Saturday, 12 July 2014

Nostalgia Raya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masuk je hujung minggu ni dah ramai yang bertanya pasal balik cuti raya. Berapa haribulan balik, berapa lama cuti, balik mana tahun ni dan macam-macam lagi lah.

Bagi saya, macam biasa kali ni balik ke Melaka lagi. Sebab ayah ada di Melaka. Ibu sudah tak ada. Suami pun begitu juga, kedua-dua ibu dan bapa dah tak ada. Jadi, ikut saya balik Melaka jumpa ayahlah. Yang seronoknya kami berdua tak perlu pening fikir nak minta cuti berapa lama. Sebab suami pun kerja sendiri, saya lagilah. Bila-bila pun boleh balik kalau nak. Lagi satu, tak payah fikir tentang nak menghadap jem. Itu antara kelebihannya lah. 

Cuma yang kurang seronok adalah dari segi kemeriahan raya tu nanti. Sebab saudara mara masih ramai di kampung, Kota Bharu (saya) dan Kemaman (suami). Adat ziarah menziarahi tidak dapat kami lakukan seperti mana yang kami lakukan sewaktu ibu masih ada. Memang kalau balik kampung Kota Bharu, raya pertama kami akan berada di rumah sahaja untuk menyambut tetamu saudara mara datang ke rumah. Hari raya ke dua kami pula yang akan berziarah ke rumah saudara-mara serata Kota Bharu.  

Dan malam raya merupakan malam yang paling meriah. Menyiapkan hidangan untuk raya esoknya. Keluarga saya agak besar. 7 beradik semuanya walaupun 2 sudah meninggal. Tetapi bila yang 5 keluarga balik berkumpul, memang riuh. Anak-anak pun suka bermain bersama-sama mereka. Memang bising lah rumah mak dan ayah. Yang kami perempuan sibuk menyiapkan hidangan, yang pasangan pulak masing-masing bercerita sesama mereka. Mungkin suasana sebegini akan kami tempuhi bila anak-anak kami besar dan berkeluarga pula. 

Teringat pula suatu ketika dahulu di zaman melihat anak bulan. Tiba malam melihat anak bulan, semua pasti terpacak depan television untuk mendengar pengumuman. Dan juadah untuk esok pun terhenti pembikinannya seketika. Kalau boleh dilihat dalam TV, seolah-olah gambar dibekukan seketika. Apabila mendapat pengumuman, jika esoknya raya, terus disambut dengan bunyi mercun. Dan semua dah boleh diteruskan. Sepertinya gambar yang beku tadi sudah bergerak kembali. Kini semua tu tak ada lagi. Sebab tarikh hari raya telah pun ditetapkan dari awal tahun lagi. 

Sungguh nostalgia hari raya di zaman dahulu. Kalau nak diceritakan memang sangat panjang. Belum masuk bab baju raya, kuih raya dan seumpamanya lagi. Semua itu menjadi kenangan manis yang tak mungkin dapat dilupakan. Semoga zuriat kita akan datang akan dapat merasakan kembali kemeriahan hari raya seperti mana yang pernah kita rasai. 

No comments:

Post a Comment