Wednesday, 25 June 2014

AnggapanMu

Teks: Wan Rohaniah Wan Abdullah

Kita memang mudah membuat tanggapan terhadap orang lain, kan? Mengimbau kembali pengalaman semasa melakukan perniagaan MLM. Di awalannya, saya memang suka membuat tanggapan saya sendiri. Hanya dengan melihat luaran seseorang. 

Contoh: Saya melihat seorang ibu dengan dua orang anak kecil. Pada anggapan saya, jika saya pergi dan menawarkan produk untuk anak-anak tersebut, pasti ibu itu akan teruja. 

Satu lagi contoh: Saya melihat seorang wanita anggun di tempat kerjanya. Saya beranggapan pasti dia tidak memerlukan produk kecantikan yang ingin saya tawarkan.

Tetapi realitinya adalah berbeza. Apa yang saya anggapkan itu meleset sama sekali. Ibu tadi merasakan tidak perlu untuk beliau belikan produk kanak-kanak yang saya tawarkan kerana baginya ia tidak sesuai diberikan pada waktu mereka masih kecil. Dan ibu tersebut tidak ada masa untuk mendengar penjelasan saya mengenai produk tersebut.

Sebaliknya, wanita anggun tadi dengan senang hati mengatakan sudah lama beliau tercari-cari produk kecantikan yang memberikan faedah seperti yang saya terangkan dan bersetuju untuk membeli produk tersebut.

Dari pengalaman seumpama itu (yang saya tempuhi beberapa kali) memberi saya pengajaran bahawa "apa yang kita fikirkan tidak semestinya sama seperti yang difikirkan oleh orang lain". Kita merasakan sebegini dan menganggap orang lain juga akan berfikiran sama seperti kita. Itu tidak benar.

Kita juga suka untuk memikirkan yang kita ini sentiasa betul. Dan jika kita betul pun, kita mahu satu dunia tahu yang kita betul. Walhal, tidak semestinya kita ini selalunya betul. Boleh faham maksud saya? Macam berbelit la pula hehe.

Setiap orang berbeza. Setiap orang mempunyai cara pemikiran mereka sendiri. Kita tidak boleh samakan diri kita dengan orang lain. Walaupun adik beradik. Walaupun saudara mara. 

Saya mengambil persepsi sebegini apabila membaca kisah adik Firdaus yang menggemparkan Malaysia ketika ini. Memang sekali tengok, kita rasa perkara ini tidak patut berlaku. Apa yang menimpa adik Firdaus adalah satu perkara yang tak masuk akal. Saya memang sedih melihat video penemuan adik Firdaus. Mengalir air mata, tak dapat disekat. Saya juga merasa hangat bila mendengar kisah ibu adik Firdaus. Merasakan yang beliau tidak patut melakukan perkara sebegini rupa. Tetapi, "apa yang kita fikirkan tidak semestinya sama seperti yang difikirkan oleh orang lain". Saya tidak mahu menghukum. Hanya Allah sahaja yang tahu duduk perkara yang sebenar. 

Seeloknya kita mengambil iktibar dari kejadian ini. Sebagai seorang ibu, sayangilah anak-anak kita. Sebagai seorang ahli masyarakat, berikan sumbangan. Tidak semestinya kepada adik Firdaus, tetapi kepada kanak-kanak lain yang senasib dengannya. Jadi lebih prihatin. Jangan hanya memaki hamun semata-mata. Mari kita semua doakan agar kehidupan adik Firdaus akan menjadi lebih baik selepas ini. Begitu juga dengan kehidupan ibunya, agar dibuka hati ibunya untuk melihat dan muhasabah diri. Semoga beliau juga akan menjadi lebih baik. Begitu juga saya sendiri. Semoga selepas ini saya juga akan menjadi insan yang lebih baik. Amiiin.  



No comments:

Post a Comment