Thursday, 19 June 2014

Sebuah Tingkap




Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Dua orang lelaki, kedua-duanya sakit yang sudah tenat, berada di dalam sebuah wad yang sama. Seorang darinya dibenarkan duduk selama sejam untuk mengeluarkan cairan dari paru-parunya dan katilnya adalah bersebelahan dengan satu-satunya tingkap yang ada di dalam wad tersebut. Yang seorang lagi memang hanya terlantar di katilnya.

Mereka berdua menghabiskan masa di wad dengan bercerita mengenai diri masing-masing. Pelbagai cerita yang mereka kongsi. Dan setiap petang, apabila lelaki yang katilnya di sebelah tingkap itu dibenarkan bangun untuk prosidur yang perlu dilakukan, lelaki itu akan bercerita kepada lelaki seorang lagi tentang apa yang dapat dilihatnya di luar tingkap tersebut. 

Lelaki yang terlantar itu sentiasa ternanti-nanti waktu petang yang sejam itu. Setiap hari dia akan dibawa bersama-sama dengan lelaki yang bercerita itu membayangkan betapa indahnya suasana di luar sana. Katanya, wad yang mereka duduki itu adalah bersebelahan dengan satu tasik. Satu petang dia mengatakan dia melihat satu pasangan yang berjalan-jalan berpegangan tangan di tepi tasik tersebut. Di petang yang lain, dia menceritakan yang sekawan angsa berterbangan dan bermain-main di dalam tasik tersebut. Cuaca petang sewaktu dia bercerita itu sentiasa indah dan nyaman. Kanak-kanak pula bermain bot mainan di tasik tersebut. Pelbagai pemandangan yang indah diceritakan dan sewaktu dia bercerita, lelaki yang seorang lagi itu akan menutup matanya dan membayangkan suasana yang diceritakan. Sungguh nyaman dan menggembirakan.

Pada satu ketika, lelaki itu ada mengatakan yang satu perarakan sedang berlaku. Walaupun lelaki terlantar itu tidak dapat mendengar apa-apa pun tetapi dia tetap dapat membayangkan betapa meriahnya perarakan tersebut. Semakin dia mendengar cerita lelaki itu, semakin dia merasa gembira. Namun, di sebalik kegembiraanya itu, terselit pula satu perasaan cemburu. Dia merasa tidak adil baginya kerana dia tidak dapat melihat semua yang diceritakan itu. Sedikit demi sedikit perasaan itu semakin menebal. 

Pada suatu malam, lelaki yang bercerita itu tiba-tiba mendapat batuk yang sangat teruk. Dia terbatuk tanpa henti.Terkial-kial dia cuba menekan butang untuk memanggil misi. Lelaki yang disebelahnya itu hanya melihat sahaja. Tidak terlintas di hatinya untuk menekan butang di katilnya. Akhirnya, lelaki di katil sebelahnya itu berhenti dari batuk dan suasana menjadi senyap. Senyap dan sunyi. 

Esoknya, apabila misi datang membawa air mandian kedua-duanya, di dapati lelaki tadi sudah pun tidak bernyawa lagi. Dengan perasaan sedih, misi tadi meminta rakan-rakannya membawa mayat lelaki itu pergi. 

Dengan tiadanya lelaki tadi di tepi tingkap itu, lelaki yang terlantar itu meminta dengan misi untuk dipindahkan ke tepi tingkap tersebut. Misi bersetuju dan membantu lelaki tersebut berpindah ke situ. Dengan rasa terujanya, lelaki tadi cuba mengangkat kepalanya untuk melihat ke luar tingkap tadi. Apa yang dilihatnya adalah --- hanya satu dinding yang kosong.

Pengajarannya:
Orang yang positif dapat melihat keindahan dan dapat mencipta kegembiraan. Dan keindahan dan kegembiraan itu dapat dijangkitkan kepada orang lain juga. 
Orang negatif tidak akan pernah berpuas hati dengan apa yang dia ada. 


No comments:

Post a Comment