Thursday, 28 May 2015

Millionaire Game

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Pagi tadi saya ada buat sedikit "spring cleaning" pada laptop. Memang saya jenis orang yang tidak boleh tengok file berterabur, folder berterabur dan seumpamanya. Saya jadi tidak senang hati.  Kalau boleh ingin semua tersusun dalam folder tersendiri supaya nanti senang saya nak cari. Kalau nampak file banyak sangat pun rasa tak senang hati. Mula lah cari file yang dah lama dan delete. Penyakit apa agaknya tu ya? 

Apa-apa pun, sewaktu melihat "Personal Folder" saya, ada satu file yang bernama "Millionaire Money Game" yang saya main dengan diri saya pada tahun 2012. 

Permainan ni mudah aje. Berlangsung selama 6 minggu. Pada minggu pertama, saya diberi wang sebanyak RM3,000.00 (secara maya sahaja, bukan betul-betul). Apa yang perlu saya buat adalah habiskan duit tersebut dalam masa seminggu. Fikirlah apa yang nak dibeli. Tulis kan dalam buku atau dalam komputer. Kalau ada imej lagi bagus. 

Kemudian, untuk minggu ke dua, duit tersebut ditambah lagi menjadi RM25,000.00. Seperti biasa, cuba habiskan dalam masa seminggu tersebut. 

Minggu ke tiga, ditambah lagi duit dan seterusnya sehingga minggu ke enam, saya mendapat RM1,000,000.00

Seronok betul saya bermain permainan ni waktu tu. Maklum lah, boleh beli apa sahaja yang saya inginkan, malah kalau nak buka perniagaan pun boleh. Sebab semuanya adalah secara maya sahaja.

Namun, apa yang menariknya adalah, bila saya lihat balik imej dan senarai perkara yang saya beli dan buat waktu tu, ada yang telah pun menjadi kenyataan. Saya pun tidak perasan. Tapi bila tengok balik satu persatu, saya ternampak "Eh! Ini memang dah dapat. Cuma saiznya sahaja berbeza tetapi bendanya tetap yang sama". 

Banyak juga la yang menjadi kenyataan. Boleh dikatakan dalam 50% sudah menjadi kenyataan dan 20% dalam proses untuk menjadi kenyataan sebab masih lagi berlangsung (proses bayar hutang :) )

Jadi, memang penting lah kita fikirkan apa yang kita inginkan, kemudian zahirkan ia di dalam bentuk tulisan atau imej. Kalau boleh beritahu orang lagi bagus. Yang saya buat tu tak ada orang tahu pun. Saya sorang-sorang je syok sendiri. Mungkin kalau saya kongsikan dengan keluarga ke atau kawan-kawan ke, ia boleh jadi kenyataan dengan lebih cepat? Wallahuallam.

Apa-apa pun Allah jua yang Maha Mendengar dan Mengetahui apa yang diinginkan oleh hambaNya. Dan Dia lebih tahu apa sebenarnya yang kita perlu dan bila kita perlukannya. Alhamdulillah.

Thursday, 21 May 2015

Kaedah Pertama - Fikir (Untuk Menukar Habit)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Mari kita lihat kaedah pertama untuk menukarkan tabiat atau habit kita iaitu Fikir. Setiap perkara yang ingin kita lakukan selalunya bermula dari dalam kepala, betul atau tidak? Kita jarang melakukan sesuatu secara membuta tuli tanpa imbasannya muncul dalam kepala kita terlebih dahulu. Bezanya antara individu adalah sama ada bayangan itu kita buat segera atau kita bertangguh untuk lakukannya atau tidak mahu buat langsung. Tapi mesti ia akan wujud dalam fikiran terlebih dahulu. 

