Tuesday, 18 November 2014

Baiki Hubungan Kita Dengan Duit

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google




Duit duit, di mana kau duit. Ada yang panggil dollar, ada yang panggil baht. Semuanya duit. 

Mereka yang segenerasi dengan saya pasti tahu itu adalah lagu Datuk M.Nasir.

Siapa tidak suka duit? Rasanya tidak ada yang tidak suka. 

Kenapa tiba-tiba bercerita mengenai duit? Sebenarnya saya baru sahaja membaca satu artikel mengenai bagaimana kita ingin membaiki hubungan kita dengan duit. 

Hubungan? Kita ada hubungan dengan duit ke? Sedar atau tidak, memang kita ada. Bagaimana kita melihat duit, itulah hubungan kita dengan nya. Ada orang sangat baik dengan duit. Duit pun suka padanya. Asyik dapat duiiiit aje. 

Ada juga yang sebaliknya. Pantang dapat duit sikit, terus habis. Duit tidak melekat padanya. Seolah-olah duit benci padanya dan dia juga benci pada duit. 

Artikel yang saya baca itu adalah hasil tulisan dari mat salleh. Tetapi saya rasa isinya boleh kita praktikkan dan boleh diadaptasikan mengikut agama kita juga. 

Jadi, bagaimana kita ingin baiki hubungan kita dengan duit supaya kita dengan duit saling suka menyukai? Ada 3 cara yang disarankan iaitu:

1)  Sentiasa berterima kasih. Sebagai seorang Islam, istilah kita lebih kepada bersyukur dengan apa yang kita ada. Sentiasa cari apa yang boleh disyukuri. Terutama di saat kita merasa tertekan atau kesedihan. Mat saleh ni kata, dia sentiasa amalkan bila celik mata aje pagi-pagi terus dia ucap terima kasih. Terima kasih apa? Tak kisah lah apa pun. Terima kasih aje. Dengan secara otomatik, minda kita akan cuba mencari apa yang ingin diterima kasihkan.

Sebenarnya amalan ini memang orang Islam dah amalkan pun. Kita ada doa bangun tidur kan? Bukan kah dalam doa itu ada menyebut tentang terima kasih? Dengan merasa bersyukur di pagi hari, in sya Allah, kita lebih bersemangat untuk meneruskan hari tersebut. Kalau boleh, lepas ucapan syukur itu, kita duduk sejenak (lepas solat Subuh ke), dan fikirkan sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita rasa amat berterima kasih. Contoh: Syukur dapat bangun pagi solat Subuh awal waktu, syukur diberi kesihatan untuk bangun pagi dan menyiapkan sarapan dan seterusnya.

2)  Sentiasa bawa duit tunai setiap kali keluar dari rumah. Tak perlu banyak duit pun. Sekurang-kurangnya RM20.00 pun cukup. Untuk memberikan perasaan bahawa kita sentiasa ada duit. Saya rasa ini sesuai untuk suri rumah kot. Kalau ibu-ibu bekerja, mesti masing-masing sentiasa ada duit dalam dompet, betul tak? Kalau suri rumah ni ada masanya dompet kosong. Itu saya lah, orang lain mungkin tidak begitu. 

Sebenarnya saya tidak berapa nampak apa hubungan bawa duit ni dengan memperbaiki hubungan kita dengan duit. Tapi mungkin supaya kita merasa yang kita tidak akan putus duit. Wallahuallam. 

3)  Bayangkan kita berbelanja menggunakan duit yang kita ada. Bukan belanja betul-betul tetapi sekadar imaginasi. Bayangkan kita ke pasaraya dan membeli barangan yang kita inginkan dan membayar untuk barangan tersebut. 

Ini akan memberi kita suatu perasaan gembira dan teruja. Biarlah hanya pada bayangan sahaja pun. Tetapi perasaan itu tetap akan hadir. Ini sebenarnya lebih kepada konsep hukum tarikan. Supaya frekuensi minda kita berada di dalam keadaan yang tinggi dan akan menarik perkara-perkara yang di dalam frekuensi yang sama. 

Itu sahajalah yang disarankan di dalam artikel tersebut. Boleh saja kalau ingin diamalkan. Tetapi apa yang pasti, rezeki itu adalah dari Allah. Kita hanya mampu berusaha, berikhtiar dan bertindak, kemudian berdoa dan seterusnya bertawakkal. Mudah-mudahan Allah akan memurahkan rezeki kita semua, in sya Allah.






2 comments:

  1. betul tu Kak Wan.. senantiasa bersyukur..

    ReplyDelete
  2. Kadang-kadang kita terlupa (akak lah tu). Bila terbaca dan menulis pula, baru teringat balik. Hari tu dah ada satu "Journal Kesyukuran", tapi dah lama tak jenguk huhuhu...haru betul.

    ReplyDelete