Wednesday, 30 July 2014

Raya Yang Ketiga

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sudah pun masuk raya yang ke-3. Sekejap aja kan? Seronok tengok gambar kawan-kawan beraya. Saya hanya sempat beraya di Melaka sahaja sekejap pada hari raya pertama. Lepas tu duduk rumah senyap-senyap sebab kereta rosak huhuhu. 

Pelbagai ujian sepanjang Ramadhan dan Syawal ni. Sakit mata hari tu. Satu keluarga kena. Alhamdulillah, lepas 3 hari ia kebah. Hari raya pertama, kereta rosak. Nasib baik sempat sampai ke destinasi. Rosak di Melaka. Sekarang ada di bengkel dekat Melaka. Bila siap? Katanya hari ni dia mula baiki sebab bengkel dia baru buka hari ni. Tu pun syukur dia sanggup pergi ambil kereta untuk simpan di bengkelnya pada raya pertama tu. Dia kata bila siap nanti dia telefon. Ke Melaka pula lah kami lepas ni hehe.

Tadi, mesin basuh pula rosak. Harapnya masalah ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Mungkin ada hikmahnya mesin tu rosak sekarang. Nak dapat yang baru agaknya. In sya Allah.

Begitulah hidup kita ini kan. Sentiasa ada suka, duka, pahit, manis dan macam-macam lagi. Jika kita berjaya hadapinya, alangkah seronok rasanya kan? Seperti kita main "games" lah. Dengan pelbagai tugasan yang diberikan untuk kita selesaikan, ada yang susah, ada yang mudah. Bila dapat selesaikan yang susah, rasa seronok tidak terhingga. Kawan saya pernah beritahu saya "Kau tak kerja, boleh la main game je". Padahal masa saya kerja dulu saya rasa saya lebih banyak masa untuk main games berbanding dengan sekarang. Sekarang saya hanya main selepas segala kerja rumah dan kerja-kerja WAHM selesai. Itu pun sekejap sahaja. Dan saya main games untuk memberi motivasi dan mendapatkan perasaan ada pencapaian. Itu dapat dirasai bila saya dapat melepasi sesuatu level atau bila tugasan dapat diselesaikan. Dan perasaan itu, momentumnya saya bawa untuk selesaikan tugasan lain di rumah pula. Bak kata orang, cuba cari cara untuk motivasikan diri sendiri. Anda bagaimana pula?

Monday, 21 July 2014

Efek Rama-Rama



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian Google



Fenomena ini bukan perkara baru. Saya rasa ramai yang pernah mendengarnya. Berlaku apabila seorang saintis mendapati hasil gerakan sayap rama-rama memberi kesan kepada molekul-molekul udara di sekelilingnya dan boleh pergi lebih jauh lagi. 

Pakar motivasi mengambil analogi ini untuk menunjukkan bahawa setiap perbuatan kita pada hari ini akan memberi kesan pada masa hadapan. Dan maksud masa hadapan ini tidak semestinya 10, 20 tahun lagi. Ia boleh sahaja bermaksud 10, 20 minit ke hadapan. 

Ia juga tidak menjurus kepada satu perbuatan tertentu sahaja. Tetapi setiap perbuatan kita yang kita lakukan hari ini akan memberi kesan kepada masa hadapan. Mungkin kepada kita sendiri atau kepada generasi kita akan datang. 

Dengan itu, setiap perbuatan kita adalah bermakna. Tidak ada yang remeh temeh. Waima kalau kita duduk tidak buat apa-apa pun ianya tetap akan memberi kesan kepada masa hadapan kita. Bagaimana kesannya? Hanya Allah sahaja yang tahu. Mungkin positif, mungkin negatif.

Menyedari hakikat ini, ketahuilah, kejadian kita di muka bumi ini memang tidak sia-sia. Kita mempunyai peranan, sama ada kecil atau besar. Tetap ada peranannya. Begitu lah kasih sayang Allah kepada hambaNya. Dijadikan kita, setiap kita mempunyai peranan. 

Isu boikot barangan Israel dan barangan yang menyokong Israel, ada yang menyatakan itu tidak akan memberi kesan apa-apa jika hanya segelintir yang melakukannya. Tetapi percaya lah, tetap akan ada kesannya juga. Wallahuallam.