Image result for thinkingBegitu jugalah jika kita ingin menukar sesuatu tabiat. Kita perlu fikir mengenainya terlebih dahulu. Dah fikir tapi masih tak boleh buat? Itu maknanya belum cukup fikir lah tu. Hanya laluan imbasan sahaja. Tidak betul-betul fikir secara mendalam. Bak kata Coach Rozee Saari, bila kita buat visualisasi dalam minda kita, perlulah dihadirkan dengan emosi bagi memberi impak yang lebih besar. 
Contoh: bayangkan kita ingin senaman setiap hari sekurang-kurangnya 10 minit. Letakkan imej di dalam fikiran kita gambaran kita sedang melakukan senaman, Dan waktu kita melakukan senaman tersebut, kita merasa sangat teruja dan gembira kerana berjaya melakukannya. 


Minda kita memang sesuatu perkara yang sangat hebat, ciptaan Allah Taala. Pelbagai perkara boleh kita letak dalam minda kita dan ia tak akan penuh atau sendat. Malahan, kita boleh simpan banyak imej dan data di dalamnya. Imej dan data itu juga boleh mendatangkan kesan apabila kita ingin menukar tabiat kita. 

Saya bagi satu contoh kehebatan minda. Tetapi sebelum tu, saya ingin minta maaf jika contoh yang akan saya berikan ini agak tidak sesuai. Ada sebab mengapa saya menggunakan contoh ini. 
Contohnya ya:
Saya ada satu soalan untuk anda. Pernahkah anda melihat orang kena raba? Krik. Krik.Krik.

Pernah? Tidak pernah? Bila saya tanya soalan ini, apakah yang hadir dalam minda anda? Bagaimana pula emosi anda? Ada bayangan orang kena raba? Walaupun anda tidak pernah lihat? Katakanlah ya, dalam bayangan anda, siapa yang kena raba? Siapa yang meraba?

Mengikut survey dari luar negara, selalunya orang akan membayangkan seorang wanita sedang diraba oleh seorang lelaki. Betul kah keputusan survey itu? Itu kah yang ada dalam minda anda sebentar tadi? Dan kita akan merasa marah, meluat, jijik dan yang seumpamanya. Ada yang rasa teruja ke? Begitulah hebatnya minda kita ini. Kerana kita sudah biasa didedahkan dengan berita-berita berkaitan raba ini di mana pelakunya adalah lelaki dan mangsanya adalah perempuan. Ia terpahat di dalam minda dan menjadi seperti acuan. Jadi, bila satu soalan seperti di atas ditanya, berbagai imej dan data yang saling berkait akan muncul dalam minda kita. 

Dan soalan saya itu pula hanyalah satu pertanyaan sama ada anda pernah lihat atau tidak sahaja. Saya tidak suruh anda bayangkan pun. Mungkin juga yang meraba itu adalah perempuan dan yang diraba juga perempuan. Dan saya juga tidak kata yang perkara itu benar-benar berlaku. Tetapi, selalunya yang muncul dalam fikiran kita adalah apa yang saya katakan tadi, betul tak?

Lagi satu contoh kehebatan fikiran atau minda. Jika kita ditanya soalan "Kamu nak tak raba si ZZZZZ?" Katalah ZZZZZ tu seseorang yang kita kenal. Apa yang akan muncul dalam minda? Pastinya wajah si ZZZZZ itu, perwatakannya, pakaiannya, dan segalanya fizikal beliau akan hadir dalam fikiran kita. Dan mungkin juga akan hadir imej di mana kita melakukan perbuatan yang tak sepatutnya dilakukan itu. Betul atau tidak? Tidak mustahil, lambat laun jika kita sering memikirkan perkara itu, kita akan merangka bagaimana untuk melakukannya secara realiti. Nauzubillah.

