Friday, 28 November 2014

UPSR Lagi? Nak komen juga?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Baru sahaja sehari berlalu. Banyak cerita mengenai keputusan UPSR dapat dibaca. Sama ada di akhbar, mahupun di laman sosial seperti facebook. Kalau di facebook, pelbagai status diletakkan oleh pelbagai golongan, sama ada si ibu kepada calon, calon itu sendiri mahupun mereka yang tidak ada kaitan sama sekali dengan calon tetapi ingin menyatakan pendapat.

Tidak ingin mengulas dengan panjang lebar mengenai UPSR ni. Sekarang ni dah ramai para ibu yang nampaknya boleh menerima hakikat apabila anak mereka tidak cemerlang. Cool Mum kan? 

Sebagai salah seorang "cool mum" yang anaknya tidak berapa cemerlang juga (iaitu tidak capai 5A), saya sudahpun menyatakan pendapat saya mengenai pencapaian anak-anak di entri yang lalu, iaitu apabila UPSR diumumkan perlu diambil semula. Memang saya tidak pernah taksub dengan pencapaian anak. Bukan bermaksud tidak ambil kesah langsung, tetapi saya tahu setakat mana kemampuan anak dan setakat mana usaha yang telah beliau lakukan. Yang itu lebih saya tekankan. Usaha dan semangat. Pencapaian? Kalau cemerlang, satu bonus. Kalau tidak begitu cemerlang, nak buat macam mana, bukan rezekinya. Yang penting, beliau sudah berusaha. 

Melihat rakan-rakan anak yang menitiskan air mata, terfikir juga dalam kepala. Kenapa perlu menangis? Adakah kerana terlalu mengharapkan kecemerlangan? Atau mungkin kerana merasakan mereka sudah melakukan sehabis baik tetapi hasilnya tidak seberapa? Wallahuallam, hanya tuan punya badan yang tahu jawapannya. 

Apa-apapun, ini hanyalah UPSR. Dan sepanjang pembacaan saya mengenai mereka yang berjaya cemerlang dalam kehidupan, hampir ke semuanya mempunyai latar belakang akademik yang tidak begitu cemerlang. Pernah dengar tak pelajar yang pernah dapat anugerah dekan menjadi sangat terkenal dan berjaya? Mungkin ada tetapi tak ramai. Boleh saya katakan dalam 5% . Sekali lagi ingin saya katakan, yang penting adalah keinginan untuk berusaha dan semangat untuk melakukannya. In sya Allah, boleh pergi jauh. Mudah-mudahan. 

Monday, 24 November 2014

Senarai "TO DO" jadi senarai "Ti Do"?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google




Pakar motivasi sentiasa menyarankan kita menyediakan senarai "to do" supaya kerja kita boleh jadi lebih berstruktur dan kita tidak terlupa apa yang perlu kita lakukan untuk hari itu. Lebih elok kalau kita tulis dan letak di tempat yang kita senang nak nampak. 

Sekarang ni pun banyak aplikasi senarai "to do" ni di komputer dan juga yang boleh dimuat turun ke dalam telefon bimbit. Saya pun ada satu dalam telefon bimbit saya. 

Saranan pakar motivasi lagi, setiap hari sebelum tidur, seeloknya tulis dulu senarai "to do" yang kita nak buat untuk esoknya. Atau pun kalau dah ngantuk sangat, buat pagi-pagi sebelum memulakan apa-apa kerja. 

Semua saranan telah saya cuba ikut. Letak senarai kerja yang saya rasa sempat untuk saya selesaikan dalam satu hari. Dalam 4 ke 5 kerja/aktiviti. Malangnya, selalu terjadi di akhir hari, tidak kesemua kerja/aktiviti yang saya senaraikan itu dapat saya lakukan sepenuhnya. Pasti ada saja perkara yang spontan yang harus diselesaikan secepat mungkin yang mengganggu keinginan saya untuk menyiapkan kerja yang saya senaraikan. Pernahkah ini terjadi kepada anda?

Mengikut kaji selidik yang dilakukan di negara Barat, hanya 5% sahaja individu yang betul-betul dapat melunaskan kerja-kerja yang disenaraikan di dalam  senarai "to do" mereka. Apakah sebabnya ini terjadi? 

