Wednesday, 22 July 2015

Siri Masih Ku Ingat Lagi: Malam Raya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih dalam bulan raya. Mood raya masih ada. Nostalgia raya diteruskan. :)

Apa yang masih saya ingat lagi suatu ketika dahulu, hari raya memang amat-amat dinantikan. Maksud saya, pengumuman raya. 

Malam raya (yang sepatutnya) akan menyaksikan semua orang menunggu di depan televisyen atau mendengar radio untuk mendengar pengumuman raya. Ketupat pun tidak boleh direbus lagi. Nasi untuk buat nasi impit belum ditanak. Kenapa? Sebab, tarikh hari raya memang betul-betul bergantung kepada anak bulan Syawal. Jika nampak anak bulan, baru lah semua boleh diteruskan. Jika tidak, masing-masing perlu ke masjid lagi untuk solat terawih. Seolah-olah selepas waktu Maghrib itu, keadaan di Malaysia terhenti seketika. Sehinggalah pengumuman raya dilakukan, barulah satu Malaysia bergerak kembali. :)

Jika diumumkan esoknya raya, bunga api dan mercun akan kedengaran. Kanak-kanak menjerit "Yeaay, esok raya" sahut menyahut. Di masjid pula akan bergema takbir raya. Ibu-ibu di dapur akan sibuk menyiapkan juadah untuk raya esoknya. Ketupat dah boleh direbus. Nasi sudah boleh ditanak. Ya, dulu buat nasi impit, tanak nasi, letak dalam daun pisang, bungkus dengan kain lepas tu himpit dengan tong beras ke atau tong gas. Bukan macam sekarang, rebus aje. Untuk kuahnya, bawang dan rempahnya ditumbuk. Begitu juga kacangnya. Bukan macam sekarang, blend aje. 

Kalau dahulu lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk persiapan hari raya berbanding zaman sekarang. Tetapi meskipun begitu, perasaannya lebih meriah. Sebab semua saling bantu membantu. Kalau sekarang, memang masih meriah tetapi darjah kemeriahannya tidak setinggi suatu ketika dahulu. Saya yakin mereka yang seumur dengan saya pasti bersetuju. 

Anak-anak sekarang sudah tidak dapat merasai nikmat kemenangan berjaya berpuasa sebulan sebaik sahaja diumumkan hari raya kerana sekarang kita sudah tahu bila hari raya. Agak-agaknya boleh ke berbalik semula seperti waktu dahulu? 

No comments:

Post a Comment