Thursday, 30 April 2015

Tabiat Ke dua - Berpagi-pagi

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, setakat ini masih belum terbabas lagi dari melakukan tabiat menulis 5 perkara yang ingin dilakukan keesokan hari. Meskipun ada kalanya tidak semua 5 perkara itu betul-betul dapat dilakukan, tetapi sekurang-kurangnya ia memberi sedikit panduan dan adakalanya semangat untuk terus bertindak melakukan sesuatu. Dan yang paling memeranjatkan saya adalah, ia sedikit sebanyak memberikan saya keyakinan diri untuk melakukan perkara-perkara yang sebelum ini agak gentar untuk saya lakukan.

Sebenarnya di dalam buku yang saya baca mengenai membina tabiat yang baik untuk mencapai impian, penulis buku tersebut menyarankan sebanyak 77 tabiat. Menulis 5 perkara yang saya nyatakan sebelum ini adalah salah satu daripadanya. In sya Allah akan saya kongsikan di dalam blog saya ini semua tabiat yang disarankan dan akan ditambah juga dengan tabiat lain yang saya baca di tempat lain pula. 

Tabiat yang ingin saya kongsikan kali ini adalah:

"Bangun awal pagi setiap hari"

Apakah definisi pagi bagi anda? Lain orang lain definisinya. Ada yang berpendapat, awal pagi itu adalah se awal sebelum Subuh. Ada pula yang menyatakan pagi itu selagi belum pukul 12:00 iaitu tengahari. 

Ikhlas saya nyatakan, saya adalah seorang insan yang agak liat untuk bangun awal pagi. Satu tabiat yang memang tidak berapa elok. Namun begitu, sejak menjadi suri rumah sepenuh masa, boleh pula saya bangun awal pagi untuk menghantar anak-anak ke sekolah. 

Kenapa bangun awal pagi ini elok dijadikan satu tabiat? Kita ada dengar, pepatah melayu "Siapa cepat dia dapat". Begitu juga pepatah Inggeris "Early birds will catch the worms". Agama kita sendiri pun menyarankan kita berpagi-pagi melakukan segala urusan terutama sekali bagi mereka yang bergelar usahawan. Rezeki di pagi hari adalah lebih murah. Jadi, perlukah saya terangkan lagi kenapa bangun awal pagi itu elok dijadikan tabiat? 

Di dalam satu artikel saya juga terbaca yang salah satu amalan mereka yang berjaya adalah apabila sedar dari tidur, mereka terus bangun. Tidak peram-peram. Macam yang biasa kita buat "Lima minit lagilah", "Tunggu abang siap mandi lah" dan macam-macam alasan lain lagi. Seeloknya, terbukanya mata, terus bangun, pergi solat Subuh, minum air masak dan terus lakukan kerja-kerja yang ingin kita lakukan.

Dengan itu, mari lah kita berpagi-pagi setiap hari. Boleh?


Sunday, 26 April 2015

Si Doktor

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Image result for doctor in surgery

Seorang pakar bedah datang ke hospital dengan tergesa-gesa setelah mendapat panggilan kecemasan. Dengan segera beliau menukar baju dan melakukan prosedur pra pembedahan dengan segera.

Setibanya dia di luar bilik bedah, seorang lelaki yang sedang mundar-mandir berkata kepada doktor tersebut, "Kenapa doktor lambat datang? Tahukah doktor anak saya sedang di dalam keadaan yang bahaya sekarang?"

Doktor tersebut dengan tenang tersenyum dan berkata "Maafkan saya. Saya baru sahaja sampai setelah mendapat panggilan kecemasan tadi. Saya berada di luar hospital tadi. Saya harap tuan dapat bertenang dan izinkan saya melakukan tugas saya"

Dengan perasaan tidak puas hati, si bapa tadi berkata "Bertenang? Bagaimana jika anak doktor yang ada di dalam sekarang ini? Jika anak doktor sendiri yang meninggal sekarang, apa yang doktor akan buat?"

Sekali lagi dengan tenang dan tersenyum, doktor itu berkata "Saya akan ucapkan 'dari Allah dia datang dan kepada Allah dia pergi'. Doktor tidak dapat panjangkan umur jika tidak diizinkan Allah. Berdoalah agar anak tuan dapat diselamatkan" Dan doktor tersebut terus bergegas untuk masuk ke bilik bedah. Tetapi sempat juga dia mendengar si bapa berkata "Memberi nasihat tanpa rasa perihatin memang mudah"

Setelah beberapa jam berlangsung, pembedahan tersebut selesai. Si doktor keluar dengan wajah gembira menyapa si bapa tadi "Alhamdulillah, pembedahan anak tuan berjaya. Untuk tahu lebih lanjut sila tanyakan misi nanti". Dengan segera si doktor itu berlari keluar dari hospital.