Mengikut pengalaman sendiri, menulis senarai "to do" memang amat mudah. Dan apabila kita menulisnya, terasa seperti kita boleh lakukan semuanya yang disenaraikan. Malah terasa ingin tambah lagi dan lagi dan lagi. Namun hakikatnya, realiti setiap aktiviti itu tidak semudah yang difikirkan. Kerana ada kerja yang akan melibatkan respon dari orang lain, yang mungkin tidak dapat kita perolehi dalam jangka masa yang singkat. 

Jadi kita tidak perlu buat senarai itu kah? Bukan tidak perlu, buat saja lah sebagai panduan. Dan cuba jadi lebih realistik sewaktu membuatnya. Jangan juga jadikan ia satu-satunya senarai yang kita perlu ikut, kalau tak ada dalam senarai jangan buat. :) Bukan begitu caranya. 

Jadikan ia sebagai satu panduan untuk kita rujuk, jika semuanya dapat dilunaskan, itu merupakan bonus yang paling menyeronokkan. Memang seronok dapat potong atau "tick" senarai yang kita buat itu. Tetapi, jika tidak dapat diselesaikan, jangan jadikan ia sebagai satu perkara yang boleh menurunkan motivasi atau semangat kita. Jika terasa semangat berkurang atau motivasi berkurang, lihat balik apa yang telah dapat kita selesaikan pada hari itu. Berapa banyak yang tidak tersenarai tetapi tetap kita dapat selesaikan. Dengan itu, kita pasti akan termotivasi kembali. 

Yang penting, senarai "to do" memang elok untuk kita amalkan. Cuma jangan ia jadi senarai "ti do" sudah. ;)

Tuesday, 18 November 2014

Baiki Hubungan Kita Dengan Duit

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google




Duit duit, di mana kau duit. Ada yang panggil dollar, ada yang panggil baht. Semuanya duit. 

Mereka yang segenerasi dengan saya pasti tahu itu adalah lagu Datuk M.Nasir.

Siapa tidak suka duit? Rasanya tidak ada yang tidak suka. 

Kenapa tiba-tiba bercerita mengenai duit? Sebenarnya saya baru sahaja membaca satu artikel mengenai bagaimana kita ingin membaiki hubungan kita dengan duit. 

Hubungan? Kita ada hubungan dengan duit ke? Sedar atau tidak, memang kita ada. Bagaimana kita melihat duit, itulah hubungan kita dengan nya. Ada orang sangat baik dengan duit. Duit pun suka padanya. Asyik dapat duiiiit aje. 

Ada juga yang sebaliknya. Pantang dapat duit sikit, terus habis. Duit tidak melekat padanya. Seolah-olah duit benci padanya dan dia juga benci pada duit. 

Artikel yang saya baca itu adalah hasil tulisan dari mat salleh. Tetapi saya rasa isinya boleh kita praktikkan dan boleh diadaptasikan mengikut agama kita juga. 

Jadi, bagaimana kita ingin baiki hubungan kita dengan duit supaya kita dengan duit saling suka menyukai? Ada 3 cara yang disarankan iaitu:

1)  Sentiasa berterima kasih. Sebagai seorang Islam, istilah kita lebih kepada bersyukur dengan apa yang kita ada. Sentiasa cari apa yang boleh disyukuri. Terutama di saat kita merasa tertekan atau kesedihan. Mat saleh ni kata, dia sentiasa amalkan bila celik mata aje pagi-pagi terus dia ucap terima kasih. Terima kasih apa? Tak kisah lah apa pun. Terima kasih aje. Dengan secara otomatik, minda kita akan cuba mencari apa yang ingin diterima kasihkan.

Sebenarnya amalan ini memang orang Islam dah amalkan pun. Kita ada doa bangun tidur kan? Bukan kah dalam doa itu ada menyebut tentang terima kasih? Dengan merasa bersyukur di pagi hari, in sya Allah, kita lebih bersemangat untuk meneruskan hari tersebut. Kalau boleh, lepas ucapan syukur itu, kita duduk sejenak (lepas solat Subuh ke), dan fikirkan sekurang-kurangnya 5 perkara yang kita rasa amat berterima kasih. Contoh: Syukur dapat bangun pagi solat Subuh awal waktu, syukur diberi kesihatan untuk bangun pagi dan menyiapkan sarapan dan seterusnya.

