Tuesday, 26 August 2014

Kemalangan Kecil Di Round About

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Subhanallah.Anak nombor 2 saya terlibat dengan kemalangan kecil. Motosikalnya melanggar kereta. Katanya dia tidak perasan kereta tersebut ada di tepi jalan itu. Kalau ikut perkara yang patut dilakukan, kereta tersebut tidak patut berada di bahagian situ kerana ia bukan "lane" yang diperuntukkan untuk kereta yang ingin ke bahagian kanan. Namun begitu, kita di Malaysia ni memang suka buat perkara yang tak patut. 

Sebagai seorang ibu juga, saya merasa nak marah bila mendengar berita ni dari anak saya. Memang saya selalu bising bila kereta melakukan apa yang dilakukan oleh kereta yang terbabit. Saya selalu lihat, selalu berhadapan dengan situasi itu dan setiap kali hati saya pasti akan "bising", tetapi dalam hati saja lah. Namun begitu, saya tahu, saya juga perlu berfikir secara rasional. Perkara sebegini sudah menjadi perkara biasa. Kalau kita kata salah dari segi undang-undang, tak ada sesiapa yang akan sokong. 

Jadi apa yang dapat saya bagitau anak saya, salah siapa sekarang tidak penting. Kita juga ada salahnya kerana tidak "double check" sebelum tekan minyak. Lagipun, kita yang langgar kereta tersebut. Memanglah kalau ikut normanya, kereta itu tidak patut ada di situ tetapi kita sebagai penunggang motosikal, tidak boleh bergantung kepada norma sahaja. Kita seperti kes timun dengan durian dan kita adalah timun. Jadi, kita salah ke, atau dia salah ke, kita tetap akan di pihak yang rugi. Kita bernasib baik juga kerana perkara ini tidak berpanjangan. Habis di situ sahaja. Walaupun kata anak saya, makcik pemandu kereta tu marah-marah pada dia dengan kata yang agak kasar seperti "Kamu minum ke?" bila melihat anak saya terpinga-pinga setelah tercampak dari motosikalnya. Bersyukur sahajalah kerana luka anak saya pun tidaklah seteruk mana. 

Cuma satu sahaja yang saya agak terkilan. Saya tahu reputasi mat motor memang tidak berapa baik. Kecuali mereka yang menaiki motor besar. Kalau motor kapcai je, pasti ramai yang beranggapan penunggang tersebut sama  ada suka merempit atau suka bawa cincai-cincai. Itu lah masyarakat kita. Selalu menghukum terlebih dahulu. "Assume guilty until proven otherwise". Terbalik dari sistem di Amerika yang menggunakan "Assume innocent until proven guilty". Kalau lah kita dapat mengubah keadaan sebegini alangkah bagusnya. 

Pengajaran yang dapat kami ambil dari kejadian ini:
1)  Mesti sentiasa berhati-hati dan jangan membuat andaian yang segalanya adalah seperti yang sepatutnya. Periksa berkali-kali.

2)  Jangan cepat menghukum seseorang. 

3)  Sentiasa redha di atas segala yang berlaku. Mungkin ada hikmah disebaliknya.

4) Kalau boleh, jangan lah buat perkara yang tidak sepatutnya walaupun ramai orang melakukannya. Seperti potong Q dan seumpamanya.

5)  Kena beli motor besar...hehehehe...yang ini gurau sahaja. 

Thursday, 21 August 2014

Kisah Perangkap Tikus



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google

Ada seekor tikus yang tinggal di rumah kampung Pak Mat. Pada suatu hari, tikus tersebut melihat Pak Mat membawa pulang satu kotak yang misteri. Dia pergi untuk meninjau dan melihat apa yang ada dalam kotak tersebut.

Apabila kotak itu dibuka, dilihatnya ada satu perangkap tikus. Dia sangat terkejut dan merasa sangat risau. Dia berlari keluar dari rumah dan pergi ke reban ayam. Dia menjerit memberitahu yang Pak Mat telah membeli perangkap tikus. Ayam tergelak bila mendengarnya dan mengatakan yang dia tidak risau akan perangkap tersebut. 

Tikus tersebut berlari pula ke kandang kambing dan menjerit memberitahu kambing yang di rumah Pak Mat ada perangkap tikus. Kambing tersebut berkata "Saya tahu kamu risau dengan perangkap itu. Kamu hanya perlu hati-hati. " Dan kambing itu terus menyambung apa yang dia sedang lakukan.