Saturday, 19 July 2014

Kifarah di Bulan Puasa

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Astaghfirullahil'aziim. Sekarang satu keluarga sedang diuji. Kifarah di bulan puasa. Mendapat sakit mata. Sakit mata yang berjangkit. Gatal dan merah. Baru tadi pergi klinik. 7 orang semuanya diperiksa doktor. Alhamdulillah, 3 orang masih kebal. Semoga tetap kebal dan tidak berjangkit. Kalau tidak, harus ada yang tidak dapat beraya nanti.

Dapat merasakan kelainan sedikit sekarang. Kalau dahulu, di zaman muda, darah cepat panas, bila diuji dengan sakit pasti akan komplen. Komplen satu hal, asyik baran aje. Tak boleh silap sikit, rasa nak melenting. Tapi, itu dulu. Masa tu ilmu pun cetek lagi. 

Sekarang, baru tahu apa maksudnya bersabar dengan kesakitan. Tidak mudah melenting, tidak mudah putus asa. Sentiasa mencari pelbagai cara untuk mengubati. Selain ubat doktor, urutan refleksi juga dilakukan. Agak berkesan urutan refleksi itu untuk anak yang nombor 7. Selepas sahur hari tu dia tidak dapat tidur kerana katanya matanya sakit sangat. Menangis-nangis. Gelabah jugak rasanya. Masa tu manalah ada klinik yang buka kan? Dipujuk-pujuk, tidak menjadi. Akhir sekali, rujuk buku urut refleksi dan jumpa titik mana yang perlu dipicit. Selepas memicit-micit titik yang disarankan, alhamdulillah, anak terus tertidur. 

Begitu lah kan. Bila ingat balik zaman dahulu punya cerita, terasa teruk pula perangai saya. Ye lah, tak tahan ujian. Wal hal dah tahu, ujian yang diberi Allah adalah untuk memberikan kita sesuatu. Sama ada pengajaran atau peluang untuk menghapuskan dosa-dosa kecil. Juga peluang untuk muhasabah diri. Apa salah yang telah dilakukan. Semoga saya dapat mengajarkannya untuk anak-anak saya pula. In sya Allah.

Wednesday, 16 July 2014

4 perkara untuk bahagia



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: Carian google




Ramai orang bila ditanya apa yang mereka mahu dalam hidup, antara jawapannya adalah untuk hidup bahagia. Istilah "bahagia" seperti mana juga "cantik" mempunyai definisi yang luas dan berbeza-beza, bergantung kepada individu yang merasainya. 

Ada orang merasakan yang dia akan bahagia kalau ada banyak material seperti duit, rumah besar, kereta besar dan sebagainya. Ada pula yang rasa bahagia apabila dapat mencapai apa yang diinginkan. Walau apa pun definisinya, kita boleh sahaja merasa bahagia dengan meninggalkan 4 perkara yang berikut:

1)  Perasaan ingin puaskan hati semua orang atau ingin semua orang kagum dengan kita
-  Tidak dapat ditolak, memang jauh di sudut hati kita, pasti kita ingin sekali orang suka dengan kita, orang kagum dengan kita. Dan kalau boleh, kita ingin puaskan hati semua orang supaya tiada orang yang akan membenci kita. Betul tak? Ini lumrah perasaan setiap manusia. 

Yang tidak patut kita lakukan adalah menghabiskan segala masa, tenaga dan wang ringgit semata-mata untuk memastikan orang suka kan kita. Mengorbankan perasaan kita sendiri. Malah mungkin akan mengorbankan perasaan orang yang kita sayang. Dan kadang-kadang, menjadi orang lain yang jauh berbeza dengan peribadi kita.

Jadilah diri sendiri. Itu lebih jujur dan ikhlas. Dan memang kita tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Dan tidak semua orang akan suka dengan kita, walau macam mana pun kita buat. Itu juga lumrah kehidupan manusia. Yang penting, buat yang terbaik dan mengikut landasan agama. 

2)  Keinginan untuk menjadi sentiasa betul/benar.
-   Kalau mengikut fikiran kita, kita ini sentiasa benar. Sebab itu adalah cara kita berfikir. Walau pun mungkin orang lain merasakan apa yang kita buat itu salah, kita tetap merasakan kita betul. 

