Thursday, 23 October 2014

Bagaimana Akhir Kita?



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Dalam perjalanan ke Putrajaya tempohari, saya perlu melalui satu tanah perkuburan Islam. Kawasan perkuburan itu nampak seperti akan diperluaskan. Kerana memang tapak asalnya sangat kecil. 

Tiba-tiba muncul dalam fikiran, teringat cerita drama yang memaparkan Ahmad Tarmimi dan Azean Irdawaty sebagai pelakon. Mengenai bagaimana apabila si Ahmad Tarmimi meninggal dunia, dia tidak dapat ditanam dengan segera kerana tidak mendaftar untuk tapak kuburnya. 

Fikiran merewang pula kepada diri sendiri. Di manakah pengakhiran diri sendiri? Kalau di Kota Bharu, memang ada tapak perkuburan untuk keluarga. Adakah saya juga nanti akan bersemadi di situ? Atau adakah saya perlu mendaftar di kawasan yang saya duduki sekarang? Kerana kita tidak tahu bila dan di mana kita akan "pergi" tetapi mati itu adalah pasti. 

Teringat pula keadaan tapak perkuburan yang tersusun rapi seperti gambar di atas. Yang di khaskan untuk mereka yang boleh dikatakan agak berada di kawasan Taman Tun/Damansara. Saya pernah ke sana untuk menghadiri pengkebumian nenek saudara. Memang keadaannya lain sedikit dari tapak perkuburan di kampung. Dan lain juga dengan tapak perkuburan yang saya lihat dalam perjalanan ke Putrajaya itu. 

Tetapi walau bagaimana bentuk tanah kubur pun, cantik atau tidak, itu sebenarnya tidak penting. Meskipun tanah kubur tampak cantik rapi, yang penting adalah di dalamnya apabila kita berada di dalamnya. Dan itu bergantung kepada apa yang kita bawa sebagai bekalan. Jadi, kubur orang kaya ke, kubur orang miskin ke, kecantikan dalamnya bergantung kepada amalan tuan empunya kubur itu. Jika kita kaya tetapi amalan tak cukup, kubur kita tetap akan sempit dan menyakitkan. Sebaliknya jika kita miskin tetapi amalan bagus, kubur itu boleh jadi seluas dan secantik yang tidak dapat kita gambarkan. Wallahuallam. Tidak mahu memanjangkan tulisan ini, sudah tersedar dari lamunan (sekali lagi huhu). 

Tuesday, 14 October 2014

Tips Bersalin - Melawan sakit contraction



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Petang tadi ternampak status Puan Masayu di facebook yang bertanyakan pengalaman bersalin dengan doktor lelaki dan doktor wanita. Soalan ini mengundang kenangan pengalaman diri sendiri ketika bersalin. Tetapi, saya tidak ingin bercerita mengenai pengalaman bersalin itu sendiri. Apa yang ingin saya kongsikan adalah tips yang diberikan kepada saya oleh doktor lelaki tersebut.

Izinkan saya bercerita sedikit terlebih dahulu apa yang menyebabkan saya mendapat tips dari doktor tersebut. Ketika saya ingin melahirkan anak ke 4, waktu itu saya tidak mendaftar di mana-mana hospital atau klinik. Maklumlah, anak ke 4, sudah biasa. Saya hanya ke Pusrawi Kajang dua minggu sebelum saya dijangka melahirkan anak. Sila jangan ikut cara saya. Ini tidak bagus. Ibu mengandung seharusnya mendapat pemeriksaan mengikut jadual yang sepatutnya. 

Pada hari saya mendapat contraction, saya terus ke Pusrawi tersebut dan doktor yang bertugas ketika itu adalah doktor lelaki. Tiada doktor wanita ketika itu. Jadi, terpaksalah saya bersalin dengan doktor tersebut. Nak dijadikan cerita, hanya saya seorang sahaja yang bersalin pada petang itu. Kebetulan pula, di saat-saat saya ingin dibawa ke bilik bersalin, seluruh tingkat itu mengalami "black out". Nak tak nak, saya terpaksa dibawa ke bilik bedah kerana di situ ada generator. Baringlah saya di atas katil bedah. Seram jugak rasanya.

Sementara menantikan bukaan untuk melahirkan, saya merasakan kesakitan kali ini amat berbeza dari yang tiga sebelumnya. Sakit yang amat sangat sehingga kebas seluruh tangan dan kaki. Misi yang menjaga saya mengurut-urut tangan dan kaki saya sambil menyuruh saya bersabar dan berzikir. Agak lama juga saya menunggu, akhirnya saat melahirkan tiba juga. Alhamdulillah, saya selamat bersalin tanpa masalah. Cuma anak saya memang agak besar waktu itu iaitu 4kg. Apa pun, saya bersyukur kerana anak saya juga tidak ada apa-apa masalah.

Ditakdirkan Allah, 3 tahun kemudian saya mengandung lagi. Kali ini saya lebih kerap menjalankan pemeriksaan di klinik. Sehingga pada suatu hari, saya ternampak klinik baru dengan nama doktor yang membidankan anak ke 4 saya. Maka, saya dan suami membuat keputusan untuk menggunakan khidmat doktor ini lagi. 