"Kenapa doktor tadi sombong sangat?" tanya si bapa kepada misi yang baru keluar daripada bilik pembedahan.

Kata misi dengan mata yang bergenang "Anak beliau baru meninggal pagi tadi kerana kemalangan jalanraya. Beliau sedang menguruskan jenazah dan segala urusan pengkebumian apabila beliau mendapat panggilan telefon untuk anak tuan. Sekarang beliau terus ingin kembali menyelesaikan urusan pengkebumian anak beliau itu"

Andai kita lah si bapa itu, apa agaknya yang kita rasa ya?

Itu lah sebabnya jangan cepat menghukum sebelum kita ketahui cerita sebenarnya. Setiap orang ada cerita tersendiri. Fikir lah dahulu sebelum bertindak. 


Friday, 24 April 2015

Percubaan Pertama - Tabiat Pertama

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Image result for to do list
Saya telah mulakan tabiat yang saya tulis dalam entri sebelum ini iaitu menulis 5 perkara yang akan dilakukan esok hari pada malamnya sebelum saya tidur.

Untuk pertama kalinya saya cuba memikirkan apa yang patut saya letakkan dalam senarai 5 perkara tersebut. Agak sukar juga kerana tidak biasa. Yang biasa saya lakukan adalah buat senarai apabila sudah dapat tugasan yang diberikan oleh boss saya (iaitu suami saya). Tetapi malam tadi, saya harus memikirkan apa yang ingin saya lakukan keesokan harinya, yang memang saya tidak mendapat apa-apa arahan pun.

Selain daripada kerja-kerja rutin rumahtangga seperti menyediakan sarapan, menggosok baju, kerja-kerja di dapur, menghantar dan mengambil anak-anak dari sekolah, menyediakan makan tengahari dan sebagainya, saya baru sedar yang selama ini saya hanya menunggu arahan daripada orang lain untuk melakukan sesuatu perkara yang berkaitan dengan kerja pejabat atau bisnes. Patut lah sampai sudah saya tidak mahir di dalam mengendalikan bisnes. Wah, memang banyak lagi yang saya perlu belajar nampaknya.

Bagus juga percubaan saya untuk jadikan menulis 5 perkara itu sebagai tabiat. Sekurang-kurangnya saya menyedari akan satu kelemahan saya atau kesilapan saya. Moga dapat diperbaiki. Sedikit sedikit dan perlahan-lahan. 

Jom tulis 5 perkara yang ingin dilakukan esok pula. Esok cuti, ada perkara yang nak dilakukan kah? :)

Thursday, 23 April 2015

Tabiat dan Sikap

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Imej:  Carian Google




Image result for habits

Merasa sangat terkesan membaca beberapa artikel dan ebook berkenaan tabiat (habit). Memang kita tidak dapat lari dari tabiat-tabiat yang kita dah biasa lakukan. Namanya pun tabiat, mesti lah ia sesuatu yang kita sudah biasa. 

Tabiat ada yang elok, ada yang tidak elok. Saya tidak mahu fokus kepada yang tidak elok. Kerana sebagai seorang manusia, kita seharusnya sentiasa berubah ke arah yang lebih baik dan bukan sebaliknya. 

Di dalam umur yang sudah boleh dikatakan "senja" ini, sudah semestinya saya perlu lebih tertumpu kepada tabiat yang baik. Dan untuk melakukan tabiat yang baik, saya perlu ada sikap yang baik juga. Tabiat dan sikap, dua perkara yang mencorakkan kehidupan kita. Betul? 

Satu tabiat yang baik untuk kita lakukan:

Sebelum tidur setiap hari, tulis 5 perkara yang akan kita lakukan esok hari (to-do list lah ni). Tak perlu fikir bagaimana untuk kita lakukan 5 perkara tersebut. Cukup hanya tulis sahaja. Jadikan ia satu tabiat. 

Jom kita cuba mulakan!



Tuesday, 21 April 2015

Satu Training Sudah Selesai

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, tamat sudah satu training. Minggu hadapan ada satu lagi training yang perlu dikendalikan. Tetapi untuk training minggu hadapan, kerja-kerja yang perlu kami buat tidaklah sebanyak mana kerana kami mendapat kerjasama daripada Puspakom. Semua nota dan alatan untuk training akan disediakan oleh pihak Puspakom. Kami hanya perlu pastikan peserta bersedia sahaja. 

