Thursday, 18 September 2014

Ku dengan cara ku



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Sangat tertarik membaca artikel dari seorang haji di facebook. Berkisar mengenai isu soalan UPSR yang bocor tempoh hari. Saya juga mempunyai seorang anak yang menduduki ujian UPSR pada tahun ini. Sebab itu lah juga saya menjadi lebih peka dengan isu kebocoran ini.

Berbalik kepada artikel haji tersebut, saya tidak mahu memanjangkan kisah kertas bocor atau integriti yang bocor. Tetapi saya ingin mengatakan yang saya bersetuju dengan cara haji tersebut membesarkan anak-anak beliau dengan tidak terlalu membebankan anak-anak beliau dengan pencapaian di bidang akademik. 

Menurut beliau, beliau tidak mahu anak-anak merasa tertekan atau "stress" bila dipaksa belajar hanya untuk memenuhi status quo masyarakat yang mementingkan pencapaian. Lagipun, ini hanyalah peperiksaan UPSR sahaja. Yang kalau dapat sangat bagus pun, paling paling masuk sekolah berasrama penuh. Tetapi tetap naik tingkatan 1 sahaja. Bukan boleh terus masuk universiti pun. Dan beliau menulis, biarlah anak-anak membesar mengikut fitrah mereka. Jangan paksa mereka dewasa sebelum tiba masanya.

Saya adalah salah seorang yang juga berfikiran sedemikian. Bagi saya, minat belajar ni perlu datang dari diri individu tersebut. Kalau dipaksa lebih-lebih, mungkin mereka akan lakukan tetapi tidak akan terkesan di dalam fikiran dan hati mereka. Di lihat pada diri saya sendiri, ibu bapa saya juga tidak pernah membebankan saya tentang pelajaran. Saya tidak masuk tadika. Saya juga tidak pernah hadir tuition. Orang ada buku latihan peperiksaan, tetapi saya hanya menggunakan buku teks sekolah sahaja untuk belajar. Namun alhamdulillah, minat untuk belajar itu datang dengan sendirinya. Dan saya belajar kerana saya ingin tahu, bukannya untuk mendapat markah yang tinggi. 

Memang suatu ketika dahulu saya merasa agak risau juga jika anak-anak saya tidak mengulangkaji, tidak mahu melakukan latihan dari buku-buku latihan yang dibeli. Risau jika saya tidak melakukan yang terbaik untuk anak saya demi masa depan mereka. Tetapi apa yang saya lihat, biar banyak mana pun buku yang dibeli, tetapi jika satu pun tidak menarik minat mereka untuk membaca apatah lagi membuat latihan-latihannya, ia nya terbiar begitu sahaja. 

Saya juga pernah membuat peta minda untuk setiap bab subjek matematik anak saya ketika beliau ingin mengambil PMR. Tetapi peta itu hanya tinggal dalam buku semata-mata dan tidak digunakan sepenuhnya oleh anak saya. Memang mereka tidak berminat. Paksa punya paksa, tapi tak jalan. Akhirnya saya pasrah dan membiarkan mereka belajar mengikut keselesaan mereka. Sekali sekala sahaja saya akan ingatkan mereka tentang ulangkaji. Bak kata pepatah "Kita boleh membawa anjing ke sungai, tetapi kita tidak boleh paksa anjing itu minum jika dia tidak mahu minum". 

Apa-apa pun, setiap orang ada cara mereka yang tersendiri. Tidak ada yang salah. Semuanya betul. Yang salahnya adalah apabila kita memandang rendah, atau menghina cara orang lain dan merasakan kita sahaja yang betul. Wallahuallam.

2 comments:

  1. betul kak wan.. saya pun gitu.. apa yg mereka minat pasti mereka akan buat sepenuh hati tanpa dipaksa

    ReplyDelete
  2. Eh Mama Bat sudah tuka eh sekarang hehehehe...dah lama nampaknya blog baru tu...meh kita nyambung silaturrahim lagi dengan blog baru kita ni ya? Hehehe....

    ReplyDelete