Sunday, 26 July 2015

Cita-cita/Azam Yang Terlepas dari Pandangan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali yang berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan yang berpesan dengan kesabaran.

Membaca status-status di mukabuku, ada yang positif dan ada yang negatif. Kalau boleh nak block terus yang negatif tetapi walau sudah block, ia tetap juga datang. Akhir sekali, abaikan sahaja. Tidak membacanya.

Meskipun begitu, kita harus sedar, setiap yang ada di dunia ini didatangkan dalam pasangan. Jika ada buruknya, pasti ada baiknya. Jika ada baiknya, ada pula buruknya. Selagi tidak melencong dari landasan agama, baca, cerap, analisa dan cuba fahamkan di mana baiknya dan di mana buruknya. 

Apa yang muncul di minda ketika ini adalah apabila membaca status mengenai amalan-amalan untuk murah rezeki. Antaranya adalah untuk bangun solat malam. Tiba-tiba terlintas di minda, saya memang ingin kalau boleh Allah murahkan rezeki. Tetapi, ada tak di dalam hati saya cita-cita untuk bangun malam dan solat? Cita-cita yang menjadi azam di setiap awal tahun. Dan setiap tahun azam itu diperbaiki agar kalau boleh setiap malam saya boleh melakukannya. Agar menjadi satu tabiat yang tidak boleh ditinggalkan langsung. Kalau ditinggalkan terasa pincang. 

Sedih sungguh rasa di hati kerana dalam kerakusan membina azam tahun baru, azam untuk bangun solat malam belum ada di dalam senarai. Astaghfirullah. Sungguh terasa diri ini sangat kerdil dan sangat kekurangan. Maka, layakkah saya sebagai seorang yang serba kekurangan, membuat pengadilan atau memberi hukuman kepada status-status negatif di mukabuku itu? Melihat komen-komen pembaca yang seolah-olah mereka lah orang yang sempurna. Wallahuallam. Apa pun sekali lagi saya tidak boleh membuat pengadilan. Yang penting, saya harus sentiasa perbaiki diri agar menjadi orang yang mendapat rahmat dan kasih sayang dari Ya Rahman Ya Rahim. Ameen.

No comments:

Post a Comment