Ini memang patut kita hindarkan. Kerana tidak ada orang yang sempurna. Yang 100% betul sentiasa. Tidak ada. Ini mungkin lebih berkait dengan ego semata-mata. Seperti kisah gadis brutal dengan pakcik yang melanggar keretanya. Mungkin bagi dia, dia adalah betul. Tetapi ramai yang tidak bersetuju. Yang memberi komen juga mungkin merasakan mereka betul. Jika ini keadaannya, lebih baik kita berdiam diri sahaja. 

Seperti kata-kata "Whether you think you can or you can't, you are right!"

3)  Keinginan untuk bergossip
-  Yang ini memang sangat digemari. Kalau boleh semua benda kita nak ambil tahu supaya kita dapat bercerita dengan kawan-kawan nanti. Bergossip itu perkataan yang lebih sedap didengar berbanding dengan perkataan mengumpat. Tetapi sebenarnya konsepnya tetap sama. Dan kita sudah tahu, mengumpat orang memang tidak disukai oleh Allah. 

Ada orang yang berkata, "Saya rasa bahagia kalau bergossip". Sesungguhnya bahagia itu sekejap sahaja. Di waktu itu sahaja. Selepas itu, tak ada apa-apa dah. Jadi, setiap kali keinginan untuk ikut serta dalam bergossip, bayangkan jika kita pula digossipkan seperti itu. Apa perasaan kita? Ini boleh berkait dengan perkara nombor 2. Mungkin kita rasa apa yang kita buat itu betul, tetapi ada orang yang tidak bersetuju dan mereka gossipkan kita. Bagaimana? Suka?

4)  Tinggalkan masa silam 
-  Bukan terus tinggalkan. Sebab masa silam itu memang sejarah dan kenangan kita. Tetapi jika ada perkara yang tidak menyenangkan yang berlaku di masa silam yang menyebabkan kemajuan diri kita terbantut, lebih baik kita lupakan sahaja. Ambil iktibar sahaja dari kejadian itu dan kemudian teruskan dengan kehidupan kita sambil memegang azam untuk tidak lagi melakukan perkara yang sama. Sebabnya, perkara itu sudah berlaku. Bagaimana kita fikirkan tentangnya pun, perkara itu sudah berlaku. Dan kita tidak akan dapat mengubahnya pun. Yang boleh diubah adalah perkara di masa hadapan. Jadi, teruskan sahaja.

Memang banyak lagi perkara yang boleh membuatkan seseorang itu gembira dan bahagia. Tetapi "Hanya orang yang bahagia dapat membahagiakan orang lain". Semuanya bermula dari diri sendiri. Barulah kita dapat sebarkan kebahagiaan itu kepada orang sekeliling. Wallahuallam.

Saturday, 12 July 2014

Nostalgia Raya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Masuk je hujung minggu ni dah ramai yang bertanya pasal balik cuti raya. Berapa haribulan balik, berapa lama cuti, balik mana tahun ni dan macam-macam lagi lah.

Bagi saya, macam biasa kali ni balik ke Melaka lagi. Sebab ayah ada di Melaka. Ibu sudah tak ada. Suami pun begitu juga, kedua-dua ibu dan bapa dah tak ada. Jadi, ikut saya balik Melaka jumpa ayahlah. Yang seronoknya kami berdua tak perlu pening fikir nak minta cuti berapa lama. Sebab suami pun kerja sendiri, saya lagilah. Bila-bila pun boleh balik kalau nak. Lagi satu, tak payah fikir tentang nak menghadap jem. Itu antara kelebihannya lah. 

Cuma yang kurang seronok adalah dari segi kemeriahan raya tu nanti. Sebab saudara mara masih ramai di kampung, Kota Bharu (saya) dan Kemaman (suami). Adat ziarah menziarahi tidak dapat kami lakukan seperti mana yang kami lakukan sewaktu ibu masih ada. Memang kalau balik kampung Kota Bharu, raya pertama kami akan berada di rumah sahaja untuk menyambut tetamu saudara mara datang ke rumah. Hari raya ke dua kami pula yang akan berziarah ke rumah saudara-mara serata Kota Bharu.  