Itu adalah contoh sahaja. Tetapi itulah kuasa minda kita. Oleh itu, kaedah pertama yang saya nyatakan di sini memang akan dapat membantu kita sekiranya kita ingin menukar tabiat atau habit. Dengan izin Allah semestinya. Itulah juga sebabnya ada yang mengatakan, semuanya bergantung kepada minda. Kuat bayangan dalam minda kita, makin kuatlah peluang untuk kita menukar tabiat mencapai kejayaan. Contoh: ingin berhenti merokok. Boleh bayangkan, fikirkan setiap masa, hadirkan visual kita tidak lagi mencapai rokok selepas setiap kali makan dan seumpamanya? Boleh? Semuanya bergantung pada diri sendiri. Wallahuallam.

Banyak lagi yang boleh saya perkatakan di sini berkaitan dengan fikir atau minda. Tetapi cukuplah dulu setakat ini buat masa ini. Jika ada sebarang perkongsian, atau mungkin pengalaman dengan kuasa minda ini, boleh lah atau sudi lah kiranya dikongsi bersama. 

Untuk kaedah kedua....kita bersambung.

Friday, 15 May 2015

Kaedah untuk Tukar Habit - Pengenalan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Semakin bersemangat untuk merubah tabiat diri sendiri. Sebolehnya ingin cuba buang semua tabiat yang tak elok, mudah-mudahan. 

Orang kata, nak tukar sesuatu tabiat yang kita dah selesa lakukan memang sukar. Lagipun kita sudah selesa dengan perlakuan kita itu. Hendak menukar atau menambah tabiat baru memang akan ada halangan, sama ada halangan dari luaran mahupun halangan yang dicipta sendiri. 

Tetapi, kita juga tahu bahawa "melakukan sesuatu yang sama tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza adalah satu perbuatan yang bodoh". Saya tidak mahu menjadi orang itu. Sebab banyak perkara yang saya tidak mahu berlaku berulang-ulang. 

Di dalam pencarian saya bagaimana untuk menjadi lebih istiqamah, selain daripada disiplin diri, saya terjumpa satu kaedah yang memang sangat mudah dan sebenarnya "common sense" sahaja. Tetapi meskipun mudah, jika tidak dipraktikkan, tetap ia tidak menjadi apa-apa.

Teknik yang dijumpai itu dikenali sebagai "TSF method". Tapi itu ikut mat salleh punya lah. Saya ubah lah kepada bahasa Melayu kita iaitu "Kaedah FPF" iaitu Fikir-Permudahkan-Fokus.

Akan saya terangkan kaedah ini dengan lebih lanjut nanti - bersambung.

Wednesday, 13 May 2015

Habit Builder - kemajuan perlaksanaan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Merasa agak gembira 2,3 hari ni sebab "habit" yang saya lakukan semakin menampakkan hasil yang positif. "Habit" di mana sebelum masuk tidur, saya menulis 5 perkara yang akan saya lakukan keesokan harinya. Jika waktu mula-mula melakukannya, saya hanya dapat melakukan satu perkara sahaja dari 5 yang disenaraikan dan begitu juga dengan hari ke 2 dan ke 3. Tetapi masuk hari ke 4 dah boleh potong 3 perkara. Dan setelah seminggu lebih, saya akhirnya berjaya melakukan ke semua 5 perkara yang saya tulis tersebut.

Kenapa tidak dapat selesaikan 5 perkara tu sewaktu saya memulakan "habit" ni? Bukankah itu sepatutnya aktiviti yang kita rancang nak buat? Kenapa tidak buat? Bukan tak nak buat tetapi macam yang saya tulis hari tu, saya selalunya akan melakukan perkara yang disuruh dan bukannya perkara yang ingin saya buat. Itu yang membuat saya sedar yang saya perlu kan perancangan juga. Orang kata, kalau gagal merancang maknanya kita merancang untuk gagal. Jadi kalau untuk buat perancangan aktiviti untuk sehari pun dah gagal, macamana tu? Sedih pulak rasanya.

