Wednesday, 26 August 2015

Jangan Takut Berimpian

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, syukur.

Pelbagai perkara berlaku dalam seminggu ini. Ada yang membuatkan hati rasa sangat tersentuh dan sebak kerana terharu dan gembira. Ada juga yang membuatkan perasaan ini sedih tetapi belajar merelakan.

Di awal tahun 2015, salah satu impian atau azam tahun baru yang saya tulis dalam buku jurnal saya adalah untuk memperbaiki amalan akhirat saya terutama sekali solat. 

Kata orang, apa yang kita inginkan patut kita tulis, kemudian sentiasa bayangkan dan fokus. Setiap hari. Tanpa ralat.

Memang dalam tempoh seminggu dua selepas menulis impian tersebut, saya masih berfokus. Tetapi lama-kelamaan fokus itu hilang dek kerana kesibukan kerja-kerja harian. 

Saya disedarkan kembali kepada impian saya itu apabila saya terlihat satu status di facebook berkenaan Teknik B.A.D iaitu Bertanya Allah Dahulu. Syukur, ebook Teknik B.A.D diberi muatturun secara percuma oleh penulis. Saya habiskan ebook tersebut dalam masa 45 minit. Sebab saya sangat teruja. 

Dari situ, saya diingatkan tentang amalan akhirat yang ingin saya buat. Alhamdulillah. 

Tidak lama kemudian, buku fizikal Teknik BAD pula diterbitkan. Dan saya dilorongkan untuk membeli dengan salah seorang insan yang memperkenalkan pula Teknik Asmaul Husna. Saya didedahkan pula dengan cara zikir menggunakan nama-nama Allah. Memang sebelum ini saya pernah membaca buku mengenai Asmaul Husna dan pernah berkongsi kisahnya di dalam blog lama saya. Tetapi saya tidak istiqamah mengamalkannya. Kini, Allah sekali lagi ingin mengingatkan saya tentang perkara ini. Allahuakbar.

Memang benarlah, kalau kita menginginkan sesuatu dan selagi ia tidak bercanggah dari suruhan Allah dan bila kita fokus, in sya Allah Allah akan bawakan kita ke arah itu. Tidak dengan sekelip mata tetapi sedikit demi sedikit. 

Itu hanyalah satu dari impian yang saya tuliskan. Ada lagi beberapa impian yang saya tulis. Dan mudah-mudahan saya juga akan ke arah itu sedikit demi sedikit. 

Apa yang ingin saya tekankan di sini, tidak perlu takut untuk berimpian. Meskipun dengan keadaan kegawatan ekonomi dan politik yang tidak menentu sekarang ini, tidak usah melatah dan merasakan yang kita sudah tiada jalan keluar. Banyak ketakutan yang dituliskan sama ada di facebook mahupun di dalam media yang lain. Ada yang fitnah pun ada. Namun, kita ada Allah. Dan Allah pasti akan selamatkan hambaNya, in sya Allah.

No comments:

Post a Comment