Tuesday, 9 December 2014

Speed Reading - boleh kah?


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Gambar: carian google


Pernah dengar tentang "speed reading"?

Teknik "speed reading" saya temui ketika saya menjadi pensyarah dahulu. Lazim sebagai seorang pensyarah, kami perlu memberi tugasan kepada pelajar dan kemudian perlu memberi markah kepada tugasan-tugasan yang dihantar. 

Jika kelas yang saya ajar tidak punyai ramai pelajar, saya tiada masalah untuk memberikan markah kepada pelajar pada waktu yang ditetapkan. Maklum saja, setiap tugasan yang pelajar hantar, tidak kurang 25 mukasurat yang perlu dibaca. 

Saya pernah mendengar jenaka pelajar mengenai pensyarahnya yang mengatakan pensyarah selalunya tidak akan membaca tugasan pelajar tetapi memberi markah berdasarkan jumlah mukasurat atau berat tugasan yang dihantar itu. Walaupun saya tidak pernah melihat pun perkara sebegini terjadi, tetapi saya ingin juga membuktikan kepada pelajar-pelajar saya yang jenaka ini adalah tidak benar.:) Di bawah markah setiap tugasan pelajar saya akan tuliskan komen mengenai apa yang dituliskan. 

Pada suatu ketika, apabila jumlah pelajar di kolej semakin bertambah ramai, saya telah ditugaskan untuk mengajar satu subjek di mana 3 kelas digabungkan menjadi satu. Jumlah pelajar saya waktu itu melebihi 100 orang. Waktu mengajar tiada masalah kerana ada bantuan mikrofon. Tetapi bila tiba waktu menanda tugasan, saya mengalami masalah. Mana kan tidak, untuk membaca 100 lebih tugasan, ada yang nipis (lega), ada juga yang tebal (berpeluh), memang memakan masa yang lama. 

Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah cara untuk saya mengurangkan masa bacaan saya tetapi dalam masa yang sama tetap memahami apa yang ditulis oleh pelajar. Waktu itulah saya terlihat buku "Speed Reading" oleh Tony Busan. Saya terus membeli, membaca dan melakukan latihan-latihan yang diberi. Setiap kali ada peluang, saya akan cuba praktikkan. 

Saya pun tidak sedar sebenarnya yang lama-kelamaan saya membaca semakin cepat. Saya hanya perasan apabila saya dan seorang kawan berkongsi membaca satu artikel. Saya sudah lama habis membaca artikel tersebut tetapi kawan saya masih ada separuh lagi belum dihabiskan. Dan kata beliau pada saya "Wah, cepatnya kau baca." Baru lah saya tahu yang latihan-latihan yang saya selalu buat itu akhirnya memberi kesan. 

Ingin saya kongsikan beberapa cara yang saya gunakan di blog ini. Tetapi bukan di entri ini. Di entri selepas ini. Ianya memang banyak membantu saya dan saya harap jika ada sesiapa yang membaca dan mencuba tekniknya nanti juga akan mendapat manfaat. Mudah-mudahan.


No comments:

Post a Comment