Thursday, 10 July 2014

Khidmat Pelanggan (Satu Kemusykilan)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Semua orang tahu yang 9/10 rezeki itu datangnya dari perniagaan. Dan 1/10 adalah dari kerja makan gaji. Untuk mendapat 9 daripada 10 itu, sudah tentulah banyak ujian yang kita perlu tempuhi. 

Sewaktu mula berkecimpung dalam bidang perniagaan iaitu menerusi bisnes MLM, saya rasa ilmu perniagaan saya memang sangat cetek. Banyak kesalahan yang telah saya lakukan. Yang paling saya perasan adalah dari segi "customer service" atau perkhidmatan pelanggan. Sememangnya dalam apa jua perniagaan, khidmat pelanggan inilah yang paling penting selain daripada pemasaran. 

Rata-rata di Malaysia ni, khidmat pelanggan masih banyak yang perlu diperbaiki. Kalau nak bercerita mengenai khidmat pelanggan, satu entri memang tidak mencukupi. Apa yang ingin saya kongsi di sini hanyalah pengalaman saya menerima khidmat pelanggan dari dua bangsa yang berbeza. Jom perhatikan.

Kes 1:
Printer di pejabat suami saya rosak. Kami menelefon syarikat A untuk membaikinya kerana kami selalu membeli dakwat printer tersebut dari syarikat ini. Wakil dari syarikat A datang dan membawa balik printer untuk dibaiki. Printer gantian diberi kerana mungkin proses pembaikan mengambil masa lebih 2 minggu. Setelah selesai dibaiki, mereka datang menghantar dan mengambil balik printer gantian. Selang 2 minggu, printer tersebut beri masalah lagi. Sekali lagi wakil dari syarikat A datang untuk lihat, cek dan cuba baiki. Di dapati ada masalah dengan dakwat pula. Beliau membawa pulang dakwat tersebut untuk dibaiki. Bila siap, beliau datang balik untuk hantar (secara peribadi, bukan melalui pos).  Jarak syarikat A dengan pejabat suami agak jauh. Kami di Kajang, beliau di Cheras. Laluan dari pejabat beliau ke pejabat suami sering "jem". Tetapi mereka sanggup berulang-alik demi menjaga pelangggan mereka. Walhal, untuk yang kali ke 2, tiada bayaran pun yang dikenakan kerana masih dalam tempoh jaminan. 

Kes 2:
Kami memesan barang pada satu syarikat. Barang tersebut kami perlukan pada petang hari Rabu. Kami diminta pergi mengambil sendiri barang tersebut dari syarikat beliau. Kebetulan waktu itu kami mempunyai kekangan dari segi masa untuk pergi mengambil barang tersebut. Kami cadangkan supaya wakil syarikat tersebut datang berjumpa kami di pertengahan jalan antara syarikat beliau dengan tempat kami. Tetapi malangnya mereka tidak dapat melakukannya dengan alasan tempat yang kami cadangkan itu selalu jem. Jarak antara syarikat tersebut dengan tempat kami tak sampai pun 10 km. Masih di negeri yang sama. Kami di Bangi, syarikat itu pun di Bangi juga.

Dari cerita di atas, bolehkah anda teka apa bangsa pemilik syarikat dalam Kes 1 dan apa bangsa pemilik syarikat dalam Kes 2?
Apakah alasan kepada jawapan anda?
Apa pula yang boleh dipelajari?


No comments:

Post a Comment