Macamana pula yang boleh berjaya lakukan 5 perkara tu? Yang itu memang saya ambil masa sedikit untuk merancang. Dan saya bertanya lebih awal apa yang boss saya ingin saya lakukan esok. Jadi boleh lah saya masukkan dalam senarai saya. Maka fahamlah saya, untuk membuat perancangan perlukan masa untuk fokus dan fikirkan. Dan perlu pro aktif. Sebab saya dah tahu perangai saya macamana, jadi apa kata saya gunakan pengetahuan saya itu untuk membantu saya. Secara tidak langsung, "habit" ini membuatkan saya mengenali diri saya dengan lebih lagi. 

Tentang "habit" waktu pagi orang yang berjaya yang saya tulis itu hari, memang saya mencuba untuk melakukannya pada hari Sabtu dan Ahad lepas. Semua aktiviti berjaya saya lakukan kecuali satu iaitu bab senaman. Memang "fail" lah bab tu. Bak kata Adnan Sempit "It's a fail". Boleh tak kalau berjalan-jalan dalam rumah sambil buat kerja rumah seperti menyapu, mengemas dapur, ruang tamu dan mengambil baju-baju untuk dibasuh dan dimasukkan ke dalam mesin basuh tu dikira sebagai senaman? Kalau boleh diambil kira, maknanya saya sudah berjaya lah sebenarnya. Tinggal nak istiqamahkan aje lah. Hehehe.

Thursday, 7 May 2015

Tujuh (7) Perkara yang Sering Dilakukan Oleh Mereka Yang Berpencapaian Tinggi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Baru sahaja baca artikel mengenai Tujuh Tabiat Waktu Pagi Mereka Yang Berpencapaian Tinggi. Dan saya jumpa jawapan saya tentang pukul berapa perlu bangun pagi untuk betul-betul dikatakan berpagi-pagi.

Jom saya kongsikan apa yang mereka buat selalunya:
Image result for wake up


Pertama sekali, macam yang saya cakap itu hari, bangun awal pagi. Dan jangan mengada-ngada nak peram tidur. 

Waktu yang elok untuk bangun pagi adalah dalam 2 jam sebelum memulakan waktu kerja. Contohnya: Kalau kita mula kerja pukul 8:30 pagi, eloklah bangun pukul 6:30 pagi atau lagi awal dari itu pun lagi bagus. 

Sesudah bangun tu, duduk sekejap dan fikir apa yang perlu disyukuri. Sentiasa bersyukur dengan apa yang kita dapat, apa yang kita ada, memang amat disarankan. Mulakan dengan diri sendiri dulu. Contohnya: Syukur dipanjangkan umur sehari lagi. Syukur tidur malam tadi tidak terganggu. Kemudian, panjangkan pula pada diri pasangan, anak-anak, keluarga, rakan-rakan dan akhirnya masyarakat. Tak payah tulis pun. Fikirkan saja. 
**Untuk kita orang Islam, elok kalau solat Subuh dulu. Lepas solat tu lah kita duduk sekejap dan ucap syukur.


Image result for big glass of waterYang ketiga, minum segelas besar air. Eloknya air suam. Sebab sewaktu tidur kita telah terhidrasi sebenarnya. Dan dengan minum air juga kita dapat kurangkan rasa lapar di pagi hari. 

Sesudah minum air, capailah buku motivasi dan baca dalam 5 - 15 minit. Atau mungkin boleh set 3 mukasurat setiap hari ke. Itu sendiri boleh tetapkan lah. Waktu ini minda kita masih lagi dalam keadaan alpha. Jadi bacaan yang memberi inspirasi dan motivasi amatlah elok untuk merangsang minda bawah sedar. Elakkan membaca suratkhabar atau dengar berita yang membuatkan kita rasa tak seronok (Contoh berita pasal geng Myvi tu ke). 
**Mungkin juga ini adalah salah satu sebab kenapa orang sekarang asyik baran je. Bawa kereta ke tempat kerja pun asyik nak baran je, tambah-tambah bila hadap dengan jem. 