Apabila saya berjumpa dengannya, saya ada menyatakan hasrat saya ingin menggunakan epidural ketika bersalin nanti. Kerana kalau boleh saya tidak mahu sakit seperti yang sebelum ini. Tetapi , doktor tersebut berkata dengan lembut " Tidak perlu epidural. Sebab kalau guna epidural, yang pertama kamu kena tambah bayaran RM500.00. Lepas tu ada risiko sakit belakang di hari tua nanti. Mari saya ajarkan kamu bagaimana hendak menangani sakit ketika contraction. Cara ini juga boleh digunakan ketika kaki kamu kejang waktu pagi-pagi baru bangun tidur".

Nak tahu caranya? Begini. Selalunya, apabila kita merasa sakit, apa yang kita akan buat adalah kita akan cuba lawan sakit tersebut, betul tak? Bagaimana kita melawan? Dengan menarik otot perut, atau dalam situasi kejang, kita menarik otot kaki untuk melawan atau menahan sakit tersebut. Jika kita lakukan ini, sakit itu sebenarnya tidak akan hilang, malah makin bertambah. Apa yang patut kita lakukan adalah dengan mengikut sahaja sakit tersebut. Seolah-olah seperti kita berada di dalam perahu di sungai atau laut yang berombak-ombak. Kita hanya ikut pergerakan perahu tersebut, baru lah kita tidak akan mabuk laut. Begitu juga dengan sakit. Bila sakit, cuba relakskan otot-otot kita yang sakit itu. Sakit bila contraction beralun-alun, betul? Maka, untuk mengurangkan sakit tersebut, kita ikut alunan sakit itu. Relakskan otot, tarik nafas hembus nafas dan ikut alunan sakit itu. Begitu juga dengan kejang. Relakskan kaki dan lama-kelamaan kejang itu akan hilang.

Saya cuba praktikkan tips yang diberi dan memang betul, kejang kaki saya waktu itu cepat berlalu. Dan sakit contraction pun tidak lama. Sekejap sahaja rasanya. Rasa seronok pula ketika mencuba untuk mengikut sakit itu. Alhamdulillah, tips ini saya gunakan untuk apa juga jenis sakit. Sakit gigi, sakit kepala, sakit belakang. Walaupun sakit itu tidak lah hilang 100% tetapi ianya dapat dikurangkan ke tahap di mana kita merasa selesa. Kalau susah nak tidur di waktu malam juga, kata doktor tadi, cuba relakskan otot badan, bermula dengan otot kaki, kemudian betis, kemudian paha, perut, dada dan akhir sekali kepala. Tidak lama lepas itu pasti kita akan dapat melelapkan mata, in sya Allah. 

Sesungguhnya saya memang amat berterima kasih dengan doktor tersebut. Saya tetap menggunakan khidmat beliau untuk bersalin anak saya yang ke 6, yang waktu itu keluar seberat 4.5 kg. Ketika mengandung anak ke 7, saya tetap ingin menggunakan khidmat beliau tetapi malangnya, klinik beliau telah ditutup dan saya pun tidak tahu di mana beliau pindah. Namun begitu, tips beliau tetap menjadi amalan saya. Terima kasih Dr Yusoff, di mana jua anda berada. Moga doktor dimurahkan rezeki dan berbahagia selalu. Amiiin. 

Friday, 10 October 2014

Sedap nya Goreng Pisang Itu

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Semalam saya membeli kuih di gerai dekat sekolah anak. Ada seorang pembeli yang membeli goreng pisang, dan meminta kerak-kerak gorengan diisi lebih sikit.

Teringat pula saya suatu ketika dahulu. Saya lah orang nya yang memang amat menyukai kerak goreng pisang. Makan seperti makan nasi. Tak dapat goreng pisang pun tak apa masa tu. Memang sedap.

Tapi sekarang, tidak lagi. Semenjak saya membaca kisah peniaga goreng pisang yang menggunakan plastik untuk merangupkan goreng pisang mereka, selera saya kepada kerak goreng pisang terus hilang.

Agak terkilan juga memikirkan nasib generasi akan datang. Disebabkan kerakusan sesetengah pihak yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata, mereka mungkin tidak lagi dapat menikmati nikmat kehidupan seperti yang kita semua pernah nikmati. Pelbagai penyakit pula yang mula timbul. Alangkah bagusnya jika semua peniaga kekal mengamalkan cara perniagaan secara islamik. Betul tak?



Monday, 6 October 2014

Kisah seorang gadis buta












Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Selamat Menyambut Hari Raya Qurban kepada semua. 

Sanggupkah kita berkorban untuk orang yang tersayang? Apakah pengorbanan yang sanggup kita lakukan?

Mari selami kisah seorang gadis buta yang membenci semua orang termasuk dirinya sendiri kerana beliau buta. Hanya seorang sahaja yang beliau sayangi iaitu kekasih beliau yang sentiasa berada bersama beliau. Beliau sangat ingin melihat. Keinginan itu begitu tinggi sehingga beliau mengatakan yang beliau sanggup buat apa sahaja untuk dapat melihat. Dan satu lagi, beliau akan mengahwini kekasih beliau itu sekiranya beliau dapat melihat.