Sekali lagi tikus berlari. Kali ini ke kandang lembu pula. Dan harapannya agar lembu dapat melakukan sesuatu. Tetapi apabila dia memberitahu lembu akan perangkap tikus itu, lembu itu hanya berkata "Itu bukan masalah aku. Kamu jangan risau, kami akan sentiasa berada di belakang kamu. Kalau apa-apa terjadi kepada kamu, kami akan jaga anak-anak kamu"

Tikus itu merasa hampa dan sedih. Nampaknya tidak seekor binatang pun yang bimbangkan perangkap tikus itu kecuali dirinya. Dia pulang ke lubangnya dengan hiba dan tidur.

Malam itu, perangkap tikus itu telah berjaya menjerat ekor seekor ular. Dan apabila keesokan harinya isteri Pak Mat pergi untuk melihat, ular tersebut telah mematuk isteri Pak Mat. 

Isteri Pak Mat dibawa ke hospital untuk menghilangkan bisa ular tersebut. Setelah bisa itu dikeluarkan, isteri Pak Mat dibawa pulang ke rumah. Malangnya, sesampai di rumah, isteri Pak Mat demam dan sakit-sakit tubuh, tidak dapat bangun. Ramai orang datang melawat isteri Pak Mat tersebut. Untuk menjamu tamu yang datang melawat terutama saudara mara isterinya, Pak Mat terpaksa menyembelih ayam di rebannya untuk dibuat lauk.

Sakit isteri Pak Mat tidak sembuh-sembuh. Makin ramai yang datang melawat. Dengan kehadiran orang ramai itu, Pak Mat terpaksa pula menyembelih kambingnya untuk dihidangkan.

Akhirnya, ajal isteri Pak Mat tiba jua. Setelah selesai arwah isteri Pak Mat dikebumikan, Pak Mat menyembelih pula lembunya untuk kenduri arwah. 

Tinggallah tikus melihat segala kejadian itu dengan hati yang sedih.

Pengajarannya:
Jangan anggap masalah orang lain tiada kena mengena dengan diri kita. Sebab kita tidak tahu, ada kemungkinan ia juga akan menjadi masalah kepada kita. Dan jangan merendah-rendahkan kerisauan orang lain tentang masalahnya. Kita tidak tahu bila kita akan turut menerima masalah yang sama. 




Wednesday, 13 August 2014

Bagaimana belajar Bahasa Inggeris

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Dua hari lepas, sewaktu dalam perjalanan pulang dari ambil anak sekolah, anak saya yang nombor 3 bertanya pada saya, "Mak dulu masa mengajar memang mengajar dalam bahasa Inggeris kan?".

"Ya, kenapa?" balas saya.

"Kawan Wadah kata nak belajar bahasa Inggeris dengan mak. Bayar pun dia sanggup.", kata anak saya.

"Macam mana dia tau?" saya tanya balik.

"Wadah la cakap sebab dia tanya macam mana Wadah boleh pandai bahasa Inggeris" balasnya.

Alhamdulillah, kalau nak kata saya ni pandai sangat bahasa Inggeris pun tidak la juga. Tetapi boleh la bertutur dan berkomunikasi menggunakan bahasa yang agak penting juga kegunaannya di Malaysia ni. Malah ramai juga anak saudara saya yang bertanyakan bagaimana saya boleh menguasai bahasa Inggeris ini.

Mengikut pengalaman saya, untuk kita menguasai sesuatu bahasa, tidak kira lah bahasa Inggeris atau bahasa apa pun, yang penting adalah:

1)  Minat - minat untuk belajar atau memahami. Jika kita merasakan bahasa itu susah dan membosankan, maka agak sukar lah bagi kita untuk memahami. Tetapi, jika kita rasa minat untuk tahu dan faham, sedaya upaya kita akan cuba mempelajarinya.

2) Berlatih - sama ada bercakap atau menulis. Seorang diri atau bersama kawan-kawan. Apa yang saya selalu buat masa sekolah dulu, saya ambil satu buku bahasa Inggeris dan saya cuba baca kuat-kuat. Untuk melatih pertuturan dan juga sebutan. Bertutur secara lisan dan bertutur di dalam minda memang lain. Sebab dalam minda bunyinya pasti akan betul sentiasa. Tetapi bila disebut secara lisan, mungkin ada kesilapannya.

