Thursday, 30 April 2015

Tabiat Ke dua - Berpagi-pagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, setakat ini masih belum terbabas lagi dari melakukan tabiat menulis 5 perkara yang ingin dilakukan keesokan hari. Meskipun ada kalanya tidak semua 5 perkara itu betul-betul dapat dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi sedikit panduan dan adakalanya semangat untuk terus bertindak melakukan sesuatu. Dan yang paling memeranjatkan saya adalah, ia sedikit sebanyak memberikan saya keyakinan diri untuk melakukan perkara-perkara yang sebelum ini agak gentar untuk saya lakukan.

Sebenarnya di dalam buku yang saya baca mengenai membina tabiat yang baik untuk mencapai impian, penulis buku tersebut menyarankan sebanyak 77 tabiat. Menulis 5 perkara yang saya nyatakan sebelum ini adalah salah satu daripadanya. In sya Allah akan saya kongsikan di dalam blog saya ini semua tabiat yang disarankan dan akan ditambah juga dengan tabiat lain yang saya baca di tempat lain pula. 

Tabiat yang ingin saya kongsikan kali ini adalah:

"Bangun awal pagi setiap hari"

Apakah definisi pagi bagi anda? Lain orang lain definisinya. Ada yang berpendapat, awal pagi itu adalah se awal sebelum Subuh. Ada pula yang menyatakan pagi itu selagi belum pukul 12:00 iaitu tengahari. 

Ikhlas saya nyatakan, saya adalah seorang insan yang agak liat untuk bangun awal pagi. Satu tabiat yang memang tidak berapa elok. Namun begitu, sejak menjadi suri rumah sepenuh masa, boleh pula saya bangun awal pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah. 

Kenapa bangun awal pagi ini elok dijadikan satu tabiat? Kita ada dengar, pepatah melayu "Siapa cepat dia dapat". Begitu juga pepatah Inggeris "Early birds will catch the worms". Agama kita sendiri pun menyarankan kita berpagi-pagi melakukan segala urusan terutama sekali bagi mereka yang bergelar usahawan. Rezeki di pagi hari adalah lebih murah. Jadi, perlukah saya terangkan lagi kenapa bangun awal pagi itu elok dijadikan tabiat? 

Di dalam satu artikel saya juga terbaca yang salah satu amalan mereka yang berjaya adalah apabila sedar dari tidur, mereka terus bangun. Tidak peram-peram. Macam yang biasa kita buat "Lima minit lagilah", "Tunggu abang siap mandi lah" dan macam-macam alasan lain lagi. Seeloknya, terbukanya mata, terus bangun, pergi solat Subuh, minum air masak dan terus lakukan kerja-kerja yang ingin kita lakukan.

Dengan itu, mari lah kita berpagi-pagi setiap hari. Boleh?


No comments:

Post a Comment