Wednesday, 29 July 2015

Siri Masih Ku Ingat Lagi: Permainan Tradisional (Congkak)



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
gambar: carian google

Image result for congkak
Tiba-tiba kat rumah ni terjebak dengan permainan congkak. Papan congkak memang dah lama beli dah. Dan pernah lah anak-anak gila main congkak sekejap waktu baru beli papan tu. Lepas tu, bila satu satu guli hilang, masing-masing pun hilang semangat nak main. Papan congkak tu terbengkalai begitu sahaja. (Nasib baik tak ada "lembaga" lain yang main sorang-sorang :) )

Nak tergelak waktu nak beli papan congkak tu. Masa tu balik kampung di Terengganu. Merata jugak lah cari papan congkak ni. Susah nak jumpa. Yang kelakar tu sebab bila kita nak beli, kita tanya budak kaunter dengan pekerja yang duk lepak-lepak sambil tengok orang pilih barang tu, dengan bahasa loghat Terengganu "Cokok ado cokok?". Budak-budak tu dengan konfiden cakap, "Ade. Kat belakang tepi beloh kiri". Kita pergi lah tengok. Cari punya cari tak ada pun. Panggil budak yang lepak-lepak tadi. 

"Mane nye cokok tuh?" 

"Tuh...", sambil tunjuk pada songkok. 

"Laa, kite nok cari cokok. Congkak. Bukang sokok"

"Oooo..cokok takdok"

Dua tiga kedai jadi macam tu. Tergelak sakan kami. 

Yang menjadi kenangan buat saya ialah sewaktu saya kecil dulu, kami tak ada papan congkak ni. Kami main congkak bawah rumah (rumah di Kelantan tinggi-tinggi terutama di kawasan yang selalu banjir). Korek tanah buat lubang macam yang ada kat papan congkak ni. Buah dia guna batu je. Meskipun begitu, sakan juga kami main, sampai tak ingat nak naik makan. Maklum lah. Budak-budak. Main je tau. Lepas main, kuku penuh dengan tanah. Beria basuh tangan bila dah habis main. Lubang-lubang tu tutup dengan papan supaya terjaga rapi. Itu lah dia, walaupun dari tanah tapi kami tetap jaga he he he. 

Sekarang semua tu tinggal kenangan. Balik kampung pun lubang congkak tu dah tak ada dah. Dah terkambus bila banjir melanda. Dan tidak ada orang kisah dah. Lagipun, dengan tinggi sekarang ni dah tak muat dah nak masuk bawah rumah tu. Agak-agaknya lah, budak-budak sekarang nak tak main congkak tanah ni ya?

Sunday, 26 July 2015

Cita-cita/Azam Yang Terlepas dari Pandangan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu di dalam kerugian. Kecuali yang berpesan-pesan dengan kebenaran. Dan yang berpesan dengan kesabaran.

Membaca status-status di mukabuku, ada yang positif dan ada yang negatif. Kalau boleh nak block terus yang negatif tetapi walau sudah block, ia tetap juga datang. Akhir sekali, abaikan sahaja. Tidak membacanya.

Meskipun begitu, kita harus sedar, setiap yang ada di dunia ini didatangkan dalam pasangan. Jika ada buruknya, pasti ada baiknya. Jika ada baiknya, ada pula buruknya. Selagi tidak melencong dari landasan agama, baca, cerap, analisa dan cuba fahamkan di mana baiknya dan di mana buruknya. 

Apa yang muncul di minda ketika ini adalah apabila membaca status mengenai amalan-amalan untuk murah rezeki. Antaranya adalah untuk bangun solat malam. Tiba-tiba terlintas di minda, saya memang ingin kalau boleh Allah murahkan rezeki. Tetapi, ada tak di dalam hati saya cita-cita untuk bangun malam dan solat? Cita-cita yang menjadi azam di setiap awal tahun. Dan setiap tahun azam itu diperbaiki agar kalau boleh setiap malam saya boleh melakukannya. Agar menjadi satu tabiat yang tidak boleh ditinggalkan langsung. Kalau ditinggalkan terasa pincang. 

