sesuai dengan status mereka kan?

Saya berpeluang membaca satu lagi ebook yang menerangkan kelaziman yang dilakukan oleh mereka yang sudah berjaya dan terkenal seperti Anthony Robbins, Brian Tracy, Jeff Goins dan seumpamanya.

Ada 8 strategi atau perkara yang pasti akan dilakukan oleh mereka-mereka ini iaitu:

1)  Lihat balik apa yang berlaku sepanjang tahun itu. Tengok apa yang telah dicapai, apa yang belum. Mereka ini ada buat jurnal Pencapaian untuk merekodkan apa yang telah mereka dapat perolehi sepanjang tahun. Dengan melihat pencapaian mereka, dapatlah mereka merangka apa yang ingin dicapai pada tahun baru pula. Boleh lah mereka berazam dan berimpian lebih besar lagi.

2)  Berfikiran positif. Maafkan diri sendiri dan orang lain. Ini dibuat apabila melihat kepada perkara yang gagal dicapai. Mungkin disebabkan oleh diri sendiri atau mungkin disebabkan oleh orang lain. Maka, lihat, maafkan dan cuba positifkan. Kemudian, terus maju ke depan, jangan pandang dan fikir lagi pasal semua tu.

3)  Bersyukur. Sesuai sangat dengan orang Islam ni. Sentiasa bersyukur dengan apa yang diperolehi. Mereka juga mempunyai jurnal kesyukuran yang ditulis setiap hari. Jadi pada hari akhir tahun tersebut, mereka akan luangkan masa selama 1- 2 jam untuk melihat balik apa yang ditulis di dalam jurnal tersebut.

4)  Buang apa yang tidak perlu. Ini boleh dilihat setelah perkara yang pertama tadi dilakukan. Bila dilihat balik pencapaian, pasti kita akan tahu apa yang perlu dan apa yang tidak lagi diperlukan untuk tahun hadapan. Mungkin ada prosidur yang boleh kita hilangkan dari SOP syarikat atau mungkin ada barangan kita yang tidak lagi diperlukan, boleh lah dibuang, derma atau apa saja yang bersesuaian.

5)  Mula set kan azam untuk tahun yang baru. Mereka akan buat untuk setahun terus.

6)  Permudahkan azam yang dibuat. Pecah-pecahkan kepada aktiviti yang boleh dan mudah dilakukan.

7)  Masukkan perkara yang dibuat dalam aktiviti 6 ke dalam kalendar tahun baru. Bersesuaian dengan rancangan tahun baru yang telah dirangka.

8)  Berehat untuk beberapa ketika. Mereka selalunya akan bercuti selama 2 minggu di akhir, bersama-sama dengan perayaan Krismas mereka. Setelah berpenat lelah bekerja selama 12 bulan, apa salahnya berehat sebentar untuk caj semula. In sya Allah, kembali bekerja selepas itu dengan lebih bersemangat.

Itu lah 8 strategi atau aktiviti yang dilakukan oleh mereka-mereka yang berjaya. Bila saya lihat balik semua tu, saya terfikir juga, aktiviti ni boleh juga kita lakukan setiap hari. Tak semestinya tunggu akhir tahun. Betul tak?

Tuesday, 13 October 2015

Tips Bangun Pagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Susah ke senang nak bangun pagi? Pukul berapa selalu bangun pagi-pagi?

Bagi diri saya sendiri, nak bangun pagi ada kala susah, ada masanya tiada masalah. Ada masanya pula bila bangun rasa penat. Dan kerap juga tekan butang "snooze" bila loceng jam berbunyi. 

Semalam habiskan satu ebook mini berkenaan bangun pagi. Dan seronok pula baca tips yang diberikan di dalam ebook tersebut. Antara tips yang diberikan adalah:

1.  Bila pasang "alarm" pada telefon atau kunci jam loceng, sebelum tidur tu letaklah telefon atau jam loceng tu jauh dari tempat tidur. Tetapi biar masih boleh didengari bunyinya.