3) Mendengar - biasakan diri menonton cerita bahasa Inggeris atau bahasa yang ingin dipelajari. Apabila menonton, jangan asyik terpesona dengan pelakonnya tetapi amati cara sebutannya. :brow Lagi bagus kalau kita tidak melihat sarikata yang selalu ada di bawahnya dan cuba fahami dengan sendiri apa yang diperkatakan. Memang pada mulanya kita mungkin tidak akan faham, tetapi lama-kelamaan ia akan jadi biasa. Begitu juga dengan lagu atau berita. Dengar lagu atau berita bahasa Inggeris. Dan cuba amati liriknya. Sekarang nak dapatkan lirik lagu bukan susah. Cuma google sahaja kita dah dapat. Tetapi sebelum tu dengar dulu dan cuba teka apa yang diperkatakan terlebih dahulu. Kemudian barulah rujuk lirik yang kita cari.

4)  Membaca - yang ini memang tidak boleh lari. Biasakan membaca buku bahasa Inggeris. Mungkin boleh pilih novel yang mudah terlebih dahulu. Kalau dulu buku cerita Inggeris yang terkenal tentulah dari penulis Enids Blyton. Bahasanya mudah difahami dan ceritanya pun seronok dibaca. Bila dah mula faham boleh lah mula membaca novel lain pula. Tidak apa kalau tidak faham sesetengah perkataan yang digunakan. Macam tadi, cuba teka dahulu maknanya. Kemudian barulah rujuk kamus dan tengok betul ke tidak apa yang kita teka. Boleh jadi satu mainan dengan diri sendiri lah pulak. Untuk menjadikan pembelajaran lebih seronok. Tak gitu?

5)  Berguru - ini pilihan yang terakhir selain dari guru di sekolah. Semestinya kita boleh aje belajar dengan guru sekolah. Kalau tak faham, jangan malu bertanya. Mungkin boleh minta tips dari cikgu juga. Saya rasa cikgu pasti suka kalau anak-anak muridnya banyak bertanya, walaupun yang di luar silibus. <3

Itulah antara cara yang boleh kita lakukan untuk diri sendiri dan kawan-kawan. Dan ini lah juga yang saya amalkan dari darjah satu sampai sekarang. Yang paling penting sekali adalah "Usaha itu tangga kejayaan" dan "Practice Makes Perfect". :tup

Sunday, 10 August 2014

Mudah itu Indah





Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
    Gambar: carian google


Kita pernah dengar "Jika kita permudahkan urusan orang, in sya Allah urusan kita juga akan dipermudahkan".

Kita juga tahu "Islam itu mudah".

Hidup kita ini pun bukan lama sangat di dunia ni. Maka, kalau boleh, permudahkan lah segala perkara yang boleh dipermudahkan.

Semasa menjadi pensyarah dahulu pun, kalau boleh penerangan untuk pelajar saya cuba permudahkan supaya mereka senang faham. Tidak perlu penerangan panjang lebar dan berbelit-belit jika hanya ingin menunjukkan yang kita pandai. Yang akhirnya pelajar tidak dapat memahami sepatah haram pun. :f Dan sesungguhnya, mencuba untuk memudahkan penerangan bukan lah perkara yang mudah. Kerana kita perlu tahu yang mana yang patut dimasukkan di dalam penerangan dan yang mana yang tidak perlu. 

Begitu juga kehidupan sebagai suri rumah. Kalau semua kerja kita boleh dipermudahkan, alangkah seronoknya. Kalau kita boleh menyiapkan hidangan dalam masa 30 minit, kenapa memilih untuk menyiapkannya dalam masa 2 jam. 

Ramai yang menganggap mudah itu remeh. Sebab itu, mereka lebih suka merumitkan perkara supaya nampak lebih hebat dan lebih banyak kerja. Proses yang boleh disiapkan dengan melakukan A dan B, tetapi diminta untuk melakukan A, B, C, D, dan E. Semua ini pun saya sudah rasai semasa bekerja dahulu. Setiap kali habis mesyuarat, satu kerja akan ditambah kepada kerja yang sedia ada. Jadi dari A,B,C,D,E ditambah pula F. Walhal seperti yang dikatakan tadi, ia boleh saja menggunakan A dan B sahaja. 