Dan malam raya merupakan malam yang paling meriah. Menyiapkan hidangan untuk raya esoknya. Keluarga saya agak besar. 7 beradik semuanya walaupun 2 sudah meninggal. Tetapi bila yang 5 keluarga balik berkumpul, memang riuh. Anak-anak pun suka bermain bersama-sama mereka. Memang bising lah rumah mak dan ayah. Yang kami perempuan sibuk menyiapkan hidangan, yang pasangan pulak masing-masing bercerita sesama mereka. Mungkin suasana sebegini akan kami tempuhi bila anak-anak kami besar dan berkeluarga pula. 

Teringat pula suatu ketika dahulu di zaman melihat anak bulan. Tiba malam melihat anak bulan, semua pasti terpacak depan television untuk mendengar pengumuman. Dan juadah untuk esok pun terhenti pembikinannya seketika. Kalau boleh dilihat dalam TV, seolah-olah gambar dibekukan seketika. Apabila mendapat pengumuman, jika esoknya raya, terus disambut dengan bunyi mercun. Dan semua dah boleh diteruskan. Sepertinya gambar yang beku tadi sudah bergerak kembali. Kini semua tu tak ada lagi. Sebab tarikh hari raya telah pun ditetapkan dari awal tahun lagi. 

Sungguh nostalgia hari raya di zaman dahulu. Kalau nak diceritakan memang sangat panjang. Belum masuk bab baju raya, kuih raya dan seumpamanya lagi. Semua itu menjadi kenangan manis yang tak mungkin dapat dilupakan. Semoga zuriat kita akan datang akan dapat merasakan kembali kemeriahan hari raya seperti mana yang pernah kita rasai. 

Thursday, 10 July 2014

Khidmat Pelanggan (Satu Kemusykilan)

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Semua orang tahu yang 9/10 rezeki itu datangnya dari perniagaan. Dan 1/10 adalah dari kerja makan gaji. Untuk mendapat 9 daripada 10 itu, sudah tentulah banyak ujian yang kita perlu tempuhi. 

Sewaktu mula berkecimpung dalam bidang perniagaan iaitu menerusi bisnes MLM, saya rasa ilmu perniagaan saya memang sangat cetek. Banyak kesalahan yang telah saya lakukan. Yang paling saya perasan adalah dari segi "customer service" atau perkhidmatan pelanggan. Sememangnya dalam apa jua perniagaan, khidmat pelanggan inilah yang paling penting selain daripada pemasaran. 

Rata-rata di Malaysia ni, khidmat pelanggan masih banyak yang perlu diperbaiki. Kalau nak bercerita mengenai khidmat pelanggan, satu entri memang tidak mencukupi. Apa yang ingin saya kongsi di sini hanyalah pengalaman saya menerima khidmat pelanggan dari dua bangsa yang berbeza. Jom perhatikan.

Kes 1:
Printer di pejabat suami saya rosak. Kami menelefon syarikat A untuk membaikinya kerana kami selalu membeli dakwat printer tersebut dari syarikat ini. Wakil dari syarikat A datang dan membawa balik printer untuk dibaiki. Printer gantian diberi kerana mungkin proses pembaikan mengambil masa lebih 2 minggu. Setelah selesai dibaiki, mereka datang menghantar dan mengambil balik printer gantian. Selang 2 minggu, printer tersebut beri masalah lagi. Sekali lagi wakil dari syarikat A datang untuk lihat, cek dan cuba baiki. Di dapati ada masalah dengan dakwat pula. Beliau membawa pulang dakwat tersebut untuk dibaiki. Bila siap, beliau datang balik untuk hantar (secara peribadi, bukan melalui pos).  Jarak syarikat A dengan pejabat suami agak jauh. Kami di Kajang, beliau di Cheras. Laluan dari pejabat beliau ke pejabat suami sering "jem". Tetapi mereka sanggup berulang-alik demi menjaga pelangggan mereka. Walhal, untuk yang kali ke 2, tiada bayaran pun yang dikenakan kerana masih dalam tempoh jaminan. 

