Wednesday, 26 August 2015

Jangan Takut Berimpian

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, syukur.

Pelbagai perkara berlaku dalam seminggu ini. Ada yang membuatkan hati rasa sangat tersentuh dan sebak kerana terharu dan gembira. Ada juga yang membuatkan perasaan ini sedih tetapi belajar merelakan.

Di awal tahun 2015, salah satu impian atau azam tahun baru yang saya tulis dalam buku jurnal saya adalah untuk memperbaiki amalan akhirat saya terutama sekali solat. 

Kata orang, apa yang kita inginkan patut kita tulis, kemudian sentiasa bayangkan dan fokus. Setiap hari. Tanpa ralat.

Memang dalam tempoh seminggu dua selepas menulis impian tersebut, saya masih berfokus. Tetapi lama-kelamaan fokus itu hilang dek kerana kesibukan kerja-kerja harian. 

Saya disedarkan kembali kepada impian saya itu apabila saya terlihat satu status di facebook berkenaan Teknik B.A.D iaitu Bertanya Allah Dahulu. Syukur, ebook Teknik B.A.D diberi muatturun secara percuma oleh penulis. Saya habiskan ebook tersebut dalam masa 45 minit. Sebab saya sangat teruja. 

Dari situ, saya diingatkan tentang amalan akhirat yang ingin saya buat. Alhamdulillah. 

Tidak lama kemudian, buku fizikal Teknik BAD pula diterbitkan. Dan saya dilorongkan untuk membeli dengan salah seorang insan yang memperkenalkan pula Teknik Asmaul Husna. Saya didedahkan pula dengan cara zikir menggunakan nama-nama Allah. Memang sebelum ini saya pernah membaca buku mengenai Asmaul Husna dan pernah berkongsi kisahnya di dalam blog lama saya. Tetapi saya tidak istiqamah mengamalkannya. Kini, Allah sekali lagi ingin mengingatkan saya tentang perkara ini. Allahuakbar.

Memang benarlah, kalau kita menginginkan sesuatu dan selagi ia tidak bercanggah dari suruhan Allah dan bila kita fokus, in sya Allah Allah akan bawakan kita ke arah itu. Tidak dengan sekelip mata tetapi sedikit demi sedikit. 

Itu hanyalah satu dari impian yang saya tuliskan. Ada lagi beberapa impian yang saya tulis. Dan mudah-mudahan saya juga akan ke arah itu sedikit demi sedikit. 

Apa yang ingin saya tekankan di sini, tidak perlu takut untuk berimpian. Meskipun dengan keadaan kegawatan ekonomi dan politik yang tidak menentu sekarang ini, tidak usah melatah dan merasakan yang kita sudah tiada jalan keluar. Banyak ketakutan yang dituliskan sama ada di facebook mahupun di dalam media yang lain. Ada yang fitnah pun ada. Namun, kita ada Allah. Dan Allah pasti akan selamatkan hambaNya, in sya Allah.

Wednesday, 19 August 2015

5 Jenis Blogger

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Cukup dahulu kita bercerita mengenai bisnes frozen. Jika ada sesiapa yang ingin melihat produk dan mendapatkan update bisnes tersebut, boleh lah ke sini

Saya baru selesai baca mengenai jenis-jenis blogger. Menarik juga membacanya. Kalau ikutkan, banyak jenis blogger ni sebenarnya. Tapi, yang paling popular ada 5 jenis iaitu:

1.  Jenis Wartawan (Journalist) - blogger jenis ini suka mengadakan temuramah dengan personaliti pilihan beliau, mengikut genre blog. Jika genre blog adalah hiburan, maka para artis dan mereka yang terkenal akan ditemuduga. Hasil temuduga akan ditulis di dalam blog.

2.  Jenis Keagamaan (Prophet) - selalunya mereka ini akan membincangkan isu-isu semasa seperti isu politik, isu agama dan sebagainya. Saya pun tak faham kenapa dia letak nama Keagamaan sebagai jenis blogger ini. Tetapi mungkin ingin menunjukkan bahawa blogger jenis ini akan mengupas satu isu dari segi moral dan mungkin keagamaan. Apa jua jenis agama. 

3. Jenis pereka (Artist) - mereka akan selalu membicarakan atau memaparkan hasil rekaan mereka. Contoh: pelukis komik. Blog mereka akan dipenuhi dengan komik yang mereka hasilkan. Atau mungkin pengusaha kek. Mereka akan bercerita mengenai kek yang mereka buat. Dan pelbagai jenis rekaan lain lah.

4.  Jenis Professor - blogger ini selalunya akan berkongsi apa sahaja yang dibaca, dilihat atau didengari. Mereka lebih kepada fakta dan informasi.

