Sunday, 28 September 2014

Apa yang anda lakukan hari ini



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

السلام عليكم ورحمت اللة وبركتة


Sesungguhnya setiap perbuatan yang kita lakukan pasti akan ada kesannya. Sama ada kepada orang lain, mahu pun kepada diri kita sendiri.

Kisah terjadi di sebuah sekolah di negara Barat. Pada suatu ketika, seorang pelajar bernama David, yang agak popular di sekolah tersebut sedang dalam perjalanan untuk pulang dari kelas nya. Di hadapan pintu pagar sekolah, dia terlihat seorang pelajar dari kelasnya, membawa buku teks yang banyak. Seolah-olah seluruh bukunya ada pada nya ketika itu. 

David mengenali budak itu sebagai seorang yang pendiam dan tidak banyak bergaul. Malahan dia sentiasa dibuli oleh kawan-kawan sekelasnya yang lain. Seketika kemudian, pelajar tersebut telah dilanggar oleh beberapa pelajar lain dan buku-bukunya jatuh bertaburan. Pelajar-pelajar yang melanggarnya hanya ketawa dan mengejek dan terus berlalu. Tinggallah pelajar itu duduk untuk mengangkat dan menyusun buku-bukunya dengan wajah yang sedih. 

David lantas pergi dan membantu pelajar tadi. Beliau mengambil beberapa buku pelajar itu dan sambil menghulurkan satu buku David berkata "Kamu Peter kan? Sekelas dengan saya. Kenapa kamu bawa banyak buku ni?". Pelajar itu dengan malu-malu mengakui nama beliau adalah Peter dan sekelas dengan David. Tetapi tidak dinyatakan sebab beliau membawa buku dengan banyak.

David berbual-bual lagi dengan Peter sambil berjalan dan beberapa biji buku Peter masih ada di tangan beliau. Tanpa sedar, mereka sampai di rumah Peter dan David berkata "Baiklah, Jumpa lagi kamu esok. Kita ke sekolah sama-sama ya?". Peter hanya mengangguk. Besoknya, Peter keluar dari rumah dan mendapati David sudah ada menunggunya.

Sejak dari hari itu, Peter dan David menjadi rapat. Mereka belajar bersama-sama, makan bersama dengan rakan-rakan David yang lain. David mendapati Peter adalah seorang pelajar yang cerdik dan selalu mendapat markah yang tinggi setiap kali ujian dijalankan. Dan David memang sudah lali dengan keadaan Peter dengan buku-buku yang bertimbun.

Di tahun akhir persekolahan, Peter dan David telah berjaya dengan cemerlang. Pada hari graduasi, Peter telah mendapat anugerah pelajar terbaik dan beliau perlu membuat ucapan di hadapan para pelajar dan ibu bapa.

David ialah antara pelajar yang bertepuk tangan paling kuat ketika Peter naik ke pentas untuk memberikan ucapannya. Peter naik ke pentas dan dengan memegang mikrofon beliau berkata "Untuk hari yang bersejarah ini, pasti kita akan berterima kasih kepada ibu bapa dan guru-guru yang banyak memberi tunjuk ajar. Saya tidak terlepas dari semua itu. Terima kasih kepada ibu bapa saya dan juga guru-guru. Tetapi, saya ingin sekali mengucapkan terima kasih kepada sahabat baik saya yang telah mengubah persepsi saya tentang kehidupan. Kepada seorang insan yang membantu saya..." dan beliau menceritakan kisah beliau yang dibantu oleh David pada hari itu.

David mendengar ceritanya dengan Peter sehinggalah mereka mendapat kejayaan pada hari itu. Akhir sekali, Peter berkata "Sesungguhnya, pada hari kejadian itu, saya dapat merasakan bahawa masih ada orang yang mengambil berat tentang saya. Dan saya rasa sangat terharu. Kerana, pada hari itu, sebenarnya saya sudah nekad untuk menamatkan riwayat hidup saya. Saya sudah mengosongkan loker saya dan menyimpan semua barang-barang saya supaya apabila ibu bapa saya mendengar berita mengenai kematian saya, mereka tidak perlu lagi datang dan mengemaskan barang-barang saya."

David terkejut apabila mendengar cerita Peter itu. Beliau melihat ke arah ibu bapa Peter yang hanya mengangguk dan menitiskan air mata. Ibu bapa Peter memandang David dengan pandangan penuh rasa terima kasih.

Begitulah setiap kebaikan yang kita lakukan, meskipun bagi kita ianya nampak remeh tetapi ia mungkin dipandang besar oleh orang lain dan mungkin dapat menyelamatkan jiwa seseorang. Kita tidak tahu bila tindakan kita itu akan dapat memberi kebaikan kepada orang lain. Sebab itulah kita disarankan untuk sentiasa berbuat baik tidak kira kepada siapa, hatta kepada pengemis sekali pun.

Pakar motivasi ada menyarankan, dalam satu hari, cuba fikirkan apakah kebaikan yang ingin kita lakukan. Siapa yang ingin aku tolong hari ini? Apa yang boleh aku lakukan untuk menolong? Melemparkan kata-kata yang baik juga boleh menjadi satu kebaikan. Tidak semestinya mengeluarkan wang ringgit. Wallahuallam.

2 comments:

  1. terbaik. teruskan. saya suka baca perkongsian kat sini.

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah. Terima kasih Cikgu. Saya suka cikgu suka :) (*Berbesar hati sebenarnya hehee)

    ReplyDelete