Sunday, 1 June 2014

Lakukan Perubahan

Teks: wanrohaniah wanabdullah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Kali ini saya ingin berkongsi satu cerita yang saya baru baca dari internet. Mungkin ada yang pernah membaca cerita ini tapi tetap ingin saya kongsikan. Cerita ini membuatkan saya rasa amat terharu dan terinspirasi :)

Kisah nya mengenai seorang guru bernama Puan Thompson yang mengajar di sebuah sekolah rendah. Dan pada hari pertama persekolahan, dia berdiri di hadapan anak-anak muridnya di gred 5 (saya letak Tahun 5 lah ya, untuk sinonimkan dengan keadaan kita di Malaysia) dan memberitahu satu perkara yang TIDAK BENAR iaitu dia sayangkan murid-muridnya sama rata, tiada beza. Namun begitu pada hakikatnya dia tidak dapat melakukan sedemikian kerana dia ada melihat seorang murid yang duduk di barisan hadapan dengan tidak bermaya dan tidak bersemangat, bernama Teddy.

Puan Thompson telah memerhatikan Teddy dari tahun lepas lagi dan perasan yang Teddy tidak bergaul dengan rakan sekelasnya, sentiasa tidak terurus dan seolah-olah tidak mandi. Ianya sampai ke satu tahap di mana Puan Thompson akan merasa puas hati jika dapat menanda kertas atau buku Teddy dengan meletakkan pangkah yang besar dan menulis "F" pada kertas ujian Teddy. 

Di sekolah tersebut, setiap guru perlu melihat dan menyemak rekod pelajar dari tahun-tahun lepas dan Puan Thompson meletakkan rekod Teddy di tempat yang paling bawah sekali untuk beliau teliti. Apabila kesemua rekod telah dilihat, hanya tinggal rekod Teddy sahaja yang perlu diteliti beliau. Dengan rasa berat hati, beliau membuka buku rekod Teddy dan merasa terkejut apabila melihat komen dari guru Tahun 1 Teddy. Guru tersebut menulis "Teddy adalah seorang murid yang periang dan pandai. Segala kerja yang diberikan dilakukan dengan cepat dan dia amat disenangi oleh rakan-rakan".

Guru tahun 2 Teddy pula menulis "Teddy adalah seorang murid yang bijak tetapi nampaknya dia sedikit terkesan dengan keadaan ibunya yang sakit tenat di rumah. Pasti keadaan di rumah juga kurang terurus"

Guru tahun 3 Teddy menulis "Kematian ibu Teddy memberikan impak yang besar kepadanya. Dia nampaknya seperti berusaha untuk melakukan sebaik mungkin tetapi ayahnya tidak memberikan perhatian kepadanya."

Guru tahun 4 Teddy menulis "Teddy tidak berkawan dengan rakan sekelasnya dan sentiasa tidur di dalam kelas"

Pada waktu ini Puan Thompson sudah sedar akan masalah Teddy dan beliau merasa malu dengan sikap beliau sendiri. Dia merasa lebih terkesan apabila pada hari guru, kesemua murid telah membawa hadiah yang dibalut dengan cantik dan hadiah yang mahal serta elok, sedangkan Teddy hanya membawa hadiah yang dibalut dengan kertas surat khabar dan balutannya hodoh. 

Puan Thompson membuka hadiah tersebut di hadapan kelas. Budak-budak lain ketawa bila melihat satu rantai tangan manik yang telah tercabut-cabut sedikit maniknya dan sebotol minyak wangi yang tinggal separuh. Puan Thompson memakai rantai tangan tersebut dan meletakkan sedikit minyak wangi itu pada pergelangan tangannya dan berkata "Cantik rantai ini dan minyak wangi ini memang wangi. Cikgu suka". Murid lain tersenyap. 

Selepas habis waktu persekolahan, Teddy telah pergi berjumpa Puan Thompson hanya untuk menyatakan "Puan, hari ni Puan berbau seperti arwah ibu saya" dan terus balik. Setelah Teddy balik Puan Thompson menangis teresak-esak selama sejam di bilik guru. Dan dari hari itu, dia bertekad dia tidak lagi akan mengajar matematik, pemahaman dan penulisan sebaliknya akan mengajar budak-budak.

Puan Thompson menumpukan lebih perhatian kepada Teddy dan hari demi hari perubahan pada Teddy dapat dilihat. Dia menjadi semakin bersemangat dan akhirnya menjadi pelajar terpandai di dalam kelasnya. 

Setahun selepas itu, Puan Thompson mendapat surat daripada Teddy yang mengatakan beliau adalah guru yang paling bagus yang pernah Teddy dapat. 6 tahun berlalu, Puan Thompson mendapat satu surat dari Teddy yang mengatakan bahawa dia sudah pun tamat sekolah menengah, mendapat tempat ke 3 dan Puan Thompson tetap guru Teddy yang paling bagus.  

4 tahun selepas itu, beliau mendapat surat dari Teddy mengatakan bahawa dia telah pun melanjutkan pelajaran ke Universiti dan akan grad tak lama lagi  dengan kepujian tertinggi ( Anugerah Dekan). Tidak dilupakan Puan Thompson adalah gurunya yang paling bagus.

4 tahun lagi telah berlalu. Nota dari Teddy menyatakan yang dia telah melanjutkan pelajaran ke level yang lebih tinggi dan Puan Thompson tetap gurunya yang paling bagus. Di hujung surat nama yang ditulis Teddy sudah bertukar menjadi Theodore Stoddard, MD.

Pada satu ketika, Teddy menghantar surat kepada Puan Thompson menyatakan dia telah bertemu dengan cinta hati beliau dan memandangkan bapanya sudah pun meninggal dunia, dia bertanya sudikah Puan Thompson menjadi wakil bagi pihak beliau di hari pernikahan beliau. Dengan rela hati Puan Thompson bersetuju.

Pada hari tersebut, Puan Thompson memakai rantai tangan dan minyak wangi yang Teddy beri. Teddy memeluk Puan Thompson dengan gembira dan berbisik "Terimakasih Puan. Kerana Puan percaya pada saya dan menunjukkan kepada saya yang saya seorang yang penting dan saya boleh membuat perubahan."
Dengan mata yang bergenangan, Puan Thompson menyatakan "Kamu salah Teddy. Kamulah sebenarnya yang telah mengajar saya dan menunjukkan kepada saya bahawa saya boleh membuat perubahan. Saya tidak tahu mengajar sehinggalah saya berjumpa dengan kamu"

Begitulah kisahnya. Sesungguhnya belajar itu memang seumur hidup dan kita boleh belajar dari sesiapa sahaja dan apa sahaja, tidak semestinya di kelas dan tidak semestinya dengan seorang guru.
Dan sesungguhnya kita juga dapat memberikan perubahan kepada orang lain sekiranya kita berkehendak. Alangkah seronoknya jika kita boleh menjadi pemangkin kepada perubahan seseorang, betul tak?


No comments:

Post a Comment