Friday, 13 June 2014

Sewa Kereta dan Peluang Kerja

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

In sya Allah, jika tiada apa aral malam ini kami satu keluarga akan bertolak balik kampung. Tujuannya untuk menjemput 2 orang anak saya yang balik kampung bersama-sama dengan keluarga saudara saya yang datang rumah hari tu. 

Memandangkan keluarga kami ni besar, kami mencari kereta MPV untuk disewa selama sehari. Malangnya, semua agensi kereta sewa yang berada di Bangi dan sekitarnya menyatakan semua MPV sudah habis disewakan. Wah, musim cuti sekolah macam ni perniagaan sewa kereta memang menguntungkan, kan? Begitu juga bila tiba musim raya. 

Teringat pulak suatu ketika dahulu adik dan abang ipar saya ada membuat khidmat sewa kereta ni di kawasan kampung di Kemaman. Pada mulanya agak sangsi jugak sama ada ada pasaran atau tidak sebab itu kawasan kampung. Dan kereta yang ada pun sebiji sahaja. Tetapi memang tidak disangka-sangka, permintaannya agak tinggi. Sehingga ada masa nya penyewa bersilih ganti. Seorang hantar dah ada yang beratur untuk menyewa. Lama-kelamaan adik ipar saya tidak boleh bertahan kerana tidak sempat nak memastikan kereta di dalam keadaan yang baik sewaktu disewakan. Akhirnya kereta tersebut menjadi rosak teruk dan memakan belanja yang besar untuk dibaiki. 

Begitulah kan? Di Malaysia ni memang banyak cabang bisnes yang boleh kita lakukan. Tinggal nak dengan tak nak sahaja. Jadi kalau ada yang tiba-tiba datang rumah meminta-minta (bukan minta derma tetapi minta sedekah) sedangkan badan sihat, anggota sempurna, kita terasa semacam juga untuk memberi. Kalau tak beri pun serba salah juga. Tetapi selalunya kalau ini yang berlaku, pasti saya akan rasa cuak untuk memberi dengan banyak (alah...banyak pun tak de la sampai ribu riban hehe.)

Untuk itu, sebelum kita kata "Tak ada kerja", "Susah nak dapat kerja", "Nak berniaga pun susah" lihat balik diri kita. Kita cacatkah? Kita tak boleh berfikirkah? Kalau tidak, jangan komplen. Fikir dan usaha. In sya Allah, Allah akan membantu sesiapa yang berusaha ke arah kebaikan. Hanya yakin sahaja. Wallahuallam.

No comments:

Post a Comment