Sedih sungguh rasa di hati kerana dalam kerakusan membina azam tahun baru, azam untuk bangun solat malam belum ada di dalam senarai. Astaghfirullah. Sungguh terasa diri ini sangat kerdil dan sangat kekurangan. Maka, layakkah saya sebagai seorang yang serba kekurangan, membuat pengadilan atau memberi hukuman kepada status-status negatif di mukabuku itu? Melihat komen-komen pembaca yang seolah-olah mereka lah orang yang sempurna. Wallahuallam. Apa pun sekali lagi saya tidak boleh membuat pengadilan. Yang penting, saya harus sentiasa perbaiki diri agar menjadi orang yang mendapat rahmat dan kasih sayang dari Ya Rahman Ya Rahim. Ameen.

Wednesday, 22 July 2015

Siri Masih Ku Ingat Lagi: Malam Raya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masih dalam bulan raya. Mood raya masih ada. Nostalgia raya diteruskan. :)

Apa yang masih saya ingat lagi suatu ketika dahulu, hari raya memang amat-amat dinantikan. Maksud saya, pengumuman raya. 

Malam raya (yang sepatutnya) akan menyaksikan semua orang menunggu di depan televisyen atau mendengar radio untuk mendengar pengumuman raya. Ketupat pun tidak boleh direbus lagi. Nasi untuk buat nasi impit belum ditanak. Kenapa? Sebab, tarikh hari raya memang betul-betul bergantung kepada anak bulan Syawal. Jika nampak anak bulan, baru lah semua boleh diteruskan. Jika tidak, masing-masing perlu ke masjid lagi untuk solat terawih. Seolah-olah selepas waktu Maghrib itu, keadaan di Malaysia terhenti seketika. Sehinggalah pengumuman raya dilakukan, barulah satu Malaysia bergerak kembali. :)

Jika diumumkan esoknya raya, bunga api dan mercun akan kedengaran. Kanak-kanak menjerit "Yeaay, esok raya" sahut menyahut. Di masjid pula akan bergema takbir raya. Ibu-ibu di dapur akan sibuk menyiapkan juadah untuk raya esoknya. Ketupat dah boleh direbus. Nasi sudah boleh ditanak. Ya, dulu buat nasi impit, tanak nasi, letak dalam daun pisang, bungkus dengan kain lepas tu himpit dengan tong beras ke atau tong gas. Bukan macam sekarang, rebus aje. Untuk kuahnya, bawang dan rempahnya ditumbuk. Begitu juga kacangnya. Bukan macam sekarang, blend aje. 

Kalau dahulu lebih banyak kerja yang perlu dilakukan untuk persiapan hari raya berbanding zaman sekarang. Tetapi meskipun begitu, perasaannya lebih meriah. Sebab semua saling bantu membantu. Kalau sekarang, memang masih meriah tetapi darjah kemeriahannya tidak setinggi suatu ketika dahulu. Saya yakin mereka yang seumur dengan saya pasti bersetuju. 

Anak-anak sekarang sudah tidak dapat merasai nikmat kemenangan berjaya berpuasa sebulan sebaik sahaja diumumkan hari raya kerana sekarang kita sudah tahu bila hari raya. Agak-agaknya boleh ke berbalik semula seperti waktu dahulu? 

Saturday, 18 July 2015

Siri Masih Ku Ingat Lagi : Akhir Ramadhan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Entri tertunda. Ingin menulis pada malam 29 Ramadhan hari tu lagi tetapi tak sempat. Malam tu memang dekat kawasan rumah dah bising dengan mercun dan bunga api. Malahan anak-anak sendiri pun sibuk bermain bunga api. Semua itu mengundang nostalgia. 

Masih ku ingat lagi, waktu kecil dahulu, memang malam-malam akhir Ramadhan sering ditunggu oleh kami (saya, adik dan sepupu-sepupu). Kenapa? Kerana kami ada seorang pak sepupu yang bekerja sebagai polis (sekarang sudah arwah. Al-fatihah buat beliau. Semoga roh beliau dicucuri rahmat oleh Allah S.W.T). 

