Tuesday, 10 June 2014

Perspektif Mu Tidak Sama Dengan Ku

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google



Macam best jer cerita ni kan? Saya belum tonton lagi. Teringin juga nak menonton terutama sekali sebab ada Angelina Jolie. Bila tengok trailer, memang macam menarik. Mudah-mudahan dapat peluang menyaksikannnya nanti. 

Kita dibesarkan dengan kisah dongeng "Sleeping Beauty" atau dalam bahasa Melayu nya "Puteri Beradu" di mana seorang puteri telah disumpah oleh seorang ahli sihir yang jahat dan hanya ciuman cinta yang dapat melepaskan sumpahan tersebut. Apa yang kita sering baca atau lihat adalah dari perspektif puteri tersebut. Kita tidak pernah tahu apa cerita di sebalik watak-watak yang lain.

Kali ini cerita ini membawa kita kepada perspektif yang berbeza iaitu perspektif antagonis. Menyelami cerita di sebalik kejahatan Maleficent, kenapa sampai beliau sanggup menyihir puteri raja tersebut. 

Inilah apa yang ingin saya ketengahkan iaitu melihat sesuatu dari pelbagai sudut. Sebagaimana dahulu Hang Jebat dikatakan sebagai seorang yang "jahat" kerana menderhaka kepada Sultan tetapi setelah dikupas oleh seseorang melihat dari perspektif Hang Jebat itu sendiri, kita sudah tidak melihatnya sebagai jahat tetapi sebagai seorang sahabat yang setia. 

Ini sepatutnya yang sering kita lakukan apabila berhadapan dengan konflik atau masalah. Cuba lihatnya dari pelbagai perspektif. Jika kita berselisih faham, cuba fahami apa yang dialami oleh pihak yang sebelah lagi. Kita sudah tahu yang tidak ada orang yang sempurna. Maka, setiap orang pasti ada baiknya. Jangan hanya suka melihat yang buruk sahaja. 

Kalau mengikut ilmu Neuro Linguistic Programming (NLP), kita harus lihat dari 3 sudut iaitu perspektif kita, perspektif pihak sebelah dan perspektif orang ketiga. 

Jadi, setiap kali kita menghadapi konflik, janganlah cepat melatah tetapi duduk sejenak dan berfikir. Memang pada mulanya ia akan mengambil masa tetapi jika kita selalu melakukannya, ia akan menjadi semakin mudah dan lama-kelamaan menjadi tabiat. Marilah kita sama-sama berusaha ke arah itu. 


No comments:

Post a Comment