5.  Jenis Selebriti - mereka ini lebih suka mengumpulkan orang ramai di dalam satu komuniti. Mereka akan bercerita mengenai komuniti tersebut dan mengajak orang ramai untuk ikut serta berkongsi cerita dan pengalaman di dalam komuniti yang dicipta. 

Setelah diamat-amati, saya mendapati saya lebih menjurus kepada jenis yang ke 4. Sebab hobi saya ialah membaca. Dan selalunya apa sahaja yang saya baca, ingin sekali saya kongsikan dengan ramai orang. Mana lah tahu, ada orang yang akan dapat manfaatnya. Salah satu perkongsian saya ialah apa yang saya tulis ini lah :)

Jadi, yang mana satukah anda?

Tuesday, 18 August 2015

Pengalaman 2 Hari Berniaga di Pasar

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Baru dua hari pengalaman di pasar. Dan saya sendiri di sana pun tak sampai 3 jam. Dalam 45 minit aje. Selebihnya suami dan rakan beliau yang uruskan. Tetapi dalam dua hari dan sekejapan berada di pasar sana, banyak juga pengalaman yang dapat saya rasa.

Ada sekali tu, seorang lelaki OKU datang ke gerai kami. Sambil tersengih-sengih, seplastik air di tangan, beliau datang meninjau. Kami sapa "Udang galah encik". Dia balas balik sambil tersengih "Hah? Labah-labah?". Haha. Tergelak besar kami.

Seorang kakak pula datang dan lihat pada banner kami. Kami pun sapa "Kak, udang galah kak". Dia menjawab "Laa, udang. Ingatkan karipap". Haha.

Itu antara hiburan yang kami dapat setakat baru dua hari berniaga di pasar. Yang saya seronok ialah silaturrahim para peniaga di sana. Walaupun kami masih baru, masing-masing tidak lokek berkongsi cerita. Beramah mesra, bertegur sapa. Jadi kami tidaklah rasa janggal berada di situ.

Saya juga suka tengok cara setiap seorang berniaga. Boleh buat nota ni. Yang pastinya, untuk berniaga di gerai, kita tidak boleh duduk diam saja. Mulut mesti bukak. Orang tak beli tak apa, asalkan orang tau apa yang kita jual. Kalau duduk aje, tunggu orang tanya memang sampai sudah payah nak laku. Mungkin peniaga otai sudah tau perkara ni. Kami yang masih mentah ni baru tahu. 

Sekali lagi, doa saya semoga kami akan istiqamah di dalam perniagaan ini. Dan tabah menghadapi ujian yang pasti akan datang. Dan semoga impian untuk dapat bina kedai sejuk beku kami sendiri akan tercapai. Ameen.

Sunday, 16 August 2015

Bisnes Frozen Berjalan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: milik sendiri

Alhamdulillah.

Bisnes frozen yang dikatakan ingin dimulakan kembali telahpun bermula. Sedikit stock telah diperolehi. Keesokannya, terus dibawa ke pasar di Bandar Baru Bangi untuk dijual.

Alhamdulillah juga, walaupun bergerak ke pasar sedikit lambat, sambutan boleh dikatakan memuaskan. Stock telur ikan dan udang harimau yang dibawa habis dijual. 
Mudah-mudahan kami semua dapat istiqamah dan terus menerus bersemangat untuk menjalankan bisnes ini. 



Harapan kami:

Untuk buka kedai frozen suatu hari nanti dengan keuntungan yang diperolehi. Setakat ini dibuat kecil-kecilan terlebih dahulu. Kalau orang putih kata "garage business". Yang dilakukan di garaj sahaja. Belum ada kedai. Jadi, berniaga di pasar pagi sahaja dahulu. Dan tidak mahu bermodalkan duit pinjaman dari bank atau mana-mana institusi. 

Mudah-mudahan Allah perkenankan. Dan mohon didoakan juga. Ameen.



Wednesday, 12 August 2015

Berniaga dan Cabaran

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah.

Saya diberitahu yang in sya Allah bisnes sejuk beku yang tergendala selama setahun akan dimulakan sekali lagi bermula hujung bulan ini. 

Kenapa tergendala? Saya pun tidak pasti. Mungkin ada ketidaksefahaman antara rakan kongsi? Atau juga mungkin kerana masa. Apa-apa pun saya tidak mahu soal siasat dengan lebih lanjut kerana tidak mahu tersentuh perkara-perkara sensitif, jika ada. Sebab saya sendiri pun bukan rakan kongsi tetapi sekadar pembantu sahaja. 

Begitulah adatnya bila kita berniaga. Terutama sekali jika kita tidak lakukannya seorang diri. Mempunyai rakan kongsi. Memilih rakan kongsi untuk satu perniagaan amat penting. Kalau boleh biarlah rakan kongsi kita tu mempunyai misi dan visi yang selari dengan kita. Baru lah boleh kekal lama.