Untuk training yang sebelum ini, kami perlu sediakan segalanya dari A sampai Z. Antaranya yang perlu dilakukan adalah:
  • Kenalpasti tempat training
  • Menghubungi penceramah (trainer) dan tetapkan tarikh seperti yang dijadualkan
  • Menyediakan slaid untuk penceramah. Ada sesetengah penceramah lebih suka menyediakan slaid mereka sendiri. Tetapi jika tidak, saya lah yang akan menyediakannya. Saya bersyukur kerana saya telah mendapat banyak pengalaman menyediakan slaid sewaktu saya menjadi pensyarah suatu ketika dahulu. Maka, menyediakan slaid untuk training selama 3 hari tidak menjadi masalah yang sangat besar bagi saya. 
  • Mencetak slaid dan menyediakan fail untuk peserta.
  • Menyediakan air minuman (mineral) untuk peserta (selama 3 hari training)
  • Menyediakan soalan kuiz untuk peserta (kerana pihak penganjur meminta kami berbuat demikian)
Pada hari training kami harus memastikan semua perkara disediakan sebelum training bermula. Dan sepanjang waktu training, kami akan memantau dari masa ke semasa untuk memastikan segalanya berjalan dengan lancar. 

Setelah segalanya selesai, tugas kami tidak berhenti di situ. Kami harus pula menyediakan laporan perjalanan training dan juga laporan keputusan bagi kuiz yang kami berikan. Setelah segalanya dihantar kepada pihak penganjur, barulah kami dapat menarik nafas lega. 

Ketika pertama kali kami melakukan tugas-tugas di atas, agak kelam-kabut juga. Maklum lah, pengalaman pertama. Tetapi alah bisa tegal biasa. Apabila telah melakukannya berulangkali, segalanya menjadi semakin mudah. Alhamdulillah.

Harapan saya kali ini adalah agar saya juga dapat membuat latihan untuk bisnes dengan ABDR dengan lebih kerap, supaya lama-kelamaan ia akan menjadi mudah dan sebati dengan kehidupan seharian saya. In sya Allah.

Thursday, 2 April 2015

Sekian Lamanya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Lama sungguh tidak menulis di blog. Banyak perkara yang perlu dilakukan sebaik sahaja masuk tahun baru 2015. Akhirnya saya perlu menerima hakikat yang saya bukanlah 100% suri rumah sepenuh masa.  Saya tetap seorang pekerja. Cuma bezanya saya bekerja dengan syarikat suami sendiri hehehe. Jadi masa untuk berada di pejabat agak fleksibel. Namun, kerjanya tidak lah sefleksibel mana. 

Mungkin saya boleh labelkan diri saya sebagai bekerja sendiri? Dan bekerja sendiri memang lebih memerlukan fokus, masa dan tenaga berbanding dengan bekerja dengan orang lain. Ini kerana kalau kita tidak fokus, periuk nasi orang lain juga akan jadi mangsa. Ya, saya juga perlu memikirkan tentang pekerja yang bekerja bersama-sama dengan syarikat kami. 

Alhamdulillah, semenjak masuknya tahun 2015, agak banyak juga aktiviti yang perlu dilakukan. Syarikat kami melakukan banyak aktiviti yang berunsurkan IT dan juga melakukan latihan/training. Untuk tahun 2015 ini, kami telah pun selesaikan beberapa siri latihan/training seperti Kursus Penyelenggaraan Bangunan (Building Maintenance), PUSPAKOM Inspection (dengan kerja sama dari pihak PUSPAKOM), siri-siri latihan ISO 9001:2008 seperti Kursus Audit Dalaman, Kursus Penyediaan SOP dan seumpamanya. 

Untuk bahagian IT pula, kami telah selesai menyediakan Lab CCNA untuk Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu, membekalkan sejumlah unit projektor kepada MRSM Gerik dan pelbagai peralatan IT lain kepada syarikat seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), UKM dan lain-lain. 

Saya memang bersyukur, meskipun projek atau bisnes yang kami perolehi tidaklah sebesar mana tetapi ia cukup untuk kami yang juga bukan lah syarikat yang sebesar mana. Yang paling saya suka adalah apabila saya dapat pelajari banyak perkara dari urusan-urusan yang dilakukan. Ingin sekali saya kongsikan pengalaman saya di sini. In sya Allah, sedikit demi sedikit akan saya lakukan. Mungkin pengalaman saya ini boleh dijadikan panduan atau mungkin menjadi hiburan kepada sesiapa sahaja yang membacanya. Mudah- mudahan.