Friday, 20 June 2014

Bagi Anak, Kasih Sayang Ejaannya adalah M.A.S.A


Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah
Gambar: carian google


Di dalam bilik stor (loteng)

Kelihatan seorang lelaki tua sedang berjalan terbongkok-bongkok di atas loteng rumahnya yang telah dijadikan bilik stor menyimpan barang-barang lama. Isteri beliau telah lama meninggal dunia dan anak-anak beliau sudah pun berkeluarga. 

Di dalam bilik stor tersebut, dia membelek-belek barangan yang ada. Dia terlihat satu kotak yang dipenuhi dengan album dan buku. Dia menarik keluar satu album, melihat gambar isterinya dan juga anak-anaknya yang ketika itu masih lagi kecil. Dia ketawa seorang diri melihat gambar-gambar tersebut. Teringat dia dengan peristiwa yang berlaku di dalam setiap gambar itu. 

Dia membelek-belek lagi barangan di dalam kotak tersebut dan ternampak satu jurnal yang ditulis oleh anak sulungnya. Dia tidak tahu pula anaknya ada menulis jurnal. Dia lantas membuka jurnal tersebut dan membaca satu persatu apa yang ditulis anaknya. 

Membaca jurnal itu, dia merasakan pandangannya dan pandangan anaknya adalah berbeza sama sekali. Banyak juga peristiwa yang ditulis oleh anaknya tidak diingatinya. Mungkin kerana dia tidak ada bersama ketika itu. Ya, dulu dia seorang yang agak sibuk dengan kerjaya. Dia hanya sempat bersama dengan anaknya sekejap sekejap sahaja. Sebab itu lah dia tidak sempat melihat perkembangan tumbesaran anak-anaknya. Bila disedari, anak-anak sudah pun dewasa.

Dia teringat akan jurnalnya sendiri yang disimpan di dalam biliknya. Dengan perlahan-lahan dan berhati-hati takut terhantuk siling bilik stor yang rendah itu, dia keluar dari situ menuju ke biliknya. Diambil jurnalnya yang disimpan sekian lama. Sangat berbeza rupa jurnalnya berbanding jurnal anaknya. Jurnalnya berkulit tebal dan mempunyai tulisan yang berwarna keemasan. Manakala jurnal anaknya hanyalah seperti buku tulis sekolah.

Dia meletakkan jurnalnya dan jurnal anaknya itu sebelah menyebelah. Dia terlihat satu entri yang ditulis pada tarikh yang sama. Apa yang ditulis oleh nya adalah "Sungguh membuang masa. Satu hari bersama anak sulung pergi memancing. Tidak dapat apa-apa hasil". Dia melihat pula apa yang ditulis oleh anaknya "Pergi memancing bersama ayah. Hari yang paling menyeronokkan seumur hidupku". Dia menangis terisak-isak.

Kata orang, bagi budak-budak, kasih sayang itu ejaannya adalah M.A.S.A.

Sudah cukupkah masa kita bersama anak-anak kita? Berkualitikah masa yang kita luangkan bersama mereka? Waktu anak membesar hanya sekali. Jika terlepas, tidak dapat ditarik kembali. Renungkanlah.




No comments:

Post a Comment