Sunday, 15 June 2014

Mengapa Taska Tidak Lagi Menjadi Pilihan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah


Alhamdulillah, sekarang keluarga saya dah lengkap dah. Dua orang anak yang balik kampung hari tu dah pun balik ke rumah kembali. Esok dah nak mula sekolah balik. Dan rutin ibu nya ni akan kembali bertambah kecoh untuk menghantar dan mengambil mereka dari sekolah. Malamnya kena pastikan baju sekolah sedia ada untuk esoknya hehehe. Walaupun nampak macam kecoh je, tapi sekurang-kurangnya tidak sekecoh semasa terpaksa menghantar mereka ke taska dahulu. 

Sewaktu saya masih bekerja dahulu, memang saya ada pembantu rumah. Dan syukur, pembantu rumah tersebut bekerja dengan saya selama 5 tahun, lebih dari kontrak yang diberikan. Namun, apabila saya baru melahirkan anak ke 6, kontrak beliau sudah tidak boleh disambung lagi. Maka, terpaksalah beliau balik. Waktu itu, susah nak dapatkan pembantu rumah yang baru. Jadi, terpaksalah hantar anak-anak ke taska. Alhamdulillah, transit di tempat anak sulung dan nombor 2 duduk untuk mereka transit dari sekolah rendah ke sekolah agama turut menyediakan khidmat menjaga budak-budak. Jadi semua anak saya diletakkan di sana. Memang malam sebelumnya akan jadi kecoh. Mesin baju untuk pastikan baju sekolah ada untuk lusa, terus jemur baju dalam rumah sebab tak nak baju basah jika hujan besoknya. Kemas baju 4 orang anak yang nak ke taska. Gosok baju untuk saya ke tempat kerja. Setiap hari begitulah kecuali hari minggu. 

Situasi ini mungkin akan berlarutan lama jika tidak terjadi suatu peristiwa kepada anak no 6 saya (waktu tu dia masih bongsu, baru 6 bulan). Peristiwa tu berlaku ketika saya tengah mengajar. Di dalam kelas semestinya saya tidak membawa telefon bimbit. Jadi bila taska dan suami telefon, saya tidak tahu. Tiba-tiba saya nampak suami saya menjengok kelas tempat saya mengajar. Terkejut besar saya. Pergi jumpa dia, dia beritahu anak bongsu saya baru balik klinik, pengasuh taska telefon. Rupanya dia pengsan tidak sedarkan diri, tak boleh bernafas, muka dah jadi biru. Pengasuh hantar ke klinik, doktor buat macamana akhirnya dapat bernafas dan sedar dari pengsan. Tetapi doktor minta dia dihantar ke Hospital Serdang untuk pemeriksaan lanjut. Kerana dia didapati tidak bernafas selama beberapa minit, doktor takut dia ada masalah dengan otaknya.

Tak terkata saya masa dapat berita tersebut. Terus beritahu anak murid yang saya emergency terpaksa balik, mereka diminta buat kerja sendiri. Saya beritahu supervisor dan terus pergi ke taska untuk ambil anak saya dan bawa dia ke Hospital Serdang, bahagian kecemasan. Agak terkilan juga semasa di Hospital Serdang, sebab walaupun kecemasan tetapi servisnya tetap lambat. Menunggu sekian lama untuk anak diperiksa, walaupun anak saya tu dah sedar dan boleh bergurau, tetapi tetap rasa risau. 

Setelah sekian lama menunggu, barulah dapat peluang berjumpa doktor. Bila doktor mendengar penjelasan tentang keadaan anak saya, dia membuat pemeriksaan lanjutan dan seterusnya mengatakan yang dia harus dimasukkan ke dalam wad untuk pemerhatian selama sehari. Jika semua vitals ok, esok boleh keluar. Ini adalah kerana jika oksigen tidak masuk ke otak untuk sekian lama, walaupun beberapa minit, mungkin boleh berlaku komplikasi. Jadi perlu pemerhatian. Nak luruh jantung rasanya masa tu.

Maka, saya pun tinggal di wad dengan anak malam tu. Yang lain-lain semua ayah dia yang jaga. Dan esok memang minta emergency leave walaupun bos tak suka. Ya lah, kelas saya nanti dia kena cari pengganti. Tapi nak buat macamana, memang emergency. 

Esoknya, setelah diperiksa semuanya, alhamdulillah anak saya dikatakan tiada apa-apa masalah. Semua OK dan kami boleh pulang. Lega rasanya. Tetapi sejak dari itu, terus bertungkus-lumus mencari pembantu rumah dan akhirnya dapat. Selepas ini, saya bertekad, walau apa jadi saya tidak akan hantar anak-anak ke taska lagi. Walaupun memang mungkin bukan salah penjaga taska yang menjaga anak saya masa tu, cuma perkara tu boleh berlaku bila-bila. Punca anak saya pengsan tak boleh bernafas tu adalah sebab terlekat makanan. Mungkin makanan yang disuap terlampau besar atau terlampau banyak. Itu yang menyebabkan saya rasa cuak sedikit. Penjaga tu dah pun minta maaf sangat-sangat. Tapi ya lah kan, sekali terjadi, saya rasa serik. 

Itulah juga antara sebab mengapa apabila pembantu rumah yang kedua ni berhenti, saya tidak lagi menghantar anak ke taska. Saya tekad jaga sendiri. Berhenti kerja dan duduk rumah jaga anak. Lagipun sekarang 3 orang anak saya dah pun besar, boleh juga jaga adik-adik mereka yang lebih kecil. Dan memang sampai bila-bila selagi kudrat ada, saya tidak akan benarkan juga anak-anak saya menghantar anak-anak mereka ke taska, in sya Allah.


No comments:

Post a Comment