Saturday, 8 November 2014

Suatu ketika dahulu - Banjir

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sewaktu saya sedang menulis, di luar rumah hujan renyai-renyai. Sejuk dan nyaman rasanya. Menggamit memori ketika kanak-kanak dahulu. Bulan November dan Disember memang sering dinantikan. Untuk apa? Bermain air banjir. 

Kawasan rumah saya ketika itu termasuk di dalam kategori yang bertanah rendah. Setiap tahun pasti akan dilanda banjir. Meskipun begitu, banjir itu masih terkawal kerana kami tidak perlu berpindah. Bila terdengar sahaja air sudah memenuhi padang sekolah di seberang jalan kawasan rumah, kami iaitu saya dan adik sudah mula mengeluarkan pelampung yang dibuat dari tayar. Tayar apa, saya pun tidak tahu. Mungkin tayar lori agaknya sebab besar. Kemudian, kami hanya menunggu jeritan orang sekeliling menyatakan "Air sudah naik! Air sudah sampai!"

Waktu itu hanya keseronokan yang difikirkan. Seronok main air banjir. Maklumlah, masih kanak-kanak. Tidak memikirkan perkara lain selain bermain. Meskipun saya tahu dan nampak mak, ayah dan kakak sibuk menyelamatkan pasu-pasu bunga dan tanaman yang terletak di atas tanah.

Bila air sudah naik, ngam-ngam paras pinggang, waktu itu lah yang paling seronok sekali. Buka mata, turun masuk air, kononnya untuk mandi. Main sampai tangan lebam, bibir biru dan menggigil kesejukan, tetapi tetap tidak mahu berhenti. Tak sarapan pun tak apa. Main dulu. Bila terasa lapar, baru lah naik dan tukar baju. Alhamdulillah, kakak-kakak sudah berpesan, baju main air sila perah dan letak dijemuran. Jangan dibiarkan begitu sahaja. Kalau nak turun main lagi, pakai balik baju itu. Kami memang ikut pesan kakak. Terfikir pula, kalaulah anak-anak saya sekarang ni yang main air banjir, kemungkinan besar baju-baju mereka akan berlonggok di dalam baldi. Dan baju lain yang akan dipakai jika mahu main air lagi. Mengingatkan saya bahawa perkara kecil sebegini juga perlu saya terapkan dan ajar. Masuk buku "Perkara yang perlu diberitahu/ajar untuk anak-anak" :)

Banjir ketika itu selalunya akan bertahan selama 3 ke 4 hari, kadang-kadang seminggu. Bila melihat air banjir mula surut, terasa sedih di hati. Sebab dah tak boleh seronok lagi. Bila banjir sudah surut, dapat dilihat suasana yang sangat berbeza. Terasa seperti rumah menjadi lagi tinggi dari sebelumnya. Lumpur tak usah ceritalah. Memang penuh.Tak boleh keluar rumah untuk satu hari. Tolong ibu bersihkan lumpur. 

Begitulah setiap tahun ketika saya kecil dahulu. Tetapi sekarang, kawasan rumah kami sudah jarang banjir. Kalau air naik pun, takat betis sahaja. Kemajuan pembangunan telah menghalang air daripada naik tinggi. Saya pun sudah dewasa. Dah ada anak sendiri. Anak-anak saya tidak dapat merasa apa yang ibunya rasai. Sekarang ni banjir yang mereka tahu hanyalah banjir kilat. Yang memang tidak seronok pun. 

Apa-apa pun, meskipun banjir itu menyeronokkan, ia juga boleh membahayakan dan memudaratkan. Kehilangan harta benda malahan nyawa juga boleh berlaku. Dengan itu, sentiasalah beringat. Seronok, seronok juga tetapi jangan sampai melalaikan. :)

No comments:

Post a Comment