Monday, 24 November 2014

Senarai "TO DO" jadi senarai "Ti Do"?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google




Pakar motivasi sentiasa menyarankan kita menyediakan senarai "to do" supaya kerja kita boleh jadi lebih berstruktur dan kita tidak terlupa apa yang perlu kita lakukan untuk hari itu. Lebih elok kalau kita tulis dan letak di tempat yang kita senang nak nampak. 

Sekarang ni pun banyak aplikasi senarai "to do" ni di komputer dan juga yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Saya pun ada satu dalam telefon bimbit saya. 

Saranan pakar motivasi lagi, setiap hari sebelum tidur, seeloknya tulis dulu senarai "to do" yang kita nak buat untuk esoknya. Atau pun kalau dah ngantuk sangat, buat pagi-pagi sebelum memulakan apa-apa kerja. 

Semua saranan telah saya cuba ikut. Letak senarai kerja yang saya rasa sempat untuk saya selesaikan dalam satu hari. Dalam 4 ke 5 kerja/aktiviti. Malangnya, selalu terjadi di akhir hari, tidak kesemua kerja/aktiviti yang saya senaraikan itu dapat saya lakukan sepenuhnya. Pasti ada saja perkara yang spontan yang harus diselesaikan secepat mungkin yang mengganggu keinginan saya untuk menyiapkan kerja yang saya senaraikan. Pernahkah ini terjadi kepada anda?

Mengikut kaji selidik yang dilakukan di negara Barat, hanya 5% sahaja individu yang betul-betul dapat melunaskan kerja-kerja yang disenaraikan di dalam  senarai "to do" mereka. Apakah sebabnya ini terjadi? 

Mengikut pengalaman sendiri, menulis senarai "to do" memang amat mudah. Dan apabila kita menulisnya, terasa seperti kita boleh lakukan semuanya yang disenaraikan. Malah terasa ingin tambah lagi dan lagi dan lagi. Namun hakikatnya, realiti setiap aktiviti itu tidak semudah yang difikirkan. Kerana ada kerja yang akan melibatkan respon dari orang lain, yang mungkin tidak dapat kita perolehi dalam jangka masa yang singkat. 

Jadi kita tidak perlu buat senarai itu kah? Bukan tidak perlu, buat saja lah sebagai panduan. Dan cuba jadi lebih realistik sewaktu membuatnya. Jangan juga jadikan ia satu-satunya senarai yang kita perlu ikut, kalau tak ada dalam senarai jangan buat. :) Bukan begitu caranya. 

Jadikan ia sebagai satu panduan untuk kita rujuk, jika semuanya dapat dilunaskan, itu merupakan bonus yang paling menyeronokkan. Memang seronok dapat potong atau "tick" senarai yang kita buat itu. Tetapi, jika tidak dapat diselesaikan, jangan jadikan ia sebagai satu perkara yang boleh menurunkan motivasi atau semangat kita. Jika terasa semangat berkurang atau motivasi berkurang, lihat balik apa yang telah dapat kita selesaikan pada hari itu. Berapa banyak yang tidak tersenarai tetapi tetap kita dapat selesaikan. Dengan itu, kita pasti akan termotivasi kembali. 

Yang penting, senarai "to do" memang elok untuk kita amalkan. Cuma jangan ia jadi senarai "ti do" sudah. ;)

2 comments:

  1. betul tu kan wan kena ada checklist harian/mingguan/bulanan..

    ReplyDelete
  2. Itu lah Mama Bat...masa rancak berbisnes dulu memang ada, bulanan, mingguan, harian....sekarang ni yang harian pun selalu terbabas. :(

    ReplyDelete