2)  Sentiasa bawa duit tunai setiap kali keluar dari rumah. Tak perlu banyak duit pun. Sekurang-kurangnya RM20.00 pun cukup. Untuk memberikan perasaan bahawa kita sentiasa ada duit. Saya rasa ini sesuai untuk suri rumah kot. Kalau ibu-ibu bekerja, mesti masing-masing sentiasa ada duit dalam dompet, betul tak? Kalau suri rumah ni ada masanya dompet kosong. Itu saya lah, orang lain mungkin tidak begitu. 

Sebenarnya saya tidak berapa nampak apa hubungan bawa duit ni dengan memperbaiki hubungan kita dengan duit. Tapi mungkin supaya kita merasa yang kita tidak akan putus duit. Wallahuallam. 

3)  Bayangkan kita berbelanja menggunakan duit yang kita ada. Bukan belanja betul-betul tetapi sekadar imaginasi. Bayangkan kita ke pasaraya dan membeli barangan yang kita inginkan dan membayar untuk barangan tersebut. 

Ini akan memberi kita suatu perasaan gembira dan teruja. Biarlah hanya pada bayangan sahaja pun. Tetapi perasaan itu tetap akan hadir. Ini sebenarnya lebih kepada konsep hukum tarikan. Supaya frekuensi minda kita berada di dalam keadaan yang tinggi dan akan menarik perkara-perkara yang di dalam frekuensi yang sama. 

Itu sahajalah yang disarankan di dalam artikel tersebut. Boleh saja kalau ingin diamalkan. Tetapi apa yang pasti, rezeki itu adalah dari Allah. Kita hanya mampu berusaha, berikhtiar dan bertindak, kemudian berdoa dan seterusnya bertawakkal. Mudah-mudahan Allah akan memurahkan rezeki kita semua, in sya Allah.






Thursday, 13 November 2014

Telefon Bimbit - Adakah ia sangat membantu?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Terlihat gambar satu keluarga yang diletakkan di dalam facebook. Status menyatakan mereka sekeluarga keluar makan bersama-sama.  Memang mereka semua berada bersama tetapi pemandangan yang saya lihat itu tidak begitu menyenangkan hati kecil saya. Masing-masing sibuk melihat telefon bimbit masing-masing. Seperti iklan yang ditunjukkan di peti TV suatu ketika dahulu.

Ya, bukan setakat di dalam facebook sahaja yang saya nampak. Sewaktu keluar makan bersama keluarga sempena meraikan hari ulangtahun perkahwinan kami yang ke 19 tempohari, di meja sebelah kami ada satu keluarga juga sedang makan. Tetapi meja itu senyap sunyi sahaja meskipun ada ramai orang. Sebabnya? Masing-masing sibuk dengan telefon bimbit. Hanya meja kami aje yang bising. Mungkinkah kerana kami masih ada anak kecil kot? Dan anak-anak kami masih belum ada telefon bimbit kecuali yang abangnya sahaja. Itu pun dia kumpul duit sendiri untuk beli telefon bimbit tersebut. 

Satu hikmah juga rasanya keluarga kami tidaklah begitu berada/kaya. Kami tidak mampu untuk membeli telefon bimbit untuk anak-anak kami. Sewaktu mereka meminta untuk dibelikan telefon, terasa sedih dan terkilan juga sebab tidak dapat memenuhi permintaan anak-anak. Kami tahu kawan-kawan mereka ramai yang dah ada telefon sendiri masing-masing. Tetapi dari satu segi, memang ada kelebihan. Sekurang-kurangnya masa bersama kami dapat kami betul-betul tumpukan untuk bersama. Dan saya amat berharap yang keadaan ini berkekalan. Walaupun masing-masing sudah besar dan mempunyai telefon sendiri nanti. 

