Monday, 16 June 2014

Kelemahan dan Kekuatan

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Anda ada kelemahan?
Bagaimana dengan kelebihan?
Orang positif kata, tukarkan kelemahan menjadi kelebihan. Boleh ke? Mari kita baca kisah ini.

Benjamin seorang pemuda yang kurang bernasib baik. Mengalami kemalangan yang telah menyebabkan tangan kirinya terpaksa dipotong. Meskipun hanya mempunyai sebelah tangan, beliau tetap ingin mempelajari sukan pertahankan diri, Judo.

Sensei judo setelah melihat keadaan Benjamin, telah mengajarnya satu teknik yang agak sukar. Benjamin berlatih tanpa jemu sehingga beliau mahir dengan teknik tersebut. Namun, dia hairan kenapa hanya teknik itu yang diajar oleh sensei nya. Beliau bertanya "Sensei, bilakah masa saya akan belajar teknik yang lain pula?". Sensei beliau menjawab "Mahirkan betul-betul teknik yang diajar ini. Kamu hanya perlu tahu teknik ini sahaja dan tidak perlukan teknik yang lain". Meskipun Benjamin tidak begitu memahami apa yang dimaksudkan oleh sensei beliau, beliau tetap berlatih sehingga beliau betul-betul mahir dan senseinya berpuas hati.

Tiba masa untuk praktikkan apa yang dipelajarinya. Salah satu cara untuk mempraktikkannya adalah melalui pertandingan. Benjamin mendaftar masuk Pertandingan Judo Antarabangsa yang diadakan di kawasan bandarnya. 

Pada perlawanan pertama, lawan Benjamin merupakan seorang pemuda yang hampir sebaya dengannya dan mempunyai susuk tubuh yang lebih kurang sama. Benjamin banyak bertahan daripada serangan yang diberi lawannya sehingga suatu ketika beliau menggunakan teknik yang beliau mahir tersebut. Lawannya terus tewas.

Begitulah perlawanan demi perlawanan, Benjamin bertahan dan apabila menggunakan tekniknya, beliau berjaya menumpaskan lawannya, sehinggalah beliau berjaya memasuki pusingan semi final. 

Lawan beliau di pusingan semi final ini agak besar orangnya dan lebih tinggi berbanding Benjamin. Serangan demi serangan diberikan oleh lawan beliau. Sehinggakan Benjamin merasa sedikit kepenatan menahan serangan-serangan tersebut. Senseinya terus menyuruh Benjamin menggunakan teknik yang satu itu dan Benjamin terus memenangi pusingan tersebut. Beliau berjaya ke pusingan final.

Di pusingan final, lawan beliau bukan calang-calang orang. Juara bertahan selama 5 tahun berturut-turut. Beliau berlawan sesungguh hati, hampir saja beliau mengalah kerana lawannya memang sangat hebat. Namun, setelah teknik itu beliau gunakan di saat kritikal, akhirnya mantan juara itu terpaksa mengaku kalah. Benjamin menjadi juara baru Pertandingan Judo Antarabangsa tersebut.

Di dalam perjalanan pulang, Benjamin tidak dapat tahan lagi. Beliau ingin sangat mengetahui bagaimana beliau dapat menewaskan kesemua lawan beliau dengan hanya satu teknik itu sahaja. Beliau bertanyakan sensei beliau. Jawapan sensei beliau adalah "Teknik yang kamu pelajari itu adalah satu-satunya teknik yang paling sukar di dalam judo. Dan teknik itu tugasnya adalah mengunci pergerakan pihak lawan. Untuk keluar dari kunci tersebut, pihak lawan harus menarik tangan kiri kamu"

Begitulah kisahnya. Bagi orang yang bijaksana, kelemahan seseorang boleh dijadikan kekuatan. Begitu juga kita, seandainya terasa diri punyai kelemahan, cuba fikirkan bagaimanakah ianya boleh ditukar menjadi kekuatan seterusnya membantu diri kita untuk mencapai kejayaan. Kita pasti BOLEH!

No comments:

Post a Comment