Wednesday, 29 July 2015

Siri Masih Ku Ingat Lagi: Permainan Tradisional (Congkak)



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
gambar: carian google

Image result for congkak
Tiba-tiba kat rumah ni terjebak dengan permainan congkak. Papan congkak memang dah lama beli dah. Dan pernah lah anak-anak gila main congkak sekejap waktu baru beli papan tu. Lepas tu, bila satu satu guli hilang, masing-masing pun hilang semangat nak main. Papan congkak tu terbengkalai begitu sahaja. (Nasib baik tak ada "lembaga" lain yang main sorang-sorang :) )

Nak tergelak waktu nak beli papan congkak tu. Masa tu balik kampung di Terengganu. Merata jugak lah cari papan congkak ni. Susah nak jumpa. Yang kelakar tu sebab bila kita nak beli, kita tanya budak kaunter dengan pekerja yang duk lepak-lepak sambil tengok orang pilih barang tu, dengan bahasa loghat Terengganu "Cokok ado cokok?". Budak-budak tu dengan konfiden cakap, "Ade. Kat belakang tepi beloh kiri". Kita pergi lah tengok. Cari punya cari tak ada pun. Panggil budak yang lepak-lepak tadi. 

"Mane nye cokok tuh?" 

"Tuh...", sambil tunjuk pada songkok. 

"Laa, kite nok cari cokok. Congkak. Bukang sokok"

"Oooo..cokok takdok"

Dua tiga kedai jadi macam tu. Tergelak sakan kami. 

Yang menjadi kenangan buat saya ialah sewaktu saya kecil dulu, kami tak ada papan congkak ni. Kami main congkak bawah rumah (rumah di Kelantan tinggi-tinggi terutama di kawasan yang selalu banjir). Korek tanah buat lubang macam yang ada kat papan congkak ni. Buah dia guna batu je. Meskipun begitu, sakan juga kami main, sampai tak ingat nak naik makan. Maklum lah. Budak-budak. Main je tau. Lepas main, kuku penuh dengan tanah. Beria basuh tangan bila dah habis main. Lubang-lubang tu tutup dengan papan supaya terjaga rapi. Itu lah dia, walaupun dari tanah tapi kami tetap jaga he he he. 

Sekarang semua tu tinggal kenangan. Balik kampung pun lubang congkak tu dah tak ada dah. Dah terkambus bila banjir melanda. Dan tidak ada orang kisah dah. Lagipun, dengan tinggi sekarang ni dah tak muat dah nak masuk bawah rumah tu. Agak-agaknya lah, budak-budak sekarang nak tak main congkak tanah ni ya?

No comments:

Post a Comment