Kesimpulannya, jika boleh dipermudahkan, tak perlulah dirumitkan. Untuk apa jua perkara kecuali yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Hukum Allah tetap perlu dilakukan seperti yang telah ditetapkan. Tak boleh dipermudahkan. Tetapi, jika diperhatikan betul-betul, Allah tidak pernah merumitkan hidup hambaNya. Betul tak? Wallahuallam. ^_^




Friday, 8 August 2014

Tujuh (7) Prinsip Kejayaan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Sedikit perkongsian hasil bacaan mengenai tujuh prinsip untuk berjaya. :D

Untuk berjaya bukan mudah….selain daripada perancangan, kita perlu ada prinsip-prinsip tersendiri yang boleh digunapakai apabila menemui jalan buntu. Antara contoh prinsip yang boleh dijadikan ikutan adalah:
1.   Percaya kepada diri sendiri – iaitu percaya bahawa kita adalah makhluk atau insan yang unik, berbeza dari orang lain. Keunikan kita itulah yang menjadi kekuatan bagi kita untuk meneruskan kehidupan dan mencapai matlamat sehingga berjaya. Jika rasa ada kelemahan, mungkin kelemahan itu juga boleh menjadi sesuatu yang berguna kepada kita satu masa nanti. Kita tidak tahu apa yang akan berlaku di masa hadapan, oleh itu setiap kelemahan kita pandanglah ia sebagai sesuatu yang positif.

2.  Bekerja bersungguh-sungguh – setiap pekerjaan yang kita lakukan, lakukan yang terbaik dan bersungguh-sungguh. Berdisiplin dan boleh dipercayai.

3.       Berani mengambil risiko – mesti berani mencuba sesuatu yang baru. Be out of the box. Jika tidak mencuba, kita tidak akan tahu sama ada kita boleh berjaya atau tidak. Lebih baik salah kerana mencuba daripada salah kerana berdiam diri tanpa membuat apa-apa.

4.       Sentiasa berfikiran terbuka – terbuka kepada perubahan dan perkara-perkara yang baru. Ikutlah arus semasa.

5.       Ketahui kekangan anda – jangan takut mengatakan “tidak” kepada perkara yang memang kita tahu kita tak akan dapat lakukannya. Jangan cuba memuaskan hati semua orang kerana kita tidak akan dapat melakukannya. Di dalam setiap apa yang kita lakukan, pasti akan ada penyokong dan juga penentang. Maka kita harus sedari semua itu.

6.       Layan orang lain dengan hormat dan baik – sememangnya apa-apa agama pun pasti akan menyarankan perkara sebegini. Berbuat baiklah kepada semua orang tidak mengira pangkat, darjat dan apa-apa pun. Setiap orang ingin dihormati dan dilayan dengan baik, tiada orang yang suka dilayan sambil lewa. Sebagaimana kita ingin diperlakukan, lakukanlah kepada orang lain juga.

7. Jangan berhenti berimpian – setiap dari kita pasti ada impian. Jangan cepat menyerah kalah sekiranya impian kita itu nampaknya perlahan untuk direalisasikan. Mungkin ia memerlukan lebih masa dan usaha. Maka jangan sekali-sekali menyerah kalah dengan mudah.


Thursday, 7 August 2014

Rezeki hasil berblog

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Alhamdulillah, syukur. Hari ni rasa teruja sedikit bila dapat surat dan dibuka, nampak sekeping cek atas nama sendiri. Jumlahnya tidak lah banyak. Sikit aje. Tetapi tetap teruja sebab rezeki ni datang hasil dari berblog sekian lama.

Memang pernah dengar orang boleh dapat duit dari blog. Dan pernah tengok pun orang tunjuk hasil yang mereka dapat. Mereka dapat banyak pula tu. Sebab blog mereka ramai pengunjung dan popular. Blog saya dulu jarang orang lawat. Dan blog saya juga bukan blog bisnes. Menulis atas dasar minat. Tetapi entah macam mana kiraannya, masih juga dapat sedikit habuan. Itu lah rezeki namanya. 

Dari mana saya dapat rezeki tu? Dari Nuffnang. Hasil meletakkan iklan Nuffnang di blog. Nak tunjuk bukti cek tu dah termasuk dalam bank la pulak. Maklumlah teruja sangat. Dan saya yakin juga, dengan tunjuk ajar yang diperolehi daripada ABDR ini, tidak mustahil saya akan mendapat rezeki dari cabang yang lain pula. Bukan setakat Nuffnang. In sya Allah. Saya teringin sekali menjana pendapatan hasil dari penulisan saya. Bagaimana melakukannya? Kena belajar lagi lah ni. Yang penting, tetapkan matlamat dan terus berusaha walau sekecil mana sekalipun. Mudah-mudahan. 


