Monday, 28 September 2015

Aku Seorang Penjaga Gerai (Perkongsian Pengalaman)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sekarang saya merupakan seorang penjaga gerai. Haha.

Membantu suami dalam perniagaan sejuk beku beliau. Membuka gerai di pasar Bandar Baru Bangi setiap hujung minggu. 

Bergerak seawal 7:00 pagi dari rumah sehinggalah pukul 10:30 pagi gerai dijaga dan produk ditawarkan kepada pelanggan dan pengunjung pasar. 

Merupakan satu pengalaman yang baru. Sebelum ni saya seorang yang bekerja di pejabat. Kemudian berhenti. Masih juga duduk di hadapan komputer untuk membantu suami dengan perniagaan IT beliau. Memang sangat-sangat berbeza pengalaman duduk di pejabat, di depan komputer dengan duduk di belakang meja gerai, di bawah sekaki payung. 

Kalau dulu, berurusan dengan pelanggan hanya melalui email atau telefon. Tetapi sekarang, berdepan mata ke mata. Memang pelbagai kerenah pelanggan "live" di depan mata. Sungguh mahal pengalaman itu. Saya suka. Dan saya bersyukur kerana diberi peluang sebegini. Alhamdulillah. Mesti ada pengajaran yang Allah ingin berikan kepada saya. Moga dapat pula saya kongsikan bersama-sama di sini. In sya Allah. 

Monday, 14 September 2015

Itu rezeki mereka.

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Semalam sewaktu singgah di gerai nasi lemak makcik yang saya selalu beli, beliau terus menegur saya dengan kata-kata,

"Isyy..seronok kan depa yang dapat mati kat Mekah tu kan? Mati tengah buat ibadat"

Terkejut sekejap saya. Tapi saya mengiakan kata makcik tu.

Memang sewaktu mendengar berita tersebut, kita merasa sedih kerana kehilangan. Apatah lagi kaum keluarga yang terlibat.

Tetapi, jika dilihat dari sudut perspektif makcik tadi, kita juga patut merasa gembira (saya tidak tahu perkataan apa yang perlu diletak di sini. Meskipun perkataan gembira seolah-olah tidak sesuai, tetapi itu lah perkataan yang ada dalam perbendaharaan bahasa saya. Mungkin saya perlu belajar lebih lagi). 

Gembira kerana pengakhiran mereka di tanah suci, yang ramai orang idam-idamkan. Ya, itu rezeki mereka.  Fikir balik, bagaimana agaknya akhiran kita ya? 

Al fatihah buat semua mangsa yang meninggal. Semoga ruh mereka berada di kalangan mereka yang dirahmati dan diberkati Allah hendaknya. Ameen.

Sesuatu Yang Memang Perlu Di dalam Kehidupan




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Bismillahirrahmanirrahim.

Setelah diamat-amati untuk kesekian kalinya, saya dapati memang untuk maju dan berjaya di dalam kehidupan, nak tak nak kita memang perlu menitikberatkan tabiat atau amalan kita. 

Kerana kita adalah makhluk yang tidak akan lari dari tabiat masing-masing, seeloknya tabiat yang baik kita sematkan. 

Sebagaimana yang telah ditulis di sini dan di entri-entri selepasnya, in sya Allah blog ini akan lebih berfokus kepada isu-isu tabiat, terutama sekali tabiat yang baik dan cemerlang. Ini adalah kerana kejayaan itu sendiri adalah merupakan satu tabiat.

Image result for habit






Friday, 11 September 2015

Perkembangan bisnes sejuk beku

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan sendiri

Alhamdulillah, meskipun sekarang asyik sibuk hingga tak sempat menulis blog, tetapi perkembangan bisnes sejuk beku kami boleh dikatakan amat memberangsangkan. Syukur atas rezeki Allah.