Kes 2:
Kami memesan barang pada satu syarikat. Barang tersebut kami perlukan pada petang hari Rabu. Kami diminta pergi mengambil sendiri barang tersebut dari syarikat beliau. Kebetulan waktu itu kami mempunyai kekangan dari segi masa untuk pergi mengambil barang tersebut. Kami cadangkan supaya wakil syarikat tersebut datang berjumpa kami di pertengahan jalan antara syarikat beliau dengan tempat kami. Tetapi malangnya mereka tidak dapat melakukannya dengan alasan tempat yang kami cadangkan itu selalu jem. Jarak antara syarikat tersebut dengan tempat kami tak sampai pun 10 km. Masih di negeri yang sama. Kami di Bangi, syarikat itu pun di Bangi juga.

Dari cerita di atas, bolehkah anda teka apa bangsa pemilik syarikat dalam Kes 1 dan apa bangsa pemilik syarikat dalam Kes 2?
Apakah alasan kepada jawapan anda?
Apa pula yang boleh dipelajari?


Tuesday, 8 July 2014

Berpasang-pasang



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Hidup ini sentiasa berpasangan. Ada malam, ada siang. Ada pasang, ada surut. Ada sejuk, ada panas. Setiap sesuatu pasti ada pasangannya kan? 

Begitu juga dengan kehidupan seharian kita. Tidak dapat lari dari pasangan. Ada bahagia, ada derita. Ada positif, ada negatif. Kita tidak akan selalunya bahagia sepanjang masa. Pasti akan terselit derita. 

Setiap apa yang berlaku pada diri kita, ia datang dengan pasangannya. Jika ia positif, pasti ada negatifnya. Begitu juga sebaliknya. Dalam ujian, ada pengajaran. Jika kita terasa perit dengan ujian, sebenarnya bersama ujian itu ada hikmahnya. Sebab itu orang selalu kata, jika bertemu dengan perkara negatif, cari positifnya. Pasti akan ada. 

Ramai kita yang terlalu tenggelam dengan perkara yang negatif sehinggakan terlupa untuk melihat pasangannya, iaitu yang positif di sebaliknya. Allah juga sudah menyatakan "Setiap kesusahan pasti akan ada kesenangan". Di ulang dua kali. Ambillah iktibar. Muhasabah. Dan belajar.

Sunday, 6 July 2014

Momentum Bermula

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Terasa seperti lama tidak datang ke sini. Sangka saya bila tiba Ramadhan, saya akan ada lebih masa sedikit. Lebih masa untuk melakukan banyak perkara yang mungkin tidak dapat saya lakukan di bulan lain. Namun, perancangan Allah untuk saya adalah berlainan. 

Saya memang amat bersyukur, sejak masuk bulan Ramadhan, alhamdulillah, memang rezeki semakin bertambah. Boleh dikatakan hampir setiap hari saya perlu memenuhi keperluan pelanggan yang membuat pesanan. Pesanan minuman kesihatan yang pernah saya tulis di blog ni dulu, serta pesanan untuk bisnes frozen yang dijalankan oleh suami dan rakan-rakannya. Sehingga menyebabkan peluang untuk saya mencatat sepatah dua kata di sini menjadi terbatas. 

Saya bersyukur juga diperkenalkan dengan Akademi Bekerja Di Rumah ni. Kerana bagi saya melaluinya lah saya mempelajari serba sedikit teknik marketing. Walaupun apa yang saya buat tidak sehebat mereka yang sudah lama di bidang marketing atau rakan-rakan lain di ABDR, tetapi ilmu yang saya serap dari rakan-rakan ABDR dan cikgu-cikgunya melalui blog dan post-post mereka di facebook, membuatkan saya merasa lebih yakin untuk membuat promosi saya sendiri. Serta amalan-amalan yang disarankan oleh mereka juga saya praktikkan serba sedikit sedaya mampu. Ini semua boleh menjadi asbab kepada rezeki yang saya perolehi juga, wallahuallam. Sekarang fahamlah saya apa maksud Work At Home Mom (WHAM) dan apa yang diperlukan oleh seorang WHAM untuk memastikan ada keseimbangan untuk bisnes dan rumah tangga.

Mudah-mudahan momentum ini akan berterusan sehingga ke bulan-bulan seterusnya. Bagi mereka yang ingin sekali bekerja di rumah, pakej-pakej kelas di Akademi Bekerja Di Rumah ini memang amat bermanfaat di samping ebook yang disediakan untuk bacaan dan panduan. 