Monday, 4 August 2014

Bertunang



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
    Gambar: carian Google


Dua hari yang lepas, saya mengikuti rombongan kakak saya pergi meminang untuk dua orang anak lelaki nya. 

Pengalaman pertama menjadi di antara wakil peminangan. Apa yang diperhatikan, adat istiadat masih dijaga walaupun tidak seketat dahulu. Sesi berpantun sudah tiada. Mungkin kerana kita pun dah tak berapa pandai nak berpantun secara spontan. Perbincangan pun sebenarnya telah dibuat antara ke dua-dua pasangan, ibu bapa atau wakil di majlis pertunangan hanyalah sebagai acara rasmi sahaja. 

Wang hantaran juga sudah meningkat. Kalau dulu RM3,000.00 tu boleh dikatakan agak tinggi,tapi sekarang tidak lagi. Itu sangat murah. Paling koman RM10,000.00. Belum masuk kalau langkah bendul. Mungkin itu harga taraf hidup kita sekarang. 

Jika sekarang RM10,000.00, 5 tahun akan datang berapa pula ya? Sebagai ibu kepada 5 orang anak lelaki, agak risau juga saya bila memikirkannya. Harus dipesan kepada para anak-anak lelaki, simpan duit dari kecil. Supaya bila dah besar dan nak kahwin, tidak menyusahkan ibu bapa dan tidak pula perlu buat pinjaman dan seumpamanya. Anak sulung saya dah pun berumur 17 tahun, dah habis SPM dah pun. Dah tak lama dah tu. Pejam celik pejam celik, sekejap aje masa berlalu sekarang ni.

Sebagai ibu bapa, kami juga perlu bersiap sedia menimba ilmu dari segi bagaimana untuk merisik, kemudian meminang dan seterusnya melaksanakan majlis pernikahan. Dah nak naik level dah ni hehehe. Jangan tiba-tiba jadi macam ni sudah;

Buah keranji dalam perahu,
Minta maaf kami tak tahu.

Parahhh...

Friday, 1 August 2014

Raya Ke5, Entri Akhir Tugasan, Boikot Israel

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Dah pun raya yang ke 5. Memang pantas masa berlalu. Entri ini pun dah masuk yang ke 44. Tugasan yang terakhir. Tapi, lepas ni semestinya entri tidak berhenti di sini saja. 

Terasa seperti raya kali ni ramai orang cuti lebih lama berbanding raya sebelum ni. Sebab raya ke 4 semalam, masih tiada satu pun kedai yang buka di Bandar Baru Bangi ni. Yang ada hanya satu kedai runcit sahaja yang buka. Itupun sebab tokei nya memang orang Teras Jernang. Kalau dulu raya ke 3 dah banyak dah kedai yang buka. Seronok agaknya raya tahun ni kan?

Di dalam mood raya ni, sempat juga menjengah status-status di facebook. Dan terlihat senarai barangan yang patut diboikot kerana menyokong Israel. Memang banyak juga ya barangannya. Tetapi agak keliru juga sebab setakat ni dah lebih dari 3 senarai yang saya lihat. Ada yang pendek, ada yang panjang. Yang mana satu yang betul? Walaubagaimanapun, setelah melihat ke semua senarai tersebut, menanam azam untuk memboikot ke semuanya, in sya Allah. Lagipun setakat ni yang kami selalu guna atau makan/minum pun bukan banyak pun. Jenama besar seperti KitKat, Nestle, Johnson&Johnson, Danone dan Disney. Itu sahajalah yang tinggal untuk kami boikot pun. McD memang dah lama tak makan. 

Rasanya mungkin tidaklah susah sangat nak memboikot semua jenama tu. Sebab barangan Malaysia pun bukan tak ada langsung. Sekarang kalau nak minum kopi, memang dah tak beli Nescafe dah. Kopi Agromas ada. Kena usaha la sedikit cari barangan Malaysia ni. Kalau pasaraya besar-besar memang masih banyak lagi jenama yang disebut dalam senarai boikot tu. Kalau di Bandar Baru Bangi ni, produk-produk Malaysia boleh kita tengok di kedai Az Zain. Banyak juga pilihannya. Alhamdulillah. Nak makan burger, beli je daging burger buatan Malaysia, lepas tu buat la sendiri. Sihat pun lebih sihat kot. Wallahuallam. Mudah-mudahan usaha kami, usaha kita rakyat Malaysia dapat dipermudahkan. Amiin.