Sebagai seorang polis dan pak sepupu yang baik, beliau pasti akan membawa pulang banyak bunga api dan mercun untuk dipasang di malam-malam akhir Ramadhan. Ya lah, kami budak-budak mana boleh pasang sendiri mercun tu. Takut jadi apa-apa. Jadi, beliau lah orangnya yang akan memasang mercun tu dan kami akan berada di halaman rumah beliau untuk menyaksikan dan berhibur dengan mercun tersebut :)

Banyak jenis mercun yang beliau bawa pulang. Antaranya mercun das tu, yang ada 7 das, 12 das dan ada yang sampai 20 das. Mercun yang paling kami takut adalah mercun lalat/lebah. Kecil je mercunnya. Bila dipasang, perlu dilepaskan dan mercun tu akan terbang seperti lalat. Kami takut sebab ada masanya ia seolah-olah mengejar kami pula. Tapi alhamdulillah, tiada siapa yang cedera pun. 

Ada juga mercun ular. Mercunnya bulat macam pil. Bila dipasang, ia akan memanjang seperti ular. Macam pasang ubat nyamuk. Ada juga mercun yang das tu, satu das aje tapi dah habis das tu akan keluar payung terjun. Kami berebut-rebut untuk dapatkan payung terjun tu. :)

Dan macam-macam jenis mercun lagilah yang dah tak saya nampak dah sekarang ni. Hmmm..

Bunga api juga tidak ketinggalan. Dan bunga api yang kami boleh pegang semestinya seperti yang di bawah ni:

Image result for bunga api
Image result for bunga api




Bunga api yang pertama ni yang sekarang pun dah jarang dapat dilihat. Macam besi, warna hitam. Apinya tidaklah terang sangat tetapi tetap menarik. 

Gambar yang kedua yang banyak dijual sekarang. Anak-anak pun beli yang ini lah main di laman rumah malam tu.

Dan yang paling diminati anak kecil saya adalah yang ini:
Image result for bunga api

Sungguh seronok menjadi kanak-kanak kan? Apa-apa pun, kena sentiasa berhati-hati juga supaya tiada kejadian yang tidak diingini berlaku. Dalam bergembira mesti beringat dan berwaspada. 

Dan dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI kepada semua, maaf zahir dan batin. 

Monday, 6 July 2015

Kisah Seorang Tentera

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sebuah kisah mengenai seorang tentera yang akhirnya akan pulang ke rumah setelah berperang di Vietnam. Beliau menelefon ibu bapanya dari San Fransisco. Katanya “Ibu,ayah, saya akan pulang tetapi ada satu permohonan yang ingin saya minta dari ibu dan ayah. Saya ingin membawa pulang bersama saya seorang rakan, boleh?”
Ibu dan ayah beliau berkata “Sudah tentu boleh. Kami juga ingin berjumpa dengannya.”

Tentera tersebut berkata lagi “Ada satu perkara yang ibu dan ayah perlu tahu. Rakan saya ini telah tercedera semasa peperangan itu. Beliau telah terpijak periuk api dan kehilangan sebelah tangan dan kaki. Dia tiada tempat untuk tinggal jadi saya ingin bawa dia pulang untuk tinggal dengan kita”

“Kesiannya. Mungkin kita boleh tolong carikan tempat tinggal untuk dia” kata ayahnya.

“Tidak ayah, saya mahu dia tinggal dengan kita”, kata tentera tersebut.

“Anakku, kau tidak tahu apa yang kau minta. Hidup kita pun bukan senang sangat. Dan seseorang yang cacat sedemikian akan memberikan bebanan kepada kita. Kita tidak boleh jadikan perkara sebegini mengganggu kehidupan kita. Baik kamu lupakan sahaja tentang rakan kamu ini dan ayah pasti dia akan dapat cari tempat untuk dia tinggal dengan sendiri”

Mendengarkan itu, tentera tersebut meletakkan telefon. Selang beberapa hari selepas itu, ibu bapa tadi mendapat khabar berita bahawa anak mereka sudah meninggal dunia di San Francisco setelah terjatuh dari satu bangunan yang tinggi. Pihak polis percaya yang itu adalah kejadian bunuh diri.

Ibu dan bapa tadi pergi ke San Francisco untuk mengenalpasti jenazah anak mereka. Mereka memang mengecamnya tetapi alangkah terkejutnya mereka bila mendapati anak mereka hanya mempunyai satu tangan dan satu kaki sahaja.


