Thursday, 21 August 2014

Kisah Perangkap Tikus



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Ada seekor tikus yang tinggal di rumah kampung Pak Mat. Pada suatu hari, tikus tersebut melihat Pak Mat membawa pulang satu kotak yang misteri. Dia pergi untuk meninjau dan melihat apa yang ada dalam kotak tersebut.

Apabila kotak itu dibuka, dilihatnya ada satu perangkap tikus. Dia sangat terkejut dan merasa sangat risau. Dia berlari keluar dari rumah dan pergi ke reban ayam. Dia menjerit memberitahu yang Pak Mat telah membeli perangkap tikus. Ayam tergelak bila mendengarnya dan mengatakan yang dia tidak risau akan perangkap tersebut. 

Tikus tersebut berlari pula ke kandang kambing dan menjerit memberitahu kambing yang di rumah Pak Mat ada perangkap tikus. Kambing tersebut berkata "Saya tahu kamu risau dengan perangkap itu. Kamu hanya perlu hati-hati. " Dan kambing itu terus menyambung apa yang dia sedang lakukan.

Sekali lagi tikus berlari. Kali ini ke kandang lembu pula. Dan harapannya agar lembu dapat melakukan sesuatu. Tetapi apabila dia memberitahu lembu akan perangkap tikus itu, lembu itu hanya berkata "Itu bukan masalah aku. Kamu jangan risau, kami akan sentiasa berada di belakang kamu. Kalau apa-apa terjadi kepada kamu, kami akan jaga anak-anak kamu"

Tikus itu merasa hampa dan sedih. Nampaknya tidak seekor binatang pun yang bimbangkan perangkap tikus itu kecuali dirinya. Dia pulang ke lubangnya dengan hiba dan tidur.

Malam itu, perangkap tikus itu telah berjaya menjerat ekor seekor ular. Dan apabila keesokan harinya isteri Pak Mat pergi untuk melihat, ular tersebut telah mematuk isteri Pak Mat. 

Isteri Pak Mat dibawa ke hospital untuk menghilangkan bisa ular tersebut. Setelah bisa itu dikeluarkan, isteri Pak Mat dibawa pulang ke rumah. Malangnya, sesampai di rumah, isteri Pak Mat demam dan sakit-sakit tubuh, tidak dapat bangun. Ramai orang datang melawat isteri Pak Mat tersebut. Untuk menjamu tamu yang datang melawat terutama saudara mara isterinya, Pak Mat terpaksa menyembelih ayam di rebannya untuk dibuat lauk.

Sakit isteri Pak Mat tidak sembuh-sembuh. Makin ramai yang datang melawat. Dengan kehadiran orang ramai itu, Pak Mat terpaksa pula menyembelih kambingnya untuk dihidangkan.

Akhirnya, ajal isteri Pak Mat tiba jua. Setelah selesai arwah isteri Pak Mat dikebumikan, Pak Mat menyembelih pula lembunya untuk kenduri arwah. 

Tinggallah tikus melihat segala kejadian itu dengan hati yang sedih.

Pengajarannya:
Jangan anggap masalah orang lain tiada kena mengena dengan diri kita. Sebab kita tidak tahu, ada kemungkinan ia juga akan menjadi masalah kepada kita. Dan jangan merendah-rendahkan kerisauan orang lain tentang masalahnya. Kita tidak tahu bila kita akan turut menerima masalah yang sama. 




No comments:

Post a Comment