Tuesday, 14 October 2014

Tips Bersalin - Melawan sakit contraction



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Petang tadi ternampak status Puan Masayu di facebook yang bertanyakan pengalaman bersalin dengan doktor lelaki dan doktor wanita. Soalan ini mengundang kenangan pengalaman diri sendiri ketika bersalin. Tetapi, saya tidak ingin bercerita mengenai pengalaman bersalin itu sendiri. Apa yang ingin saya kongsikan adalah tips yang diberikan kepada saya oleh doktor lelaki tersebut.

Izinkan saya bercerita sedikit terlebih dahulu apa yang menyebabkan saya mendapat tips dari doktor tersebut. Ketika saya ingin melahirkan anak ke 4, waktu itu saya tidak mendaftar di mana-mana hospital atau klinik. Maklumlah, anak ke 4, sudah biasa. Saya hanya ke Pusrawi Kajang dua minggu sebelum saya dijangka melahirkan anak. Sila jangan ikut cara saya. Ini tidak bagus. Ibu mengandung seharusnya mendapat pemeriksaan mengikut jadual yang sepatutnya. 

Pada hari saya mendapat contraction, saya terus ke Pusrawi tersebut dan doktor yang bertugas ketika itu adalah doktor lelaki. Tiada doktor wanita ketika itu. Jadi, terpaksalah saya bersalin dengan doktor tersebut. Nak dijadikan cerita, hanya saya seorang sahaja yang bersalin pada petang itu. Kebetulan pula, di saat-saat saya ingin dibawa ke bilik bersalin, seluruh tingkat itu mengalami "black out". Nak tak nak, saya terpaksa dibawa ke bilik bedah kerana di situ ada generator. Baringlah saya di atas katil bedah. Seram jugak rasanya.

Sementara menantikan bukaan untuk melahirkan, saya merasakan kesakitan kali ini amat berbeza dari yang tiga sebelumnya. Sakit yang amat sangat sehingga kebas seluruh tangan dan kaki. Misi yang menjaga saya mengurut-urut tangan dan kaki saya sambil menyuruh saya bersabar dan berzikir. Agak lama juga saya menunggu, akhirnya saat melahirkan tiba juga. Alhamdulillah, saya selamat bersalin tanpa masalah. Cuma anak saya memang agak besar waktu itu iaitu 4kg. Apa pun, saya bersyukur kerana anak saya juga tidak ada apa-apa masalah.

Ditakdirkan Allah, 3 tahun kemudian saya mengandung lagi. Kali ini saya lebih kerap menjalankan pemeriksaan di klinik. Sehingga pada suatu hari, saya ternampak klinik baru dengan nama doktor yang membidankan anak ke 4 saya. Maka, saya dan suami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat doktor ini lagi. 

Apabila saya berjumpa dengannya, saya ada menyatakan hasrat saya ingin menggunakan epidural ketika bersalin nanti. Kerana kalau boleh saya tidak mahu sakit seperti yang sebelum ini. Tetapi , doktor tersebut berkata dengan lembut " Tidak perlu epidural. Sebab kalau guna epidural, yang pertama kamu kena tambah bayaran RM500.00. Lepas tu ada risiko sakit belakang di hari tua nanti. Mari saya ajarkan kamu bagaimana hendak menangani sakit ketika contraction. Cara ini juga boleh digunakan ketika kaki kamu kejang waktu pagi-pagi baru bangun tidur".

Nak tahu caranya? Begini. Selalunya, apabila kita merasa sakit, apa yang kita akan buat adalah kita akan cuba lawan sakit tersebut, betul tak? Bagaimana kita melawan? Dengan menarik otot perut, atau dalam situasi kejang, kita menarik otot kaki untuk melawan atau menahan sakit tersebut. Jika kita lakukan ini, sakit itu sebenarnya tidak akan hilang, malah makin bertambah. Apa yang patut kita lakukan adalah dengan mengikut sahaja sakit tersebut. Seolah-olah seperti kita berada di dalam perahu di sungai atau laut yang berombak-ombak. Kita hanya ikut pergerakan perahu tersebut, baru lah kita tidak akan mabuk laut. Begitu juga dengan sakit. Bila sakit, cuba relakskan otot-otot kita yang sakit itu. Sakit bila contraction beralun-alun, betul? Maka, untuk mengurangkan sakit tersebut, kita ikut alunan sakit itu. Relakskan otot, tarik nafas hembus nafas dan ikut alunan sakit itu. Begitu juga dengan kejang. Relakskan kaki dan lama-kelamaan kejang itu akan hilang.

Saya cuba praktikkan tips yang diberi dan memang betul, kejang kaki saya waktu itu cepat berlalu. Dan sakit contraction pun tidak lama. Sekejap sahaja rasanya. Rasa seronok pula ketika mencuba untuk mengikut sakit itu. Alhamdulillah, tips ini saya gunakan untuk apa juga jenis sakit. Sakit gigi, sakit kepala, sakit belakang. Walaupun sakit itu tidak lah hilang 100% tetapi ianya dapat dikurangkan ke tahap di mana kita merasa selesa. Kalau susah nak tidur di waktu malam juga, kata doktor tadi, cuba relakskan otot badan, bermula dengan otot kaki, kemudian betis, kemudian paha, perut, dada dan akhir sekali kepala. Tidak lama lepas itu pasti kita akan dapat melelapkan mata, in sya Allah. 

Sesungguhnya saya memang amat berterima kasih dengan doktor tersebut. Saya tetap menggunakan khidmat beliau untuk bersalin anak saya yang ke 6, yang waktu itu keluar seberat 4.5 kg. Ketika mengandung anak ke 7, saya tetap ingin menggunakan khidmat beliau tetapi malangnya, klinik beliau telah ditutup dan saya pun tidak tahu di mana beliau pindah. Namun begitu, tips beliau tetap menjadi amalan saya. Terima kasih Dr Yusoff, di mana jua anda berada. Moga doktor dimurahkan rezeki dan berbahagia selalu. Amiiin. 

6 comments:

  1. salute Kak Wan sampai 7 orang..

    ReplyDelete
  2. Bagusnya tip ni Kak Wan. Nak start praktis lah..prepare utk bersalin April depan, insya Allah.

    ReplyDelete
  3. bagus tips-nya. Bukan utk bersalin aje. sebenarnya utk banyak perkara lain. tenang and go with the flow.

    ReplyDelete
  4. Err...errr..Mama, sebenornya dah 8 huhuhu...

    ReplyDelete
  5. Waah...tahniah tahniah Puan Zaila :) All the best...

    ReplyDelete
  6. Betul Cikgu Monalita, dah cuba untuk pelbagai sakit dan alhamdulillah, memang berkesan

    ReplyDelete