Wednesday, 7 January 2015

Banjir - Iktibar darinya.



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: simpanan peribadi


Agak lama tidak menulis. Ingin menyambung kisah mengenai teknik "speed reading" tetapi ada satu rasa di dalam hati mengenangkan saudara-saudara di pantai timur yang teruk di landa banjir.

Semenjak mendapat khabar berita mengenai banjir yang melanda, hati memang tidak tenteram. Setiap hari asyik membaca kisah mengenainya. 

Saudara-mara di pinggir Kota Bharu juga memberikan khabar terkini. Alhamdulillah, walaupun mereka juga terlibat dengan banjir tetapi tidaklah seteruk Manek Urai, Gua Musang dan Kuala Krai. Mereka juga tidak perlu ke pusat pemindahan. Cuma bekalan elektrik, bekalan air terputus. Dan mereka terpaksa mengharung air untuk mendapatkan bekalan makanan. 

Alhamdulillah juga, meskipun musibah melanda, semua orang tak kira bangsa, agama dan fahaman politik, masing-masing bekerja sama turun membantu. Sehingga kini, walaupun air sudah surut, bantuan tetap tidak putus. 

Ada juga cerita-cerita yang tidak sedap didengar. Kekadang rasa pelik juga kenapa perlu dihebahkan berita-berita yang tidak benar, berita yang tidak langsung dapat membantu. Untuk apa? Apa kepuasan yang mereka dapat? Memang tak terjangkau akal fikiran saya. Sebab itu saya memilih untuk mengabaikan sahaja berita-berita berbau negatif itu. 

Apa-apa pun, semoga musibah yang menimpa ini dapat membuka minda dan hati setiap kita untuk menginsafi, merenungi, muhasabah. Apa kah yang ingin disampaikan Allah kepada kita. Apakah kesilapan yang kita telah lakukan sehingga mendapat "teguran" sedemikian rupa. Dan untuk kita semua kembali kepada Yang Maha Esa, tak kira apa keadaan sekalipun, baik suka mahupun duka. 

Di bawah ini beberapa keping gambar yang dirakam oleh anak sulung saya sewaktu bersama dengan rombongan misi bantuan banjir. Banyak gambar yang dirakamkan tetapi cukuplah 3,4 keping yang dikongsikan ini untuk menunjukkan kemusnahan yang dialami penduduk-penduduk di Kelantan.

 Sebuah rumah di Gua Musang yang ditenggelami air sepenuhnya.
 Rumah di Kemubu. Bumbung sudah dihanyutkan air.
 Jambatan keretapi di Kemubu runtuh.
 Lagi rumah di Kemubu. Lihat paras air pada pokok.
 Keadaan rumah di Manek Urai.
Stesen keretapi di Kemubu. Jika dilihat paras air ketika banjir tahun 1967 telah dicatat, dan banjir kali ini memang telah melepasi paras banjir yang besar pada tahun 1967 itu.








2 comments:

  1. memang tidak terungkap kata2 banjir dan musibah yang melanda.. insyaAllah ada hikmahnya.. semoga mereka2 yang terlibat akan dapat teruskan hidup..

    ReplyDelete
  2. Betul Mama Bat...kalau sebelum ni dengar je banjir macam seronok, tapi bila dah jadi macam ni, rasa semacam je...huhuhu

    ReplyDelete