Thursday, 13 November 2014

Telefon Bimbit - Adakah ia sangat membantu?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Terlihat gambar satu keluarga yang diletakkan di dalam facebook. Status menyatakan mereka sekeluarga keluar makan bersama-sama.  Memang mereka semua berada bersama tetapi pemandangan yang saya lihat itu tidak begitu menyenangkan hati kecil saya. Masing-masing sibuk melihat telefon bimbit masing-masing. Seperti iklan yang ditunjukkan di peti TV suatu ketika dahulu.

Ya, bukan setakat di dalam facebook sahaja yang saya nampak. Sewaktu keluar makan bersama keluarga sempena meraikan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke 19 tempohari, di meja sebelah kami ada satu keluarga juga sedang makan. Tetapi meja itu senyap sunyi sahaja meskipun ada ramai orang. Sebabnya? Masing-masing sibuk dengan telefon bimbit. Hanya meja kami aje yang bising. Mungkinkah kerana kami masih ada anak kecil kot? Dan anak-anak kami masih belum ada telefon bimbit kecuali yang abangnya sahaja. Itu pun dia kumpul duit sendiri untuk beli telefon bimbit tersebut. 

Satu hikmah juga rasanya keluarga kami tidaklah begitu berada/kaya. Kami tidak mampu untuk membeli telefon bimbit untuk anak-anak kami. Sewaktu mereka meminta untuk dibelikan telefon, terasa sedih dan terkilan juga sebab tidak dapat memenuhi permintaan anak-anak. Kami tahu kawan-kawan mereka ramai yang dah ada telefon sendiri masing-masing. Tetapi dari satu segi, memang ada kelebihan. Sekurang-kurangnya masa bersama kami dapat kami betul-betul tumpukan untuk bersama. Dan saya amat berharap yang keadaan ini berkekalan. Walaupun masing-masing sudah besar dan mempunyai telefon sendiri nanti. 

Sekarang ini, sewaktu berada di rumah sekalipun, waktu bersama dengan anak-anak saya mencuba sedaya upaya untuk tidak terlalu menumpukan perhatian kepada telefon. Meskipun telefon asyik berbunyi menandakan mesej masuk, perbualan di kumpulan Whatsapp sedang rancak, saya cuba menahan diri. Menumpukan perhatian kepada kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan serta menumpukan perhatian kepada anak-anak yang inginkan perhatian. Semoga saya dapat bertahan :) 

Di dunia yang serba moden dan pantas ini, memang teknologi itu banyak membantu. Kita boleh berhubung tanpa perlu berjumpa. Malah orang yang sudah lama kita tidak jumpa pun sudah boleh kita hubungi dan ketahui cerita terkini mereka. Tetapi harapan saya, hubungan luar talian dengan insan yang dekat dan disayangi tidak terabai. Mudah-mudahan.





No comments:

Post a Comment