Wednesday, 16 July 2014

4 perkara untuk bahagia



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: Carian google




Ramai orang bila ditanya apa yang mereka mahu dalam hidup, antara jawapannya adalah untuk hidup bahagia. Istilah "bahagia" seperti mana juga "cantik" mempunyai definisi yang luas dan berbeza-beza, bergantung kepada individu yang merasainya. 

Ada orang merasakan yang dia akan bahagia kalau ada banyak material seperti duit, rumah besar, kereta besar dan sebagainya. Ada pula yang rasa bahagia apabila dapat mencapai apa yang diinginkan. Walau apa pun definisinya, kita boleh sahaja merasa bahagia dengan meninggalkan 4 perkara yang berikut:

1)  Perasaan ingin puaskan hati semua orang atau ingin semua orang kagum dengan kita
-  Tidak dapat ditolak, memang jauh di sudut hati kita, pasti kita ingin sekali orang suka dengan kita, orang kagum dengan kita. Dan kalau boleh, kita ingin puaskan hati semua orang supaya tiada orang yang akan membenci kita. Betul tak? Ini lumrah perasaan setiap manusia. 

Yang tidak patut kita lakukan adalah menghabiskan segala masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk memastikan orang suka kan kita. Mengorbankan perasaan kita sendiri. Malah mungkin akan mengorbankan perasaan orang yang kita sayang. Dan kadang-kadang, menjadi orang lain yang jauh berbeza dengan peribadi kita.

Jadilah diri sendiri. Itu lebih jujur dan ikhlas. Dan memang kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Dan tidak semua orang akan suka dengan kita, walau macam mana pun kita buat. Itu juga lumrah kehidupan manusia. Yang penting, buat yang terbaik dan mengikut landasan agama. 

2)  Keinginan untuk menjadi sentiasa betul/benar.
-   Kalau mengikut fikiran kita, kita ini sentiasa benar. Sebab itu adalah cara kita berfikir. Walau pun mungkin orang lain merasakan apa yang kita buat itu salah, kita tetap merasakan kita betul. 

Ini memang patut kita hindarkan. Kerana tidak ada orang yang sempurna. Yang 100% betul sentiasa. Tidak ada. Ini mungkin lebih berkait dengan ego semata-mata. Seperti kisah gadis brutal dengan pakcik yang melanggar keretanya. Mungkin bagi dia, dia adalah betul. Tetapi ramai yang tidak bersetuju. Yang memberi komen juga mungkin merasakan mereka betul. Jika ini keadaannya, lebih baik kita berdiam diri sahaja. 

Seperti kata-kata "Whether you think you can or you can't, you are right!"

3)  Keinginan untuk bergossip
-  Yang ini memang sangat digemari. Kalau boleh semua benda kita nak ambil tahu supaya kita dapat bercerita dengan kawan-kawan nanti. Bergossip itu perkataan yang lebih sedap didengar berbanding dengan perkataan mengumpat. Tetapi sebenarnya konsepnya tetap sama. Dan kita sudah tahu, mengumpat orang memang tidak disukai oleh Allah. 

Ada orang yang berkata, "Saya rasa bahagia kalau bergossip". Sesungguhnya bahagia itu sekejap sahaja. Di waktu itu sahaja. Selepas itu, tak ada apa-apa dah. Jadi, setiap kali keinginan untuk ikut serta dalam bergossip, bayangkan jika kita pula digossipkan seperti itu. Apa perasaan kita? Ini boleh berkait dengan perkara nombor 2. Mungkin kita rasa apa yang kita buat itu betul, tetapi ada orang yang tidak bersetuju dan mereka gossipkan kita. Bagaimana? Suka?

4)  Tinggalkan masa silam 
-  Bukan terus tinggalkan. Sebab masa silam itu memang sejarah dan kenangan kita. Tetapi jika ada perkara yang tidak menyenangkan yang berlaku di masa silam yang menyebabkan kemajuan diri kita terbantut, lebih baik kita lupakan sahaja. Ambil iktibar sahaja dari kejadian itu dan kemudian teruskan dengan kehidupan kita sambil memegang azam untuk tidak lagi melakukan perkara yang sama. Sebabnya, perkara itu sudah berlaku. Bagaimana kita fikirkan tentangnya pun, perkara itu sudah berlaku. Dan kita tidak akan dapat mengubahnya pun. Yang boleh diubah adalah perkara di masa hadapan. Jadi, teruskan sahaja.

Memang banyak lagi perkara yang boleh membuatkan seseorang itu gembira dan bahagia. Tetapi "Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang lain". Semuanya bermula dari diri sendiri. Barulah kita dapat sebarkan kebahagiaan itu kepada orang sekeliling. Wallahuallam.

No comments:

Post a Comment