Ini untuk mengelakkan dari senang untuk tekan butang "snooze" atau daripada kita tutup loceng dan sambung tidur. Lagipun, bila kita sambung balik tidur selepas terjaga, sebenarnya kita memulakan kembali kitar tidur kita. Itu yang sepatutnya tambah 10 minit je terus jadi setengah jam atau lebih. Dan bila kita bangun, badan kita jadi kurang bertenaga.

2.  Lagi satu, kalau kita guna telefon untuk pasang penggera, cuba gunakan nada yang boleh menaikkan semangat kita. Yang kita suka dengar. Contoh: letak lagu yang bila kita dengar mesti kita nak bergerak/menari. 

3.  Bila sudah bangun, buka langsir bilik. Walaupun keadaan masih gelap di luar sana, tetapi dengan membuka langsir sekurang-kurangnya kita dapat lihat kawasan luar. Lagipun, bila matahari mula nak naik, cahaya alam yang asli itu memberi manfaat kepada kesihatan kita juga. (Yang ini saya ada baca dalam jurnal kesihatan suatu ketika dahulu).

4.  Lakukan sedikit senaman ringkas. Senaman yang disarankan oleh ebook ini dipanggil "Shake and Bounce". Untuk melonggarkan urat-urat badan. Goncangkan badan secara santai. Buat dalam 2-3 minit aje.

5.  Pergi ke dapur dan minum air kosong yang dicampurkan sedikit garam. Ini adalah untuk melancarkan penghadaman kita. Teringat saya tentang satu post di facebook yang menyatakan Rasulullah SAW sebelum makan akan cuit sedikit garam terlebih dahulu (betulkan saya jika saya salah).

6.  Sebagai seorang Islam, solat Subuh. (yang ini tiada dalam ebook tersebut sebab penulis ebook adalah bukan Islam). Sebab itu seeloknya setkan penggera sebelum azan Subuh supaya kita sempat buat apa yang ditulis di atas. Lepas tu siap sedia untuk bersolat bila masuk waktunya.

7.  Di atas sejadah, selepas berdoa semua tu, lakukan pernafasan yang saya tulis dalam entri sebelum ini mengenai Minda Bawah Sedar. Buat sebanyak 10 kali.

8.  Sebelum mandi, berus badan kita menggunakan sikat atau loofah. Guna jari pun boleh juga. Caranya: Mula dari tumit, beruskan kaki ke atas menuju ke arah jantung. Kemudian, mula dari tangan berus ke atas juga menuju ke arah jantung. Tujuannya untuk melancarkan perjalanan darah. 

9.  Mandi dengan air sejuk. Air sejuk di waktu pagi boleh menghancurkan lemak-lemak dalam badan. Kalau tak silap saya, Islam juga menggalakkan mandi air sejuk di pagi hari, betul tak?

10.  Selesai sudah rutin selepas bangun pagi. Boleh lah kita buat apa yang perlu kita buat untuk hari tersebut. 

Tidak semestinya ikut turutan ni 100%. Boleh adaptasi mengikut keadaan. Mungkin boleh mandi dulu sebelum solat Subuh. Tetapi yang berus badan tu memang elok buat sebelum mandi.

Saya dah cuba buat pagi tadi. Terlepas yang berus badan tu aje sebab tengok masa macam tak sempat untuk hantar anak sekolah pagi. Tambah-tambah anak saya tu ada periksa PT3 hari ni. In sya Allah, esok saya akan cuba buat sepenuhnya. Kalau ikut kata penulis ebook tersebut, kita boleh nampak perbezaan selepas 2 minggu. Kita tengoklah macamana nanti. :)

Sunday, 11 October 2015

Berkenalan dengan Minda Bawah Sedar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, saya rasa sangat bersyukur dan teruja. Teruja kerana berpeluang untuk mendalami ilmu Minda Bawah Sedar (MBS). 