Memang betullah kata pakar motivasi. Jangan tunggu semua nak sempurna baru nak mula. Kalau dah ada sedikit sebanyak perkara yang boleh untuk kita mula, teruskan saja. Tak payah tunggu. Begitulah juga dengan bisnes kami ni. Bermula hanya dengan sebiji peti sejuk beku yang diletakkan di bawah garaj rumah kami. Sedikit modal dari suami dan rakannya, dapatkan stok dan terus mula menjual.

Pada permulaan, untuk membuka gerai pergi menjual di pasar pagi, agak segan juga kami nak buat. Tetapi, bila difikirkan, bagaimana kita nak capai pasaran sekiranya kita hanya meletakkan produk kami di rumah sahaja. Lagipun kami bukan insan terkenal. Kalau artis tu logik lah, bagi tau je dia ada bisnes, orang boleh cari. Tapi kami hanya insan biasa. Maka, di hari pertama tebalkan muka untuk mula menjual.

Alah bisa tegal biasa. Bila dah selalu buat, jadi ketagih pula. Seronok rupanya. Dan sedikit demi sedikit kami dapat perbaiki bisnes tersebut. Dari pasar pagi, kami buka pula di pasar tani. Kemudian, maju setapak lagi, buka di pasar malam. Kalau dulu, berniaga hanya di hari minggu, sekarang sudah setiap hari. 

Hubungan dengan pembekal juga semakin baik. Kalau dulu kami kena pergi sendiri ambil stok, sekarang stok dihantar ke rumah. Alhamdulillah. Dan kalau dulu stok baru kami ambil sekali seminggu, sekarang 3 kali seminggu. 

Sekarang nak tunggu kebenaran untuk dapatkan satu lot kedai untuk kami letak stok-stok kami. Sebab nak tambah satu lagi peti sejuk beku untuk tampung stok yang semakin pelbagai. Mudah-mudahan proses itu dipercepatkan. Ameen.

Dan semakin kami buat bisnes ni, semakin kami tahu apa yang perlu dibuat, ditambah dan diolah agar pelanggan berpuas hati. Memang sepatutnya begitu lah caranya buat bisnes ya? Buat dulu, lepas tu perbaiki, dan terus perbaiki sehingga semuanya berpuas hati. 

Antara produk-produk yang ada sekarang:

 Ketam bunga - satu peket 1 kg
 Udang harimau siap proses (dah buang kulit dah) - juga dipeketkan 1 kg
 Ketam soft shell - juga dipeket 1 kg
 Kepala ikan merah - saiz berbeza-beza dari 700 gm hingga 1.2 kg.
Telur ikan - stok telur ikan sangat terhad. Dan cepat pula habis. Stok sampai hari tu, esoknya sudah habis.
Isi ikan merah, juga dipanggil belly ikan. Di peket 1/2 kg. Segar isinya. Sedap dibuat kari atau goreng masam manis. 


















Thursday, 3 September 2015

Produk WANISA untuk wanita

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: laman Zhulian.com.my


Alhamdulillah, pelan perniagaan sudah pun siap. Sebentar lagi boleh cetak dan bukukan hehe.

Alhamdulillah juga kerana akhirnya saya berpeluang untuk mendapatkan satu produk tuala wanita yang sesuai dengan saya. Maafkan saya jika entri kali ini agak sensitif. Tetapi ingin juga saya berkongsi kebaikan produk kerana ia berkesan buat saya. Mana lah tahu jika ada orang yang mempunyai masalah seperti saya, kan?

Memang saya pernah pakai produk ini dulu. Malahan saya memakainya selepas saya melahirkan anak ke 8. Cepat baik luka bersalin saya berbanding jika saya memakai tuala wanita untuk perempuan bersalin. Ala yang ada tali tu. Yang tiada pelekat. Yang kita kena ikat pada pinggang. Dulu memang saya akan pakai tuala wanita sebegitu sebab bidan kata elok untuk jahitan hehe. Punya lah saya tidak berani untuk mengenakan tuala wanita lain selain yang itu. Sampai 7 anak saya, saya tetap menggunakan yang itu. Cuma yang ke 8 ni masa tu saya tak sempat nak dapatkan tuala wanita bersalin tu. Dan yang ada di rumah pada masa tu adalah tuala wanita WANISA. Jadi saya pun pakai sajalah. Dan ternyata ia memberi kebaikan pada saya, alhamdulillah.

