Thursday, 2 October 2014

Suatu Ketika Dahulu - Kemahiran Menaip



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Nostalgia betul tengok gambar di atas ni. Generasi sekarang agak-agaknya kenal tak apa benda ni? Kenapa tiba-tiba saya letakkan gambar mesin taip di sini? Begini kisahnya...

Semalam saya ke satu pusat penghantaran bungkusan/surat ekspress (bukan Pos Laju) untuk pos kan satu dokumen penting. Semasa sampai di kaunter, kerani tersebut sedang sibuk memasukkan data di dalam komputer. Saya tertarik melihat bagaimana beliau mengetuk papan kunci komputer tersebut. Laju. Tapi dengan sebelah tangan sahaja. Dan menggunakan dua jari sahaja. 

Saya tersenyum sendirian. Teringat zaman muda dulu. Di zaman orang masih menggunakan mesin taip. Betapa saya sangat suka melihat mereka yang pakar menggunakan mesin taip menaip dengan laju. Tanpa melihat papan kunci. Mereka berkursus untuk menjadi mahir. Dan saya waktu itu masih lagi seorang budak sekolah. Mana lah ada duit untuk pergi belajar menaip. Tetapi saya suka untuk mencuba. Mesin taip bapa saudara yang jadi mangsa. Ditekan, ditekan menggunakan satu jari. Dicuba untuk melajukan taipan. Tapi tetap tidak berjaya. :) Mana kan tidak, keras papan kunci nya.

Saya juga pernah menjadi seorang ahli komiti majalah sekolah sewaktu di peringkat matrikulasi. Saya ditugaskan untuk menaip artikel-artikel yang dihantar oleh para pelajar. Juga menggunakan mesin taip. Naik kebas dua jari saya waktu itu. Cuba menaip selaju mungkin. Kelakar pula bila diingat balik.

Apabila sudah bekerja, mesin taip waktu itu sudah semakin pupus. Semua mesin taip sudah digantikan dengan komputer. Terasa kelainannya sebab papan kunci semakin lembut. Tidak perlu bersusah payah menekan dengan kuat. Jadi kelajuannya boleh ditingkatkan lebih sedikit dari biasa. Tetapi saya masih menggunakan dua jari. Bak kata orang, seperti ayam patuk padi, tetapi dengan laju. 

Sekali lagi saya kagum melihat orang yang boleh menggunakan kemahiran menaip mereka menggunakan ke sepuluh-sepuluh jari. Saya pernah melihat seorang mem salleh yang juga pensyarah seperti saya waktu itu, menggunakan ke semua jari tangan beliau untuk menaip. Sangat leka saya melihatnya. Cantik sungguh jari-jemari beliau menari di atas papan kunci tersebut. Lembut tetapi pantas. Saya mula menanam impian untuk menjadi seperti beliau.

Impian saya itu akhirnya tercapai apabila saya diperkenalkan dengan satu CD belajar menaip dari Mavis Beacon. Perlahan-lahan saya mengikuti silibus di dalam CD tersebut, yang tidak membosankan kerana diselitkan dengan "games". Sedikit demi sedikit, saya menjana kemahiran untuk menaip. Dan apabila selesai silibus di dalam CD tersebut, akhirnya saya berjaya menaip menggunakan 10 jari dan juga tanpa melihat papan kunci. Satu pencapaian besar bagi saya waktu itu hahaha.

Itulah kelebihan orang zaman sekarang. Teknologi telah mempermudahkan segalanya. Kalau dahulu, orang perlu berkursus untuk kemahiran menaip tetapi sekarang, menggunakan CD sudah mencukupi. Malahan, saya lihat di internet juga sudah ada banyak kursus-kursus percuma untuk belajar menaip. Semuanya kini di hujung jari sahaja. Tinggal nak atau tak nak sahaja. Tak perlu lagi mengeluarkan banyak wang untuk belajar sesuatu kemahiran. Wang boleh disimpan untuk bayar duit minyak petrol ;)







4 comments:

  1. Wah sukanya saya tulisan ini, sebab dulu kami adik beradik masa kecil ayah hantar kami ke kelas mesin taip. Seronok tengok cikgu tu akan taip ikut irama, asdfg ;lkjh asdfg ;lkjh asdfg ;lkjh. Taiplah huruf tu sampai habis kertas A4. Kalau cantik boleh ke baris seterusnya, kalau banyak silap, ulang balik la baris asdfg ;lkjh sampai habis.

    Seronok, boleh menaip tanpa melihat papan kekunci, kalau tersalah taip pun sebenarnya boleh tahu kita salah tekan.

    ReplyDelete
  2. Wah, memang seronok ada pengalaman sebegitu. Belajar dengan cikgu lagi "real" sebenarnya :)
    Dan memang betul, suka sesangat bila boleh menaip tanpa lihat papan kunci tu. Calit sekali!

    ReplyDelete
  3. saya masa amik course Setiausaha memang masih guna mesin taip ni hehe.. bunyi yang bingit.. tapi bila guna lappy now tekan dah slow.. nostalgia sgts

    ReplyDelete
  4. Bila tu Mama Bat? Memang nostalgia...budak2 sekarang entah kenal ke idak mesin taip ni huhuhu

    ReplyDelete