Saturday, 20 December 2014

Speed Reading - Teknik 1



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Di entri yang lepas, saya bercerita mengenai "speed reading" iaitu membaca dengan pantas tetapi tetap memahami apa yang dibaca. Di sini, saya ingin berkongsi cara yang saya lakukan. 

Sebelum itu, cuba perhatikan bagaimana cara kita membaca sekarang ini. Mengikut pengalaman sendiri, kalau saya membaca dahulu saya suka:
1.   Baca satu satu perkataan. Kadang-kadang satu perkataan sampai baca 2,3 kali sebab rasa was-was, walaupun sebenarnya dah faham. Ada masanya pula, ulang dari awal ayat.
2.   Suka baca kuat-kuat. Perasaan dalam diri saya sendiri, kalau baca perlahan susah nak faham. 



Teknik 1 : Bertiga-tiga

Cuba lihat gambar di atas. Cara yang dikatakan "7 eye stops" itu lah cara saya membaca suatu ketika dahulu. Satu demi satu.

Tetapi untuk membaca dengan cepat, salah satu teknik yang diperkenalkan adalah dengan membaca 3 perkataan sekaligus. Dengan kata lain, kita cuba letak mata kita pada perkataan dalam kiraan 3 seperti yang ditunjukkan di dalam gambar di atas. 

Jangan risau kita tidak faham. Sebab kita mempunyai minda yang sangat menakjubkan. Kita sentiasa dapat melihat dari ekor mata kita bukan, walaupun sebenarnya kita tidak menoleh tetapi kita tetap dapat nampak kiri kanan kita, betul tak? Begitulah juga kisahnya dengan teknik ini. 

Waktu mula-mula saya mengamalkan teknik ini, saya rasa agak janggal. Ya lah, tak pernah buat. Mestilah rasa semacam. Dan saya rasa agak susah untuk melakukannya. Asyik nak kena kira 3 perkataan sahaja. :) Tetapi sebenarnya tidak semestinya tepat 3 perkataan. Boleh je main agak-agak. Dan saya menggunakan jari telunjuk saya sebagai penunjuk. Saya letak jari saya di perkataan yang ke 3, dan begitu juga seterusnya. Dengan kata lain, saya langkah tiga perkataan menggunakan jari telunjuk saya. Dan saya fokus pandangan saya di situ. 

Mula-mula agak susah dan perlahan, tetapi lama-kelamaan bila sudah biasa, ia menjadi semakin cepat. Dan saya boleh membaca perkataan kiri dan kanan jari saya walaupun tanpa melihat atau fokus kepada perkataan tersebut. Dan bila sudah terbiasa, jari sudah tidak diperlukan lagi. 

Bagaimana, nak cuba tak? Cuba lah.

Teknik ke 2 menyusul nanti

Tuesday, 9 December 2014

Speed Reading - boleh kah?


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Gambar: carian google


Pernah dengar tentang "speed reading"?

Teknik "speed reading" saya temui ketika saya menjadi pensyarah dahulu. Lazim sebagai seorang pensyarah, kami perlu memberi tugasan kepada pelajar dan kemudian perlu memberi markah kepada tugasan-tugasan yang dihantar. 

Jika kelas yang saya ajar tidak punyai ramai pelajar, saya tiada masalah untuk memberikan markah kepada pelajar pada waktu yang ditetapkan. Maklum saja, setiap tugasan yang pelajar hantar, tidak kurang 25 mukasurat yang perlu dibaca. 

Saya pernah mendengar jenaka pelajar mengenai pensyarahnya yang mengatakan pensyarah selalunya tidak akan membaca tugasan pelajar tetapi memberi markah berdasarkan jumlah mukasurat atau berat tugasan yang dihantar itu. Walaupun saya tidak pernah melihat pun perkara sebegini terjadi, tetapi saya ingin juga membuktikan kepada pelajar-pelajar saya yang jenaka ini adalah tidak benar.:) Di bawah markah setiap tugasan pelajar saya akan tuliskan komen mengenai apa yang dituliskan. 