Kemudian, saya terputus bekalan tuala wanita ini untuk hampir 2 tahun. Dan selama 2 tahun itu saya memakai pelbagai jenis tuala wanita, untuk "period" dan juga untuk panty liner. Ya, wanita berumur seperti saya dan juga yang telah melahirkan seramai 8 orang anak, pastinya perlu akan panty liner ni. Kalau zaman remaja dulu memang tak pakai. 






Nampaknya banyak-banyak tuala wanita yang saya pakai tu, satu pun tidak berapa sesuai dengan saya. Menjadikan saya tidak selesa. Kerengsaan. Kesakitan. Cukup saya cerita begitu sahaja lah ya. Tetapi saya terpaksa pakai juga sebab dah jadi macam satu keperluan bagi saya. 

Apa yang buat saya tahu yang WANISA ini sesuai dengan saya ialah sebaik sahaja saya memakai panty linernya, kerengsaan dan kesakitan saya itu beransur hilang. Tak sampai habis satu pek pun saya sudah rasa selesa sangat. Mungkin kerana cirinya yang mempunyai Far Infra Red dan ion negatif yang merencat pertumbuhan bakteria di kawasan itu. Lagi satu, bila datang bulan, tiada lagi bau-bau yang tidak menyenangkan hinggap di batang hidung saya. Alhamdulillah.

Benda yang baik elok dikongsikan ceritanya, betul tak?

P/S:  Bungkusan dia juga cantik :)











Wednesday, 2 September 2015

Pelan Perancangan Perniagaan




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Agak sibuk dua tiga minggu ni. Dengan urusan sosial dan urusan kerja.

Dalam masa seminggu, saya mendapat 2 orang anak saudara baru iaitu 2 anak saudara saya selamat melangsungkan pernikahan dengan pasangan masing-masing. Alhamdulillah. Nasib baik juga tempat majlis diadakan tidak jauh. Di Kuala Lumpur dan juga Port Dickson. Dapatlah saya ikut serta.

Bisnes frozen suami pula alhamdulillah, berjalan dengan lancar. Dan kami sedang dalam perancangan untuk mengembangkan lagi perniagaan tersebut. Jadi, tengah perah kepala untuk menulis Pelan Perancangan Perniagaan. 

Image result for business planKalau dilihat gambar di sebelah, begitulah keadaan saya apabila menulis Pelan Perancangan tu. Bersepah. Kurang teratur. Al maklum, penulisan Pelan Perancangan bukan seperti menulis blog. Ayat perlu dipilih agar sesuai dengan Pelan yang ingin diketengahkan. Mesti nampak professional. Dan tidak caca merba.

Format Pelan juga perlu menarik. Ringkas tetapi padat. Dengan kata lain, kalau ingin diserahkan kepada pelabur, pelabur akan tertarik untuk mengetahui dengan lebih dalam mengenai perancangan yang kita sedang lakukan.

In sya Allah, hanya tinggal sedikit sahaja lagi untuk disiapkan. Dalam 30% saja lagi. Iaitu bahagian kewangan. Yang itu saya terpaksa serahkan kepada suami kerana beliau lebih arif perihal kewangan dan bagaimana analisa kewangan perlu diketengahkan. Malam ni siaplah tu. 

Marilah berkunjung ke laman facebook perniagaan frozen kami iaitu di https://www.facebook.com/DKejoraFrozen. Manalah tahu kalau-kalau ada yang teringin makan makanan laut, boleh lah lihat produk-produk yang ada.