Tuesday, 9 September 2014

Anak kesayangan - satu tragedi


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google




Apabila berlaku sesuatu musibah atau kemalangan, biasanya apakah yang kita sering lakukan? Adakah kita akan bersedih, kemudian mencari-cari di mana kah silapnya dan siapakah yang bersalah? Mari renungkan kisah sebuah keluarga di bawah.

Sepasang suami isteri hidup dengan gembira bersama anak kesayangan mereka yang dilahirkan setelah 8 tahun menanti. Anak mereka kini sudah pun berusia 5 tahun.

Pada suatu pagi, si ayah sudah pun terlewat untuk ke tempat kerja. Dengan tergesa-gesa, beliau membuka peti ais untuk mengambil sebotol susu dan meminumnya. Sewaktu minum, beliau ternampak sebotol ubat yang terbuka. Sebelum keluar dari rumah, beliau pergi untuk mencium dahi anaknya dan berkata kepada isterinya yang sedang sibuk memasak sarapan di dapur "Nanti jangan lupa tutup botol ubat atas meja dapur ya?". Isterinya berkata "Ya. Sekejap lagi". 

Di dalam kesibukan si isteri menyediakan sarapan, mengemas rumah dan seumpamanya, beliau terlupa tentang ubat tadi. Si anak melihat botol ubat tadi dan menyangkakan yang ianya gula-gula, si anak telah menelan ubat tersebut dengan banyak sehingga beliau pengsan tidak sedarkan diri.

Melihat keadaan anaknya, si ibu baru sedar yang beliau telah terlupa dengan ubat tersebut. Sepantas kilat, beliau menelefon ambulans dan mengangkat anaknya untuk dibawa ke hospital. 

Sesampai di hospital, doktor mencuba sedaya upaya menyelamatkan si anak. Namun, apa kan daya, ubat tersebut adalah terlalu kuat untuk si anak. Sedangkan untuk dewasa pun hanya boleh makan 2 kali sehari sahaja. Anak tersebut meninggal dunia di hospital itu.

Si ibu menangis dan merasa menyesal. Beliau juga risau nanti apa kata suaminya padanya yang cuai. Seketika kemudian, si suami muncul. Beliau sudah pun mengetahui tentang kematian anaknya dari doktor tadi. Melihat wajah isterinya, beliau hanya mengucapkan 3 patah perkataan sahaja. Apakah agaknya perkataan tersebut?

Jika di dalam situasi sebegini, apakah yang selalunya berlaku? Mesti ada yang berpendapat si suami akan memarahi isteri? 

Sebenarnya, apa yang suami itu katakan pada isterinya adalah "Saya sayang kamu". Baginya, memang mudah untuk menyalahkan isterinya. Tetapi, perkara itu sudah pun berlaku. Walau berguni sumpahan yang dilemparkan tidak dapat mengembalikan anak mereka. Dan isterinya juga sudah kehilangan anak kesayangannya. Seperti juga dirinya. Apa yang isterinya perlukan sekarang adalah sokongan dan kasih sayang, dan bukannya maki hamun dan tohmahan. 

Alangkah bagusnya jika semua orang boleh berfikiran sebegitu, bukan? 


2 comments:

  1. kun fa ya kun.. dugaan if begini.. memang tak mudah

    ReplyDelete
  2. Sememangnya...anak dah demam sikit pun kita dah tak menentu...

    ReplyDelete