Tuesday, 2 September 2014

Kisah Pemain Biola

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah




Tertarik membaca kisah tentang seorang pemain biola kurang upaya yang terkenal. Ramai orang sudah arif tentang ketidak upayaan beliau yang disebabkan demam polio di masa beliau kecil. Beliau menghadapi masalah untuk bergerak dan berjalan. Namun begitu, beliau memang sangat pakar di dalam bermain biola. Setiap konsert yang beliau adakan, pasti mendapat sambutan. 

Pada suatu ketika, beliau telah mengadakan satu konsert. Seperti biasa, para penonton akan melihat rutin beliau masuk ke pentas di atas kerusi roda, kemudian berusaha untuk bangun dari kerusi roda tersebut dan berjalan perlahan-lahan ke tengah pentas. Bekas biola dibuka, biola dikeluarkan dan beliau bersedia untuk bermain. Dan sememangnya, apabila beliau mula bermain, seluruh dewan akan senyap dan menghayati mainan biola beliau.

Pada hari itu, di tengah-tengah lagu yang beliau mainkan, seutas tali biola beliau tiba-tiba putus. Para penonton dapat mendengar bunyi tali yang putus tersebut. Dan sangkaan penonton, pasti pemain biola itu akan berhenti bermain, melakukan rutin berjalan perlahan-lahan keluar dari pentas untuk sama ada membaiki tali biola tersebut atau mencari biola lain. Namun, sangkaan penonton semua itu ternyata meleset. Pemain biola itu tetap meneruskan gesekan biola beliau. Dan beliau kelihatan mencuba untuk mengolah kembali susunan muzik yang dicipta untuk biola bertali empat kepada susunan muzik untuk biola bertali tiga. 

Dan sehingga akhirnya, beliau tidak menunjukkan sebarang kecacatan kepada permainan biola beliau, meskipun bunyinya agak berbeza dari susunan yang sebenar. Selesai sahaja konsert beliau, semua penonton berdiri memberikan tepukan gemuruh kepada si genius ini. 

Dengan rendah diri, sebelum beliau berundur dari pentas, selepas berterima kasih kepada penonton beliau berkata " Hanya seorang anak seni yang sebenarnya sahaja yang boleh memanfaatkan kekurangan yang berlaku secara tiba-tiba". Dan beliau terus beredar.

Begitulah juga kita di dalam situasi kehidupan kita, apa sahaja kekurangan yang diberikan, masalah yang menimpa, cubalah berusaha di dalam situasi sebegitu sebaik mungkin yang boleh. Bak kata satu pepatah "If plan A doesn't work, there is always 25 more alphabets that you can use" 

2 comments:

  1. "If plan A doesn't work, there is always 25 more alphabets that you can use", saya suka kata-kata ini. Teruskan menulis puan, saya suka membacanya.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah....terima kasih kerana sudi membaca...:)

    ReplyDelete