Sunday, 8 June 2014

Saya Sayang Diri Saya

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Cuba bayangkan, jika kehidupan anda menjadi tontonan orang ramai setiap masa 24/7, apakah yang akan anda lakukan? Adakah anda akan berkelakuan seperti sekarang atau adakah ianya akan menjadi berlainan?

Ini adalah soalan yang ditanyakan oleh seorang pakar motivasi dari luar negara kepada pembaca newsletternya. Saya cuba untuk menjawab soalan itu sejujurnya. Saya rasa mungkin saya akan menjaga perwatakan saya untuk beberapa ketika tetapi lama-kelamaan tidak lagi.

Sebenarnya, ini adalah satu persoalan mengenai "Pentingkah pandangan orang lain terhadap diri anda?". Adakah anda selalu sahaja memikirkan apa orang akan kata setiap kali anda melakukan sesuatu yang di luar kebiasaan anda. Ya, saya selalu berfikiran begitu. Suatu ketika dahulu. Dan sekarang pun sekali sekala ia akan datang juga. Terutama sekali jika apa yang saya lakukan itu memang menyimpang jauh dari kebiasaan yang saya buat. Sedikit sebanyak pasti ada sekelumit perasaan "apa kawan aku akan kata".

Ini juga berkaitan dengan penerimaan kita terhadap diri kita sendiri. Sama juga dengan mencuba untuk menjawab soalan "Jika anda lihat diri anda di cermin, apakah yang anda fikirkan?" Dan kita juga sering mengatakan "Terima lah diri sendiri seadanya". Sebenarnya konsep ini tidak patut dipertimbangkan. Kerana kita tidak mahu terima sahaja, tetapi kita mahu untuk menyayangi. Jadi slogan "Sayangi diri anda" itu adalah lebih tepat. Dan jika kita menyayangi diri kita sendiri, kita akan merasa yakin pada diri dan tidak akan risau apa orang nak kata. Namun begitu, jangan pula buat perkara membuta tuli dan yang dilarang oleh agama. Yang ingin saya tekankan di sini adalah apabila kita ingin membuat perubahan kepada sesuatu yang lebih baik, selagi ianya tidak bercanggah dengan ajaran agama, janganlah terlalu risaukan pandangan orang lain. Yakinlah pada diri sendiri, berusaha, bertawakkal dan jangan cepat mengalah. Kita pasti boleh melakukannya!

No comments:

Post a Comment