Wednesday, 24 September 2014

Jika ingin menjadi jutawan.....


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Saya teringat tentang kata-kata pakar motivasi dari luar negara yang mengatakan "Jika kita ingin menjadi jutawan, kita haruslah berlagak atau hidup seperti seorang jutawan".

Ketika membaca kata-kata tersebut, saya tidak begitu memahami. Atau mungkin saya tidak mendalami. Hanya setakat membaca sahaja. Ada juga terfikir, tidak mungkin boleh kita ingin berlagak seperti seorang jutawan sedangkan kita tidak lah sekaya itu.

Dalam fikiran saya, kata-kata itu seolah menyuruh kita berpakaian dengan jenama terkenal, menggunakan kenderaan mewah, mempunyai rumah mewah, berbelanja tanpa kisah. Itu pandangan saya pada ketika itu. 

Tetapi, apabila saya ingat kembali cerita-cerita dari para hartawan seperti Puan Maznah Hamid, Syed Mokhtar Al Bukhary dan yang seumpamanya, barulah terdetik di hati saya bahawa maksud kata-kata tadi adalah bukan bermakna meniru dari segi material tetapi lebih kepada usaha. 

Tabiat-tabiat seperti bangun pagi, bersedekah, solat awal waktu dan tidak pernah tinggal solat, qiamullai, hidup bersederhana dan lain-lain lagi, itulah yang sebenarnya yang patut kita contohi dan ikuti. Dan berlagaklah seperti itu. 


Dan setelah saya membaca buku "Nikmatnya Rezeki Yang Berkat" hasil tulisan Mohamad Razif Mohamad Fuad mengenai rezeki kita yang telah pun ditentukan oleh Allah sejak dari azali lagi, teringat pula saya dengan kata-kata pakar motivasi barat yang menyatakan bahawa "kekayaan itu sebenarnya adalah sudah milik kita, cuma ia belum datang kepada kita. Mungkin kerana tindakan kita masih belum cukup atau kita masih tidak melakukan apa yang patut kita lakukan untuk mendapatkannya. Dan kekayaan itu bukan semata-mata harta-benda tetapi boleh di dalam apa sahaja bentuk. Kebahagiaan dan ketenangan juga merupakan satu kekayaan."

Di dalam buku ini juga ada menyatakan bahawa Allah tidak akan pernah membiarkan hambaNya selagi kita melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang. Setiap dari kita memang berhak untuk "kaya" (terpulang kepada interpretasi masing-masing). Cuma kita akan diuji terlebih dahulu untuk melihat sama ada kita sudah bersedia untuk menerima rezeki dariNya atau tidak. 

Semuanya memang berpadanan. Sememangya kita perlulah menunjukkan usaha yang bersungguh-sungguh sepadan dengan nilai rezeki yang akan dikurniakan Allah kepada kita. Jika kita inginkan wang sejuta ringgit, maka apakah usaha yang perlu kita lakukan yang sepadan dengan nilai sejuta ringgit itu. Adakah dengan duduk goyang kaki sambil tengok TV itu berpadanan? Sudah tentu tidak bukan? Jadi, sekali lagi, lihatlah apa yang para jutawan, para hartawan telah lakukan sebelum mereka dapat mencapai "kekayaan" mereka. Yang itu lah yang patut kita tiru, bukannya meniru dari segi material semata-mata seperti yang telah saya anggap sebelum ini. Wallahuallam.

5 comments:

  1. allah hu akbar.
    terima kasih Wan Rohaniah. sangat membantu beri semangat pada diri yang dah nak terjunam.

    ReplyDelete
  2. Sama lah kita Cikgu. Baru tersedar dari lamunan ni :)

    ReplyDelete
  3. Terima kasih perkongsian ni kak Wan Rohaniah.
    Jom jadi jutawan :D

    ReplyDelete
  4. Meh kita. Kita pakat "brainstorm" apa langkah yang perlu, nak? ;)

    ReplyDelete
  5. Agreed with you Kak Wan.. thanks for sharing

    ReplyDelete