Thursday, 3 July 2014

Kisah FACEMAKER



Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian Google




Sedang menyaksikan cerita Jepun ni. Suka tengok konsep yang dipaparkan. Mengisahkan seorang pakar bedah plastik yang menukarkan keseluruhan rupa seseorang. Bukan setakat bedah plastik untuk tegangkan muka ke atau baiki sikit-sikit tetapi terus tukar muka. Dalam klinik dia ada satu koleksi muka orang seperti katalog. Untuk dipilih oleh mereka yang ingin menukar muka mereka. Bayaran dia adalah: muka orang yang ingin lakukan pembedahan tersebut. Itu saja. Tak payah bayar pakai duit.

Dia ada 13 episod. Setiap episod memaparkan cerita berbeza. Seperti himpunan cerpen dalam satu buku. Saya baru tengok 6 episod. Memang untuk setiap episod yang saya saksikan, kisahnya berbeza. Ada wanita yang ingin menukar rupa, ada juga lelaki. Ada pengakhiran yang baik, ada yang buruk, ada yang tragis. Tetapi dalam setiap episod, orang yang wajahnya ditukar pasti akan berjumpa dengan orang lain yang menggunakan wajah lamanya. Bayangkan lah, tiba-tiba kita lihat orang yang mempunyai muka yang pernah kita punya, dalam situasi yang menyebabkan kita akan merasa serba salah pula tu. 

Sebenarnya, di dalam cerita ini, banyak terselit pengajaran yang diberitahu di hujung setiap cerita. Seolahnya, doktor yang dipanggil "FaceMaker" itu seperti seorang pakar motivasi lah. Memang seronok dapat menjadi seseorang yang ingin kita jadi, kan? Setiap mereka yang menukar wajah di dalam cerita ni tidak berpuas hati dengan wajah mereka yang dikatakan tidak menarik. Ada juga yang menukar wajah kerana ingin lari dari masalah. Masalah kewangan, masalah rumah tangga dan bermacam lagi. Kan seronok kalau dengan menukar wajah sahaja semua masalah dapat dihilangkan.

Dari segi logik, memang tidak ada logiknya cerita ni. Tapi apa yang penting adalah mesej yang ingin disampaikan. Walau macamana kita cuba lari dari masalah, jika ianya sudah tertulis untuk kita, masalah itu tetap akan kembali kepada kita. Mungkin dalam bentuk yang lain pula. Tetapi lari dari masalah bukanlah penyelesaiannya. Dan setiap orang pasti akan ada masalah. Jangan mengharapkan orang lain selesaikan masalah anda. Selesaikanlah ia sendiri. Mungkin orang lain boleh memberi bantuan, tetapi menyerahkan kepada orang lain secara total adalah tidak patut. Apa pun, cerita ini boleh dijadikan teladan kepada sesiapa yang menontonnya. 


Tuesday, 1 July 2014

Rezeki 3 Ramadhan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Sungguh memenatkan hari ini. Lepas sahur terus bergegas menghantar anak sekolah. Kemudian bersiap untuk ke IKBN Kuala Langat bagi mendaftar anak yang sulung masuk belajar. Dia mendapat jurusan yang diminati beliau. Mudah-mudahan dia akan sukses dengan cemerlang nanti.

Urusan pendaftaran, taklimat ibu bapa, daftar masuk asrama semua tu berakhir pada waktu tengahari. Semasa ingin meninggalkan dia, terasa semacam la pula. Maklum saja, ini kali pertama anak masuk asrama. Sebelum ni mana pernah berenggang. Maksud saya dia tidak pernah tidak tidur di rumah. Terasa jugak risau sewaktu ingin meninggalkannya. Saya rasa semua ibu juga merasa demikian. Betul tak? Tetapi digagahkan juga, ditabahkan hati melangkah pergi dari asrama tersebut.