Thursday, 2 July 2015

5 Habit untuk Graduan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google dan koleksi sendiri


Anda telah bergelar siswa. Telah melalui graduasi. Menjadi seorang graduan. Perlu menempuh dunia yang penuh dengan cabaran. Tambahan pula dengan situasi ekonomi sekarang. Berikut adalah lima (5) tabiat yang boleh diamalkan:

1) Kempen "1 buku 1 bulan"
-  jadikan satu tabiat untuk habiskan satu buku (sekurang-kurangnya) dalam masa sebulan. Kalau boleh lebih lagi bagus. 

Tabiat membaca memang patut digalakkan kepada semua orang, tidak semestinya graduan sahaja. Dan tidak semestinya buku fizikal sahaja. Sekarang ni banyak ebook yang dijual secara online. Yang percuma pun banyak juga. 

2) Ambil inisiatif untuk melakukan sesuatu. Jangan tunggu diberitahu atau disuruh.
-  Satu tabiat yang baik. Terutama sekali ketika menghadiri temuduga.

Sedikit perkongsian pengalaman. 
Semasa saya dipanggil untuk ditemuduga untuk jawatan pensyarah di sebuat institusi pengajian tinggi swasta satu ketika dahulu, saya diminta untuk mengadakan satu "mock lecture" (kelas olok-olok). Perlu sediakan bahan mengajar iaitu slaid, topik pilihan sendiri. Itu sahaja yang diberitahu kepada saya. 
Sesampai di institusi tersebut, saya terus dibawa ke bilik kuliah dan diminta memasang slaid yang saya bawa dan terus "mengajar" 3 orang panel penemuduga. 
Selesai mengajar, timbul dalam fikiran saya (syukur Allah ilhamkan) untuk menyoal kembali panel tadi yang berlagak seperti pelajar sama seperti apa yang sepatutnya saya buat di dalam kelas. Bila saya berbuat demikian, panel tadi nampak terkejut tetapi mereka ikut sahaja dan menjawab semua soalan yang saya berikan. 
Akhirnya, setelah selesai, ketua penemuduga datang berjumpa saya dan bertanya "Bila kamu boleh mula kerja?"
Saya diberitahu kemudian (apabila sudah menjadi pensyarah disitu), inisiatif saya membuat sesi soal jawab itulah yang memberikan saya markah yang agak tinggi sewaktu temuduga tersebut. Alhamdulillah.


3)  Simpan duit bermula sekarang.
Image result for ringgit malaysia

Kalau sudah bekerja, terus mulakan menyimpan dari gaji pertama lagi. Jangan tunggu ada agenda seperti nak kahwin ke, nak beli kereta ke atau apa sahaja. Terus menyimpan walau pun tiada tujuan apa-apa.

Ini memang satu tabiat yang patut diamalkan bukan setakat bila sudah kerja tetapi sejak kecil lagi elok amalkan.

Nota: sedang mendidik anak-anak menabung dari kecil juga.

4)  Bertanggungjawab di atas segala kesilapan sendiri.

Tidak kira apa jua kesalahan, jika kita yang lakukan, bertanggungjawablah. Jangan sekali-kali cuba untuk menuding jari atau mencari alasan untuk lari dari mengaku salah. 

Kalau mengaku salah pun ada 2 kemungkinan sahaja yang boleh berlaku iaitu:
a.   kita dihukum
b.   kita dimaafkan

Jadi apa perlu ditakutkan.
Seringkali saya lihat, ramai orang lebih suka mencari kesalahan orang lain untuk menutup kesalahan sendiri dan ada juga yang menuduh orang lain. Semua itu tidak ke mana sebab akhirnya kebenaran akan terbongkar juga. Jadi jika kita jadikan tabiat untuk mengaku setiap kesalahan kita,  lama-kelamaan kita akan lebih dipercayai dan tidak mustahil lebih disayangi.

5.  Jaga reputasi diri.


Image result for reputation
Boleh dikaitkan dengan perkara nombor 4 juga. Dengan mengaku kesilapan, kita membina reputasi. 

Selain daripada itu, perkara nombor 2 boleh menjadi satu pembina reputasi. Orang tahu kita sentiasa lakukan lebih dari yang disuruh atau diminta. 

Selebihnya, bina lah reputasi sendiri di mana jua berada. Fikirkan kita ingin orang kenali kita sebagai apa? Berusahalah ke arah itu. Itulah reputasi kita. In sya Allah.