Berita baik diterima beliau. Beliau diberitahu yang ada penderma mata telah mendermakan mata untuk beliau. Beliau sangat gembira.

Selesai menjalani pembedahan, beliau merasa teruja melihat sekeliling. Dan kekasih beliau pun bertanya "Sekarang sudikah kamu mengahwini aku setelah kamu sudah boleh melihat?"

Gadis tersebut melihat kepada kekasihnya. Dengan perasaan jengkel, beliau menyatakan tidak sanggup mengahwini kekasihnya kerana didapati kekasihnya juga adalah seorang yang buta. 

Dengan sedih kekasihnya berlalu pergi sambil menitiskan air mata. 

Esoknya, gadis itu menerima sepucuk surat dari kekasihnya dan di dalam surat itu tertulis "Selamat Tinggal Kasihku. Jagalah mata ku itu sebaik mungkin"

Hebatnya pengorbanan itu, bukan? 

Thursday, 2 October 2014

Suatu Ketika Dahulu - Kemahiran Menaip



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Nostalgia betul tengok gambar di atas ni. Generasi sekarang agak-agaknya kenal tak apa benda ni? Kenapa tiba-tiba saya letakkan gambar mesin taip di sini? Begini kisahnya...

Semalam saya ke satu pusat penghantaran bungkusan/surat ekspress (bukan Pos Laju) untuk pos kan satu dokumen penting. Semasa sampai di kaunter, kerani tersebut sedang sibuk memasukkan data di dalam komputer. Saya tertarik melihat bagaimana beliau mengetuk papan kunci komputer tersebut. Laju. Tapi dengan sebelah tangan sahaja. Dan menggunakan dua jari sahaja. 

Saya tersenyum sendirian. Teringat zaman muda dulu. Di zaman orang masih menggunakan mesin taip. Betapa saya sangat suka melihat mereka yang pakar menggunakan mesin taip menaip dengan laju. Tanpa melihat papan kunci. Mereka berkursus untuk menjadi mahir. Dan saya waktu itu masih lagi seorang budak sekolah. Mana lah ada duit untuk pergi belajar menaip. Tetapi saya suka untuk mencuba. Mesin taip bapa saudara yang jadi mangsa. Ditekan, ditekan menggunakan satu jari. Dicuba untuk melajukan taipan. Tapi tetap tidak berjaya. :) Mana kan tidak, keras papan kunci nya.

Saya juga pernah menjadi seorang ahli komiti majalah sekolah sewaktu di peringkat matrikulasi. Saya ditugaskan untuk menaip artikel-artikel yang dihantar oleh para pelajar. Juga menggunakan mesin taip. Naik kebas dua jari saya waktu itu. Cuba menaip selaju mungkin. Kelakar pula bila diingat balik.

Apabila sudah bekerja, mesin taip waktu itu sudah semakin pupus. Semua mesin taip sudah digantikan dengan komputer. Terasa kelainannya sebab papan kunci semakin lembut. Tidak perlu bersusah payah menekan dengan kuat. Jadi kelajuannya boleh ditingkatkan lebih sedikit dari biasa. Tetapi saya masih menggunakan dua jari. Bak kata orang, seperti ayam patuk padi, tetapi dengan laju. 

Sekali lagi saya kagum melihat orang yang boleh menggunakan kemahiran menaip mereka menggunakan ke sepuluh-sepuluh jari. Saya pernah melihat seorang mem salleh yang juga pensyarah seperti saya waktu itu, menggunakan ke semua jari tangan beliau untuk menaip. Sangat leka saya melihatnya. Cantik sungguh jari-jemari beliau menari di atas papan kunci tersebut. Lembut tetapi pantas. Saya mula menanam impian untuk menjadi seperti beliau.

Impian saya itu akhirnya tercapai apabila saya diperkenalkan dengan satu CD belajar menaip dari Mavis Beacon. Perlahan-lahan saya mengikuti silibus di dalam CD tersebut, yang tidak membosankan kerana diselitkan dengan "games". Sedikit demi sedikit, saya menjana kemahiran untuk menaip. Dan apabila selesai silibus di dalam CD tersebut, akhirnya saya berjaya menaip menggunakan 10 jari dan juga tanpa melihat papan kunci. Satu pencapaian besar bagi saya waktu itu hahaha.

Itulah kelebihan orang zaman sekarang. Teknologi telah mempermudahkan segalanya. Kalau dahulu, orang perlu berkursus untuk kemahiran menaip tetapi sekarang, menggunakan CD sudah mencukupi. Malahan, saya lihat di internet juga sudah ada banyak kursus-kursus percuma untuk belajar menaip. Semuanya kini di hujung jari sahaja. Tinggal nak atau tak nak sahaja. Tak perlu lagi mengeluarkan banyak wang untuk belajar sesuatu kemahiran. Wang boleh disimpan untuk bayar duit minyak petrol ;)