Pada suatu ketika, apabila jumlah pelajar di kolej semakin bertambah ramai, saya telah ditugaskan untuk mengajar satu subjek di mana 3 kelas digabungkan menjadi satu. Jumlah pelajar saya waktu itu melebihi 100 orang. Waktu mengajar tiada masalah kerana ada bantuan mikrofon. Tetapi bila tiba waktu menanda tugasan, saya mengalami masalah. Mana kan tidak, untuk membaca 100 lebih tugasan, ada yang nipis (lega), ada juga yang tebal (berpeluh), memang memakan masa yang lama. 

Dalam hati saya tertanya-tanya, adakah cara untuk saya mengurangkan masa bacaan saya tetapi dalam masa yang sama tetap memahami apa yang ditulis oleh pelajar. Waktu itulah saya terlihat buku "Speed Reading" oleh Tony Busan. Saya terus membeli, membaca dan melakukan latihan-latihan yang diberi. Setiap kali ada peluang, saya akan cuba praktikkan. 

Saya pun tidak sedar sebenarnya yang lama-kelamaan saya membaca semakin cepat. Saya hanya perasan apabila saya dan seorang kawan berkongsi membaca satu artikel. Saya sudah lama habis membaca artikel tersebut tetapi kawan saya masih ada separuh lagi belum dihabiskan. Dan kata beliau pada saya "Wah, cepatnya kau baca." Baru lah saya tahu yang latihan-latihan yang saya selalu buat itu akhirnya memberi kesan. 

Ingin saya kongsikan beberapa cara yang saya gunakan di blog ini. Tetapi bukan di entri ini. Di entri selepas ini. Ianya memang banyak membantu saya dan saya harap jika ada sesiapa yang membaca dan mencuba tekniknya nanti juga akan mendapat manfaat. Mudah-mudahan.


Wednesday, 3 December 2014

Keseimbangan Kehidupan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Gambar: carian google



Memang benar hidup kita ini adalah seimbang. Sentiasa ada pasangannya. Dalam gembira, ada sedihnya. Dalam senang, ada susahnya. Kita harus sedar dan sedia menerima. 

Sebab itu orang lama mencipta pepatah "Langit tidak selalunya cerah". Kita harus terima hakikat itu dan belajar menjadi redha dengan segalanya.

Itu lah yang dinamakan berfikiran positif. Berfikiran positif bukan sekadar memikiran perkara yang baik sahaja. Tetapi sebaliknya fokus kepada yang baik, dalam masa yang sama sedar bahawa pasti ada pasangannya. Begitu juga jika kita ditimpa musibah, cuba cari apa hikmah yang tersembunyi disebaliknya. Kerana hikmah itu pasti ada. 

Satu contoh: 
Kita tersilap membeli satu barang secara online. Mungkin kerana ia kelihatan seperti barang yang kita perlukan pada hal bila ia sampai, ia bukanlah yang kita perlukan. Harga barang itu pula agak lumayan. Kita terasa rugi kerana telah menghabiskan sejumlah wang untuk membeli barang yang kita tidak perlu. 
2 hari kemudian, seorang sahabat bertanyakan kita mengenai barang yang kita tersalah beli itu. Dan beliau mengatakan ingin membeli barang tersebut daripada kita dengan harga yang sama. 
Di situ, kita telah dapat beberapa perkara iaitu:
1.  Dapat balik duit yang kita habiskan itu
2.  Dapat menyelesaikan masalah sahabat kita
3.  Boleh menjadikan ikatan persahabatan makin rapat.
Pernahkah perkara seumpama ini terjadi kepada anda? 

Maka, jangan lah terlalu bersedih jika mengalami masalah, kerana ianya pasti akan berlalu. Dan selalunya, jika kita bersabar dengan musibah yang menimpa, kebaikan yang datang bukan satu tetapi berganda-ganda. Saya memang percaya akan perkara itu. Wallahuallam.