Bersambung pula dengan menghantar stock seafood frozen ke Puncak Alam. Dan kemudian ke PJ untuk menghantar suami pergi mesyuarat. Saya diminta memandu kereta balik ke rumah. Suami akan balik dengan menumpang kawannya yang ikut serta bermesyuarat nanti. Sampai sahaja di rumah, bergegas pula membeli lauk untuk di masak. Tetapi disebabkan waktu dah petang, lauk mentah tinggal sedikit sahaja. Terpaksa saya meminta anak saya membeli satu lagi lauk tambah di bazar Ramadhan dekat rumah. Yang selebihnya nanti saya masak. Dengan simplenya.Hehe.

Sedang memasak, tiba-tiba saya didatangi tamu. Tetamu datang untuk menghulurkan 10 bungkus nasi lemak daun pisang yang beliau buat sendiri. Rupanya beliau sudah terlebih dahulu mengambil daun pisang dari rumah kami semasa kami tiada di rumah tadi. Dia memang ada minta untuk ambil daun pisang tu dari suami saya. Pokok pisang kami tu memang agak subur, alhamdulillah. Setiap kali naik pokok mesti 3,4 pokok yang naik sekaligus. Bila ditebang, dia naik yang baru. Dari ia mereput begitu sahaja, baik juga orang ambil daun pisang tu, dapat juga beliau manfaatkan. 

Tak lama selepas itu, jiran hadapan pula datang memberikan kuih. Malu juga saya sebab tidak dapat membalasnya. Maklum aja, nak masak pun yang simple aja. Apatah lagi nak buat kuih. Tak sempat. In sya Allah satu hari nanti akan saya balas juga.

Dari tidak banyak lauk untuk dimakan tika iftar, tiba-tiba menjadi sangat banyak makanan sehingga kami pasti kami tidak akan dapat menghabiskannya. Simpan untuk sahur pula. Inilah yang dikatakan jika Allah ingin kurniakan rezeki, sekelip mata sahaja kita boleh dapat. Saya rasa sangat terharu dan bersyukur. Rezeki anak-anak murah hari ini. Mungkin juga kerana kita memberi terlebih dahulu. Sudah dijanjikan juga, sedikit kita beri, banyak yang Allah ganti. Subhanallah. Jadi sentiasalah cuba untuk menjadi "tangan yang di atas", betul tak?

Jurnal Kesyukuran

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Banyak perkara yang boleh disyukuri hari ini. Antaranya adalah:

Alhamdulillah, sudah masuk hari ke 2 puasa. Sedikit kelam-kabut tetapi boleh dihadapi. Esok pasti lagi kelam-kabut. Esok anak sulung saya akan mendaftarkan diri ke IKBN Kuala Langat. Mengambil masa lebih kurang 51 minit dari rumah. Dan urusan pendaftaran pasti sehingga tengahari baru selesai. Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan.

Alhamdulillah juga perniagaan kecil-kecilan saya semakin menampakkan hasil. Walaupun mungkin untungnya tidaklah sebanyak waktu saya mengadakan bisnes MLM dulu, tetapi tetap berpuas hati. Bisnes air kesihatan, bisnes dropship dari akademi ABDR dan bisnes dari garaj iaitu hasil laut sejukbeku. Sekarang, ketiga-tiga cabang ini sudah memberikan sedikit keuntungan. Mudah-mudahan semuanya akan lebih maju. 

Alhamdulillah, anak-anak saya masih boleh bertahan puasa penuh, kecuali yang kecil 2 orang ( 3 tahun dan 6 tahun). Mudah-mudahan semuanya akan dapat bertahan sehingga ke penghujung Ramadhan.

Semua ini sepatutnya saya catitkan di dalam jurnal "gratitude" saya. Mengikut kata pakar motivasi dari luar negara, seeloknya setiap hari sama ada di permulaan hari atau sebelum masuk tidur, tuliskan atau senaraikan perkara yang membuatkan kita merasa amat bersyukur pada hari tersebut. Jika dibuat di pagi hari, kita senaraikan untuk perkara yang berlaku pada hari sebelumnya. Ini adalah kerana, semakin kita bersyukur, semakin akan ditambah apa sahaja kebaikan yang kita alami. Ini juga yang dijanjikan oleh Allah. Jadi, memandangkan ianya selari dengan ajaran agama, memang elok perkara ini kita amalkan. Mudah-mudahan segala kebaikan yang kita perolehi akan bertambah setiap kali, dengan izin Allah. Amiiin.