Saturday, 6 September 2014

Kashaf Imani - sebuah drama



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Baru usai menyaksikan drama Kashaf Imani ni. Sudah pernah tonton sebelum ni tetapi sudah lupa ceritanya bagaimana. Satu cerita yang patut diperbanyakkan di kaca TV. Memberi pengajaran. Bukan cerita cinta yang penuh emosi semata-mata sebagaimana kebanyakan drama yang ada di TV sekarang ni. 

Mengisahkan tentang seorang wanita iaitu Imani yang dikurniakan anugerah dapat berinteraksi dengan makhluk di alam ruh. Membantu lelaki yang diminati beliau secara diam-diam untuk memberitahu ibunya yang beliau tidak pernah menganggap ibunya itu bersalah. Malahan ingin mendapat peluang untuk memohon maaf dari ibunya atas segala kesalahannya sebelum ini. 

Begitulah lumrah kehidupan, kan? Selagi ada di depan mata, sentiasa diambil mudah dan diremehkan. Tetapi apabila sudah di ambang kehilangan (sakit, kematian dan seumpamanya) barulah segala kebaikan diimbas kembali. Dan segala kekesalan timbul kerana tidak sempat melakukan apa yang sepatutnya dilakukan. Itulah yang terjadi kepada Kashaf dan juga ibunya. Si ibu kesal kerana tidak melayan anak dengan baik. Berat sebelah dengan kasih sayang di mana si adik mendapat lebih perhatian daripada abangnya. Si anak pula iaitu Kashaf merasa menyesal kerana telah memanggil ibunya dengan nama yang tidak sepatutnya kerana mengandungkannya di luar nikah. (TV telah senyapkan perkataan itu, jadi saya pun tidak tahu apa panggilan yang dipanggil oleh Kashaf. Yang pasti ianya adalah tidak baik).

Pengajaran untuk kita sendiri. Jangan tunggu lama-lama. Kalau dah terfikir ingin lakukan sesuatu yang baik untuk ibu bapa terutamanya, lakukanlah selagi ibu bapa masih ada. Jangan tunggu hari istimewa seperti hari raya atau apabila mereka sudah tiada. Dan sentiasalah berbuat baik kepada semua orang. Pesanan ini memang sentiasa kita dengar, baca. Tetapi adakah kita bertindak? Hanya kita yang tahu.

No comments:

Post a Comment