Memang dahulu saya sudah dengar mengenainya. Dan pernah dibawa/ditunjukkan bagaimana untuk mengenalinya. Tetapi apa yang saya dapat dahulu hanyalah pengalaman berada di dalam gelombang alpha. Saya tidak diajar bagaimana untuk pergi ke gelombang alpha dengan sendiri, tanpa diatur oleh penceramah.

Sekarang saya berpeluang untuk buat sendiri. Sebab itulah saya rasa sangat teruja kerana saya sudah tahu potensi MBS itu memang sangat besar. Ia menguasai 88% dari potensi diri sebenar kita.

Baru 2 hari saya mencubanya. Apabila membaca ebook Magis Sebuah Fikiran yang dikarang oleh Master Rey, sambil saya membaca sambil saya mencuba jurus-jurus yang ditulis. 

Keesokan harinya, seperti biasa saya akan ke pasar Bangi untuk menjaga gerai sejuk beku kami. Dalam perjalanan dari tempat letak kereta ke gerai, saya melihat pengunjung pasar Bangi macam lebih ramai dari biasa. Secara automatik, saya memprogram MBS saya untuk mendapatkan rezeki yang lebih untuk hari itu.

Alhamdulillah, sepanjang saya berada di gerai pada pagi itu, saya merasa tenang dan tidak menggelabah. Pelanggan pula membeli tanpa banyak soal. Tengok, pilih terus bayar. Kalau sebelum ni tengok tengok dan tengok, tanya, minta diskaun baru ambil dan bayar. Tapi kali ni, semua pelanggan saya tengok, tanya harga, pilih, terus bayar. Subhanallah. 

Satu lagi yang saya perasan, waktu berlalu seolah-olah dengan cepat. Tak sempat nak rasa bosan. Kalau sebelum ni 3 jam di pasar saya rasa agak lama. Tetapi kali ini, tiba-tiba aja dah nak balik. Alhamdulillah. Semuanya kurniaan Allah. 

Saya buat lagi pagi ni. Program MBS untuk mudahkan urusan kerana suami saya tidak ada bersama. Beliau ke Perak atas urusan perniagaan yang satu lagi. Jadi agak huru-hara jugak untuk saya uruskan tanpa beliau. Mana nak pasang gerai, mana nak susun produk dan seumpamanya. Tetapi sekali lagi Allah telah permudahkan segalanya. Berjalan lancar tanpa cacat cela. Dan begitu juga masa berlalu cepat. Tiba-tiba dah nak balik. Allahuakbar. 

Untuk sahabat saya, di sini ingin saya kongsikan sedikit iaitu jurus pertama yang diajar di dalam buku tersebut. Caranya sangat mudah. Iaitu dengan mengawal pernafasan. Menggunakan kaedah pernafasan terancang 10 20 10. Begini caranya:

1.  Duduk atau berdiri santai.
2.  Tarik nafas melalui hidung dalam kiraan 10.
3.  Tahan nafas dalam kiraan 20 (kalau boleh. Kalau tak boleh, tahan setakat mampu)
4.  Hembuskan nafas dalam kiraan 10 juga. 
5.  Rehat dalam kiraan 5.
6.  Ulang lagi. Buat dalam 10 kali.

Apa yang saya rasa bila buat ni adalah kita akan rasa lebih tenang. Semasa tarik hembus nafas tu boleh lah fikirkan apa yang kita ingin programkan MBS kita. Menakjubkan ciptaan Allah.

Banyak lagi jurus yang diajarkan oleh Master Rey dalam buku beliau tu. Jika terasa ingin mendapatkan bukunya dan dapatkan ilmu terus dari pakar, boleh lah dapatkan nya di sini.

Wednesday, 7 October 2015

Kasih Abadi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Bismillahirrahmaanirrahiim.