Setakat ini, sepanjang pemerhatian saya pada bisnes yang dijalankan oleh pasangan saya, acap kali bisnes beliau terpaksa digantung dan setelah itu ditutup hanya kerana rakan kongsi beliau tidak sanggup meneruskan perjuangan bersama. Bahkan perniagaan sekarang ini yang dahulunya dimulakan dengan 3 orang rakan kongsi tinggal dia seorang sahaja yang menguruskannya. Kenapa? Wallahuallam. Hanya beliau yang tahu sebab sebenarnya. Dan saya tidak mahu tanya lebih-lebih kerana ini melibatkan persahabatan beliau. Yang pastinya, apabila perniagaan mula menampakkan sedikit masalah, beliau ditinggalkan. 

Sebagai seorang isteri yang melihat seorang suami yang bertungkus lumus dari dahulu dan tidak pernah kenal erti serik untuk terlibat dalam bidang perniagaan, ingin saya lihat beliau berjaya untuk sekian kalinya. Dan saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu setakat yang saya mampu dan setakat yang saya pandai. In sya Allah. Harapan saya mudah-mudahan satu hari nanti kami berdua dapat mengembangkan perniagaan beliau, ameen. 


Monday, 10 August 2015

Insan Hebat dan Pengurusan Masa



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Alhamdulillah. Saya rasa teruja pula bila blog ini mendapat kunjungan dari seorang insan yang hebat iaitu Puan Husna Haron. 

Setelah melihat laman web beliau mengenai pengurusan masa bagi ibu yang bekerja dan juga suri rumah, pendek kata untuk para ibu lah, tidak kira yang bekerja atau sebagai eksekutif rumah tangga, pelbagai manfaat boleh kita perolehi hanya dari website tersebut. Belum hadiri seminar beliau lagi. Kalau hadir, pasti lagi banyak manfaatnya. Mudah-mudahan saya dapat hadir ke seminar beliau suatu hari nanti.

Jom ramai-ramai kita serbu www.efficient2me.com

Bercerita mengenai pengurusan masa, saya ada baca banyak perkongsian dan saranan dari pakar motivasi tentang cara bagaimana untuk menguruskan masa.

Salah satu cara yang disarankan adalah dengan mencatit masa kita melakukan sesuatu pekerjaan.

Image result for jam randik
Contoh: 
Sebagai seorang suri rumah, banyak kerja-kerja rumah yang perlu kita lakukan dalam satu hari. Menyapu rumah, mop lantai rumah, basuh baju, jemur baju, lipat baju, masak dan macam-macam lagi. Kadang-kadang satu satu kerja itu memakan masa yang lama. Apatah lagi untuk keluarga yang agak besar macam saya. Kalau lipat baju memang lebih dari setengah jam, boleh jadi satu jam juga. Ya lah, baju untuk 10 orang, dan hasil basuhan 2 kali mesin basuh :) Memang lama.


Jadi saranan yang diberi itu adalah untuk catit masa berapa lama setiap kerja itu dilakukan. Pakai jam randik, ada? Hehe. Saya guna "timer" pada telefon bimbit. 

Untuk jadikan kerja-kerja itu menarik dan tidak membosankan, di samping memberi kita motivasi dan keterujaan untuk melakukan kerja tersebut, cuba cabar diri sendiri untuk pecahkan rekod masa kita untuk kerja-kerja tersebut. Kalau hari ini saya siapkan lipat baju selama 45 minit, esok saya harus cuba siapkan kerja tu dalam masa kurang dari 45 minit. Bertanding dengan diri sendiri. Bukankah antara sifat manusia itu adalah "competitiveness" iaitu suka bertanding dan kalau boleh nak menang sentiasa. Jadi, bertandinglah dengan diri sendiri dan tengok setakat mana kita boleh lakukan. Sedikit sebanyak boleh lihat potensi diri sendiri juga, betul? 

Akhir sekali, dalam kita berkejar-kejar untuk jimatkan masa, jangan lupa untuk selitkan juga masa untuk rehat. Karang tak pasal-pasal ada yang jatuh pengsan sebab nak kejar masa dan nak tandingi diri sendiri. Nak perkara elok, tiba-tiba dapat yang tak elok. Tak nak lah macam tu. Kita juga perlu beri hadiah untuk diri sendiri. Berehat sebentar bersama kit kat   juga boleh jadi satu hadiah. :)
Asal jangan rehat yang terlebih lama sudah sampai satu kerja pulak tak dapat buat haha. 