Image result for stretching exercisesYang ke lima, lakukan sedikit senaman ringkas. Dalam 15 - 45 minit. Boleh buat senaman regangan atau pun "brisk walk" di luar rumah. Di taman tempat saya tinggal, saya selalu lihat jiran saya yang sudah pun berumur 50 tahun lebih berjalan-jalan keliling kawasan taman. Rumah saya rumah hujung dekat jalan besar, rumah dia pula rumah hujung dekat bukit. Selang 5,6 buah rumah jugak lah. Dia akan jalan dari rumah dia sampai rumah saya, dan patah balik. Dan dia akan buat beberapa pusingan. Saya selalu terserempak bila saya keluar untuk hantar anak saya ke sekolah pagi. Mungkin lepas ni saya pun boleh ikut cara dia lah. Sebab bab senaman ni saya memang agak liat nak buat huhu.

Selesai senaman, boleh lah mula duduk dan sarapan. Sarapan pula perlulah yang menyihatkan. Bukan pulun nasi lemak 2 pinggan (saya mengaku saya bersalah huhu). Buah-buahan, oat, telur dan yang seumpamanya.

Akhir sekali, bayangkan bagaimana kita mahu hari kita berlangsung. Bayangkan apa yang kita akan lakukan pada hari itu. Ini mungkin boleh diselarikan dengan aktiviti yang kita sudah tulis malam sebelumnya (tabiat tulis 5 perkara untuk dilakukan esok hari sewaktu sebelum tidur). Dan bayangkan yang semuanya berjalan lancar. Ini boleh kita lakukan sebelum mandi, sewaktu mandi atau sesudah mandi. Kalau ikut pengalaman, sewaktu mandi adalah waktu yang seronok untuk kita berkhayal hehe. Tapi itu terpulang kepada individu. 

Saya nak cuba buat lah apa yang ditulis ni. Kalau diikutkan, bangun pagi, minum air, baca perkara yang baik telahpun saya lakukan. Cuma tidak di dalam turutan yang diberi. In sya Allah, kita tengok macamana. Saya nak mulakan hujung minggu ni, boleh? ;)




Wednesday, 6 May 2015

Blog Revive Day - Sentraal Station

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

بسم الله الرحمن الرحيمِ

Hari ini adalah "blog revive day" untuk para blogger yang dah lama tidak update entri. Meskipun blog saya ini blog yang agak baru, saya tidak lah setegar suatu ketika dahulu. Kalau dulu, tiap hari mesti update blog. Sebelum masuk kelas pergi mengajar, tulis blog dulu. Perkara pertama yang dibuat sebaik sahaja buka komputer, mesti tengok blog dulu. 

Siap tulis blog, pergi melawat blog-blog pula. Satu persatu blog dilawati. Ada blog saya tinggalkan komen, ada pula saya hanya jadi pembaca senyap sahaja. Kenapa senyap? Segan. Tulisan mereka sangat hebat. Saya terasa kerdil. :(

Dulu saya sering blog mengenai aktiviti harian, dengan anak-anak, dengan kerja (waktu tu saya masih jadi pensyarah, sekarang dah jadi eksekutif rumah tangga), sekarang saya sering kongsikan aktiviti saya di dalam percubaan untuk menjadi seorang insan yang lebih baik (in sya Allah). Dah nama blognya pun pembangunan kendiri. Sebab hidup kita ini segala-galanya adalah satu pelayaran. Destinasinya akhirat yang abadi. 

Sekarang juga, untuk update blog saya perlu selesaikan kerja-kerja saya sebagai eksekutif rumah tangga tu dulu. Seawal pagi menjadi supir menghantar anak-anak ke sekolah. Kemudian urusan di dapur. Urusan kemas baju, basuh baju, sidai baju, lipat baju, gosok baju (kalau lah ada mesin yang boleh buat semua ni). Tengahari pula menghantar anak sekolah petang, ambil anak sekolah pagi. 