Sekarang ini, sewaktu berada di rumah sekalipun, waktu bersama dengan anak-anak saya mencuba sedaya upaya untuk tidak terlalu menumpukan perhatian kepada telefon. Meskipun telefon asyik berbunyi menandakan mesej masuk, perbualan di kumpulan Whatsapp sedang rancak, saya cuba menahan diri. Menumpukan perhatian kepada kerja-kerja rumah yang perlu disiapkan serta menumpukan perhatian kepada anak-anak yang inginkan perhatian. Semoga saya dapat bertahan :) 

Di dunia yang serba moden dan pantas ini, memang teknologi itu banyak membantu. Kita boleh berhubung tanpa perlu berjumpa. Malah orang yang sudah lama kita tidak jumpa pun sudah boleh kita hubungi dan ketahui cerita terkini mereka. Tetapi harapan saya, hubungan luar talian dengan insan yang dekat dan disayangi tidak terabai. Mudah-mudahan.





Saturday, 8 November 2014

Suatu ketika dahulu - Banjir

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sewaktu saya sedang menulis, di luar rumah hujan renyai-renyai. Sejuk dan nyaman rasanya. Menggamit memori ketika kanak-kanak dahulu. Bulan November dan Disember memang sering dinantikan. Untuk apa? Bermain air banjir. 

Kawasan rumah saya ketika itu termasuk di dalam kategori yang bertanah rendah. Setiap tahun pasti akan dilanda banjir. Meskipun begitu, banjir itu masih terkawal kerana kami tidak perlu berpindah. Bila terdengar sahaja air sudah memenuhi padang sekolah di seberang jalan kawasan rumah, kami iaitu saya dan adik sudah mula mengeluarkan pelampung yang dibuat dari tayar. Tayar apa, saya pun tidak tahu. Mungkin tayar lori agaknya sebab besar. Kemudian, kami hanya menunggu jeritan orang sekeliling menyatakan "Air sudah naik! Air sudah sampai!"

Waktu itu hanya keseronokan yang difikirkan. Seronok main air banjir. Maklumlah, masih kanak-kanak. Tidak memikirkan perkara lain selain bermain. Meskipun saya tahu dan nampak mak, ayah dan kakak sibuk menyelamatkan pasu-pasu bunga dan tanaman yang terletak di atas tanah.

Bila air sudah naik, ngam-ngam paras pinggang, waktu itu lah yang paling seronok sekali. Buka mata, turun masuk air, kononnya untuk mandi. Main sampai tangan lebam, bibir biru dan menggigil kesejukan, tetapi tetap tidak mahu berhenti. Tak sarapan pun tak apa. Main dulu. Bila terasa lapar, baru lah naik dan tukar baju. Alhamdulillah, kakak-kakak sudah berpesan, baju main air sila perah dan letak dijemuran. Jangan dibiarkan begitu sahaja. Kalau nak turun main lagi, pakai balik baju itu. Kami memang ikut pesan kakak. Terfikir pula, kalaulah anak-anak saya sekarang ni yang main air banjir, kemungkinan besar baju-baju mereka akan berlonggok di dalam baldi. Dan baju lain yang akan dipakai jika mahu main air lagi. Mengingatkan saya bahawa perkara kecil sebegini juga perlu saya terapkan dan ajar. Masuk buku "Perkara yang perlu diberitahu/ajar untuk anak-anak" :)

Banjir ketika itu selalunya akan bertahan selama 3 ke 4 hari, kadang-kadang seminggu. Bila melihat air banjir mula surut, terasa sedih di hati. Sebab dah tak boleh seronok lagi. Bila banjir sudah surut, dapat dilihat suasana yang sangat berbeza. Terasa seperti rumah menjadi lagi tinggi dari sebelumnya. Lumpur tak usah ceritalah. Memang penuh.Tak boleh keluar rumah untuk satu hari. Tolong ibu bersihkan lumpur. 

Begitulah setiap tahun ketika saya kecil dahulu. Tetapi sekarang, kawasan rumah kami sudah jarang banjir. Kalau air naik pun, takat betis sahaja. Kemajuan pembangunan telah menghalang air daripada naik tinggi. Saya pun sudah dewasa. Dah ada anak sendiri. Anak-anak saya tidak dapat merasa apa yang ibunya rasai. Sekarang ni banjir yang mereka tahu hanyalah banjir kilat. Yang memang tidak seronok pun. 

Apa-apa pun, meskipun banjir itu menyeronokkan, ia juga boleh membahayakan dan memudaratkan. Kehilangan harta benda malahan nyawa juga boleh berlaku. Dengan itu, sentiasalah beringat. Seronok, seronok juga tetapi jangan sampai melalaikan. :)