Friday, 7 August 2015

Ilmu, Minda dan Kempen

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Baru selesai khatam 5 video percuma dari Dr Azizan Osman. Sangat menarik perkongsiannya. Dan membuka minda. Saya suka kenyataan beliau mengenai ilmu dan informasi. Kita sebagai manusia mesti selalu menimba ilmu. Jangan cepat merasa puas dan rasa dah cukup pandai. Sebab semakin kita timba, semakin kita rasa banyaaak benda yang kita tak tahu, betul tak? 

Dan sebagai seorang suri rumah, saya sering juga dimomokkan dengan kenyataan yang berbunyi begini:

"Suri rumah asyik duduk di rumah aje, minda tidak berkembang. Berbeza dengan orang yang bekerja. Jumpa orang, keluar dari tempurung, minda lebih luas".

Kalau kenyataan ini disebut pada suatu ketika dahulu iaitu di zaman internet belum ada, saya mungkin bersetuju. Tapi tak lah 100%. Kerana saya percaya yang kita masih boleh belajar walau dengan seekor semut. Maka, suri rumah yang sering berperang dengan semut, masih boleh berkembang mindanya. 

Zaman sekarang, dengan teknologi yang canggih, internet di hujung jari, kalau tidak di komputer, di telefon bimbit pun boleh, kenyataan tadi sudah tidak relevan lagi. Malah saya tidak terkejut jika ada ramai suri rumah yang lebih berkembang mindanya berbanding dengan yang bekerja. 

Atas sebab itu lah juga saya ingin mencabar diri saya sendiri untuk mengekalkan tabiat membaca dengan membuat satu cabaran atau kempen "Satu Bulan Satu Buku". Tak kira lah buku fizikal atau ebook. Saya juga ingin mengajak pembaca blog (jika ada) untuk ikut serta dalam kempen ini, boleh? Kalau ada yang sudi, saya ingin sekali menjadikan ia satu event yang agak besar, dengan mengajak pembaca untuk berkongsi apa yang dibaca dan mungkin akan diberikan hadiah atau cenderahati? Itu semua dalam perancangan dahulu. Sebab pembaca blog saya pun bukan ramai lagi pun. Tapi jika ada yang membaca dan ingin menjemput rakan-rakan menyertai boleh aja. Jika saya lihat macam ada sambutan, in sya Allah akan saya buat satu post khas untuk kempen ini. In sya Allah, Allah Ya Baari'.

Tuesday, 4 August 2015

Tipah Tertipu Ke?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: rekaan sendiri. Adaptasi imej dari google

Saya tidak berapa suka mengikuti kisah politik. Kalau orang bercerita pasal politik, saya biasanya tak akan fokus. Dengar aje, fahamnya tidak. 

Namun begitu, sejak kebelakangan ini, pelbagai cerita dihidangkan pada mata dan telinga saya. Nak tak nak, saya jadi terambil tahu walaupun tidak 100% tahu. 

Status di facebook, di twitter, cerita di whatsapp waktu ini memang banyak pasal politik. Ada yang betul, ada juga yang tak betul. Yang mana satu betul, yang mana satu tak betul? Saya pun tak tahu. Kerana saya tidak terlibat dan saya tidak ada sumber-sumber yang terlibat dengan politik. 

Namun saya percaya, walau apapun cerita yang keluar, kebenaran pasti akan timbul juga. Bak kata pepatah "Pandai-pandai tupai melumpat, pasti akan jatuh ke tanah jua".  Siapakah tupai itu? Wallahuallam. 



Sunday, 2 August 2015

Wanita Perlu Lebih Tidur?

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej: adaptasi dari artikel BHOnline



Artikel yang beri berita gembira untuk wanita :)

Tetapi hakikatnya? 

Kalau lihat perenggan terakhir artikel "....wanita memerlukan tidur lebih kerana menggunakan lebih banyak otak berbanding lelaki...", rasanya banyak yang terbalik. Jangan marah ya. Terutama sekali wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak. Mengikut pengalaman dan juga pemerhatian, wanita yang sudah berkahwin dan mempunyai anak memang tidak akan pernah cukup tidurnya berbanding lelaki. Maaf lah jika ada yang mengalami yang sebaliknya. Mereka yang mengalami pasti akan bersetuju. 

Apa-apapun, artikel ini boleh buat wanita gembira tetapi setakat itu sahajalah. Dan saya percaya ramai lelaki tak akan baca artikel ini sampai habis. Betul? Sekali lagi, jangan marah ya.

Tidak hairanlah jika kita dapat lihat ramai wanita yang moody, baran dan kurang bermaya. Mungkin salah satu sebabnya adalah tidur yang tidak mencukupi. "Dan isu ini tidak menjejaskan lelaki yang tidak cukup tidur", kata artikel itu lagi. Hmmm...jadi kalau tiba-tiba kena marah tak tentu pasal dengan wanita tu, paham-paham je lah ye? :)