Semasa saya mula blogging, anak masa tu baru 4. Sekarang sudah 8. Seorang dah masuk asrama lepas SPM. Yang lain masih sekolah kecuali yang bongsu umur 4 tahun. Dan sejak saya berhenti kerja, bibik pun dah tak ada. Jadi agak kelam kabut juga jadinya sehari-hari. 

Saya selalu tertanya bagaimana caranya untuk saya optimumkan masa saya sehari-hari supaya saya dapat lakukan banyak kerja tanpa buang masa. Terfikir juga saya untuk "time" kan kerja-kerja saya. Pakai jam randik. Tengok berapa lama saya guna untuk siapkan sesuatu kerja. Teringat pulak suatu ketika dahulu saya pernah lukis pelan rumah saya dan fikir macamana nak kemas rumah dengan cepat dengan melihat pelan tu. Mana nak mula dulu, lepas tu pergi mana. Haha. Akhirnya pelan tah ke mana, kerja tetap menimbun.

Apa-apa pun, setiap yang kita buat itu, kalau ikhlas dan niat kerana Allah, tak ada la rasa berat atau banyak sangat pun. Cuma sebagai manusia ni kadang-kadang "jahat"nya tetap ada. Sibuk nak komplen. Hehe.

Sudah update blog ni, boleh la pergi jalan-jalan blog lain dalam Sentraal Station tu. Dan boleh juga mula letak pautan blog-blog tersebut di sebelah ni nanti. Moga semua blogger Sentraal Station akan kembali menjadi blogger tegar seperti suatu ketika dahulu. Ameen.


Friday, 1 May 2015

Imbauan Kenangan - Impian jadi nyata

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Selamat bercuti semua sempena hari pekerja. Ramai yang ambil peluang balik kampung sempena cuti panjang hujung minggu ni. Berhati-hatilah di dalam perjalanan. Ingatlah yang tersayang. Sama ada yang menanti di kampung mahupun yang sama-sama ikut serta di dalam perjalanan.

Dua hari lepas saya telah dijemput masuk ke dalam grup blogger yang boleh dikira otai. Sangat gembira melihat senarai nama ahli-ahli di dalam grup tersebut. Ramai yang memang saya masih ingat dan kenali dan pernah singgah menyinggah di blog mereka suatu ketika dahulu, semasa menjadi blogger tegar. 

Mengimbau kembali kenangan di zaman gila blogging dahulu. Sungguh seronok. Walaupun tidak kenal secara nyata, tetapi hanya dengan membaca blog dan berkomunikasi menerusi blog, terasa seperti sangat-sangat kenal. 

Atas sebab itu jugalah saya telah pergi ke blog lama saya. Dan membaca kembali entri-entri yang saya tulis. Betul-betul terkenang weh!

Yang menarik minat saya ketika membaca balik entri yang lama tu, ada satu entri yang saya tulis ada menyatakan hasrat saya untuk berhenti kerja dan menjadi suri yang bekerja dari rumah. Memang sudah lama entri tu. Antara entri terawal di dalam blog tersebut. Memang betullah bak kata pepatah "Be careful of what you wish for, because it might just come true". Dah memang jadi kenyataan dah pun. Sekarang saya sudah pun berhenti kerja dan bekerja kadang-kadang dari rumah. Eh, kenapa kadang-kadang? Sebab ada masanya saya perlu juga ke pejabat untuk uruskan kerja-kerja yang tidak dapat diselesaikan di rumah. Tetapi pejabat saya tu pun rupa dia macam rumah jugak. :)  Boleh tak kalau saya kata memang saya kerja dari rumah lah haha.

Oleh sebab itu, memang segala impian kita patut kita tulis. Dan lagi bagus kalau kita "public"kan dia. Supaya lebih cepat ia menjadi kenyataan. Boleh gitu?