Berada di pasar setiap Sabtu dan Ahad pagi, saya selalu nampak seorang makcik ni boleh dikatakan selalu datang ke pasar. Saya tidak tahu hari yang lain tapi sepanjang Sabtu dan Ahad saya di pasar, saya pasti akan nampak makcik ni datang. Dan dia pasti akan datang ke gerai saya sekurang-kurangnya sekali. Sama ada hari Sabtu atau hari Ahad. Without fail. Dia beli kepala ikan, isi ketam dan selalunya yang 3 paket RM10.00 tu (fish finger, crab roll, crab cake). Dia nak merasa udang galah tapi katanya terlalu banyak dalam satu peket tu. Dia tinggal berdua dengan suami sahaja. Kalau anak-anak balik rumah dia barulah boleh dia membeli udang galah tu.

Apa yang menarik hati saya adalah pasangan ni bila datang pasti berdua. Yang suami tukang bawa kereta, yang isteri tukang beli lauk dan makanan. Dan bila mereka datang, kereta dipandu masuk ke dalam pasar dan akan berhenti di gerai mana yang makcik tu nak pergi. Katanya tak larat nak jalan jauh-jauh bawa barang. Memang mereka sudah berumur. Mungkin dalam usia 70an. 

Bila kereta berhenti, makcik tu akan keluar. Pakcik tu pula akan bawa kereta keluar dari pasar atau pusing pasar. Bukan apa, tempat letak kereta memang agak jauh dan agak susah nak dapat parking. Jadi kalau tak ada orang nak lalu kawasan dia berhenti tu, dia akan tunggu makcik tu habis membeli. Tapi kalau ada orang nak lalu, terpaksa la pakcik tu pusing satu pasar dan masuk balik kemudiannya. Ada satu hari tu sampai tiga kali dia pusing baru lah dapat tempat parking. Dan dia keluar pergi gerai makan untuk tunggu makcik tu habis membeli.  

Saya memang tabik pasangan dua orang ni. Orang kata cinta hingga hujung usia. Dan tabik juga pakcik tu sebab walaupun dah tua tapi masih gagah bawa kereta untuk bawa isteri ke pasar. Tiap hari pulak tu. Kalau betul tiap hari lah. Tapi yang pasti tiap Sabtu dan Ahad pasti ada. Moga saya dan suami juga akan jadi seperti itu di hari tua kami nanti. Dan juga semoga semua orang juga mendapat pasangan yang sedemikian rupa. Amiin.

Sayang sangat dengan makcik tu :)



Friday, 2 October 2015

Yang penting itu Hati

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sambil menunggu pelanggan, berborak dengan pak cik India yang menjual pakaian di gerai sebelah.

Pakcik tu datang tengok produk kami. Dia terlihat kepala ikan merah yang kami jual. Dia menyapa "Wah, kepala ikan. Sedap ni"

Saya menjawab "Ha'ah. Masak kari sedap. Kari India atau Mamak memang terkenal kan?"

Pakcik tu cakap "Memang sedap. Istri saya masak cukup sedap. Taruk bawang-bawang, rempah kari, kasi masak semua, taruk susu kelapa, baru masuk kepala. Itu baru sedap."

Saya cakap lagi "Wah, uncle mesti pandai masak. Tapi selalu India tak taruk santan kan untuk kari?". Cuba minta kepastian. Teori yang saya dengar dari mana entah.

Pakcik tu jawab " Taruk ke tak taruk ke suka hati. Tak kisah. Tapi kalau taruk lagi sedap"

Dalam hati saya " Ooooo...gitu"

Pakcik tu cakap lagi "Tapi sebenarnya kita masak, hati mau ada. Kalau masak ada hati, masak apa pun sedap. Kalau hati tak ada, lauk banyak pun tarak sedap"

Saya tanya "Maksud uncle?" walaupun saya dah boleh agak maksud dia.

Pakcik tu cakap "Itu, kalau kita masak, hati mesti fikir mahu masak untuk orang makan, buat elok-elok. Kalau masak hati marah-marah, tak sedap."

Saya balas "Betul uncle. Orang Melayu cakap kena ikhlas masak. Ada rasa sayang masa masak. Nanti semua orang makan pun dia cakap sedap."

Gitu.